Ajarkan Aku Tentang Wanita (Bab 1)

Ajarkan Aku Tentang Wanita (Bab 1)

OKEY, mula-mula sekali aku nak tanya dekat pakwe-pakwe ditinggalkan makwe ni, korang mesti nak tau kan sebab musabab sebenarnya ex girlfriend kau buat macam tu kat kau? Aku berani kerat tangan yang kau mesti nak tahu punya, lagipun jangan haraplah orang perempuan ni nak cerita pasal benda tu dekat kau. Rileks, tarik nafas dalam-dalam sebab benda yang aku nak sampaikan ni banyak lelaki sampai mati pun tak ada peluang dapat tahu.

Perkara No. 1 yang aku nak bagitau ialah kau perlu sedar yang girlfriend kau tu bukanlah tiba-tiba je jatuh hati dekat kau. Ada faktor-faktor fizikal sebenarnya yang buat membuatkan perkara “jatuh hati” itu terjadi. Tarikan ni kau tak perasan sebab ianya bukanlah benda yang kau sedar pun. Girlfriend kau tertarik kepada cara kau berkelakuan. Macam lelaki lain, lambat laun kau akan berhenti menampilkan ciri-ciri power yang menambat hati tu.

Ingat ini, kebanyakan lelaki tertarik kepada kecantikan perempuan dan perempuan pula tertarik dengan perilaku seseorang lelaki tu. Ada beberapa ciri dekat seseorang lelaki tu yang membuatkan perempuan gila babi tertarik dekat dia. Kau pun sama ada ciri-ciri power ni, cuma kau tak sedar. Tapi itulah, semakin lama korang bercouple, makin hilang ciri-ciri power kau tu, kalau tak hilang pun, kau dah gantikan ciri-ciri power kau tu dengan ciri-ciri macam gampang.

Kalau kau nak tahu, power tak power ilmu yang aku nak ajar kau ni, kau bukan sahaja boleh gunakan dapatkan balik ex girlfriend kau (itu tujuan utama kau, aku tau, sebab tu kau beli buku ni..) kalau kau khatam ilmu aku bagi ni, kau akan dapat tarik minat perempuan-perempuan kepada kau ke tahap yang lebih tinggi.

Ye lah, mengikut pengamatan aku, 95% lelaki, haram tak tau cara nak berkelakuan menarik dan terbaik bila berhadapan dengan perempuan dan bila sahaja kau tamat baca buku ini, bersedialah, kau akan jadi balance 5% lelaki yang handal tu.

CIRI-CIRI JELEK

Baiklah, mari mula bincang tentang ciri-ciri yang membuatkan girlfriend kau lari. Ciri-ciri ini sudah tentu datangnya dari kau sendiri dan inilah perkara nombor wahid kenapa girlfriend kau putus dengan kau. Dalam kebanyakan kes, perempuan sendiri pun tidak memahami sebab dan akibat diorang hilang minat terhadap pakwe mahupun suami. Mereka pun tak tahu kenapa mereka mula tawar hati, tiba-tiba je jadi macam tu. Tapi aku tau dan ini aku nak bagitau dekat kau.

Kurang kepercayaan diri

Ini dia pembunuh no.1 percintaan kau. Kau kena ingat ni, orang perempuan sangat-sangat tidak suka lelaki yang kurang kepercayaan diri. Kalau kau tu jantan jenis ni, memang kau ada masalah yang sangat-sangat besar dan padan sangatlah girlfriend kau mintak putus dengan kau. Okey, sekarang ni aku tunjukkan dekat kau, apa dia sifat-sifat yang menunjukkan Kurang Kepercayaan Diri ni.

Cemburu

Pakwe yang cemburu adalah pakwe yang haram tak menarik. Sifat cemburu ni menunjukkan kurang kepercayaan diri.

Dia tunjukkan yang kau rasa, “Babi, aku rasa terancam betul dengan mamat tu, yelah, aku pun rasa aku tak layak je bercouple dengan girlfriend aku ni kan?” Perempuan tak tertarik kepada lelaki yang sentiasa cemburu sebab cemburu menunjukkan kelemahan.

Pakwe yang cemburu ni akan 24 jam dok tanya dekat girlfriend dia, ada dekat mana? Ada dengan siapa? Kejapkejap call, kejap-kejap call. Gila. Lepas tu dok bengang dan marah bila girlfriend dia dok menyembang dengan mamat lain. Dia juga dok pulun buat lawak kutuk mamat yang girlfriend dia dok berkawan tu semata-mata nak tunjuk diri dia Hero. Padahal, dia tak sedar, benda-benda macam nilah menunjukkan yang pakwe-pakwe jenis ni sangatlah kurang kepercayaan diri.

Kau kena jauhkan sifat macam ni. Kau kena ambil sikap “mamat lain akan buat kau kelihatan lagi bagus”, alah, bagi jelah girlfriend kau nak bercakap dengan siapa pun, tak luak lah weih. Bila kau buat je macam tu, ia akan membuatkan kau nampak lebih cool dan lebih power. Betul!

Mengawal

Stail control girlfriend tak tentu hala ni lagi satu perkara yang tunjukkan kau ada ciri kurang kepercayaan diri. Kebanyakkan lelaki yang aku kenal, akan larang girlfriend diorang keluar dengan mamat lain, tak kiralah mamat tu kawan baik dia sendiri pun.

Pakwe yang dok kontrol girlfriend ni terjadi sebab jauh dalam sudut hati dia rasa yang dia sebenarnya tak layak pun untuk girlfriend dia tu. Jadi, dia pikir, dia perlu control girlfriend dia gila babi supaya girlfriend tu boleh terus sayang ke dia. Tapi kau silap beb, silap besar. Lagi ketat kau cengkam girlfriend kau, lagi cepat dia bolos.

Sebab apa? Sebabnya, memang dah naluri asal manusia tu, akan memberontak dengan benda-benda yang cuba nak kontrol diorang. Takkan kau tak ingat time kau kecik dulu, dok rebel tak tentu hala sebab mak bapak kau tak bagi buat itu ini. Jadi, samalah jugak benda tu dalam hal perhubungan pakwe-makwe ni.

Tidak Menghargai Diri Sendiri

Seorang girlfriend mahukan seorang pakwe menghargai diri sendiri sama seperti pakwenya menghargai girlfriend dia tu. Saat kau letak girlfriend kau lebih tinggi daripada kau dan kau start lebihkan kehendak dia dari kehendak kau sendiri; saat itulah dia akan blah. Dia akan tinggalkan kau sebab dia dah hilang rasa respek dekat kau, dan pulak tu dia pergi ke lelaki yang pandai nak hargai dirinya sendiri. Kau nak macam tu?

Aku selalu sangat dah dengar orang laki jenis macam ni. Sampai satu tahap, kau suka apa yang dia suka, kau buat apa yang dia nak buat. Bersepah gila laki jenis ni! Hah, kau macam tu juga ke? Spesis jenis sanjung girlfriend tak tentu hala, “Andai kau tiada, aku tidak lagi mahu hidup”. Lemah gila.

Aku ulang sekali lagi ni, perempuan nak lelaki jenis yang hargai diri sendiri sama seperti kau hargai dia. Tak ada tapi-tapi. Paham dak ni?

“Siapa yang tak berapa peduli, dia akan kontrol perhubungan itu..”

Pernah tak kau terfikir kenapa perempuan suka ke bad boy? Pernah tertanya-tanya tak, kenapalah awek yang sikit punya ayu boleh dapat pakwe perangai macam setan? Hah, inilah sebab dia; orang perempuan ni tertarik sebab lelaki jenis bad boy ni jenis orang yang betul-betul menghargai diri diorang sendiri. Tapi janganlah pula lepas ni kau pun nak jadi setan. Aku nak suruh kau tengok bab diorang hargai diri sendiri tu je, ambil hat tu.

Tukang Tanya

Tak abis-abis nak mintak pandangan dari girlfriend pun dikira sindrom Kurang Kepercayaan Diri, tahu? Kau tu bukannya budak-budak lagi, semua benda dok ralat nak tanya, benda macam ni sebenarnya menunjukkan yang kau tu jenis manusia yang tak konfiden dengan diri sendiri.

Cuba tengok kot-kot ayat-ayat kat bawah ni pernah kau guna:

  • Betul ke awak suka saya?
  • Dalam skala 1 – 10, awak rasa saya nombor berapa?
  • Awak hepi tak keluar dengan saya malam ini?
  • Awak suka tak t-shirt saya ini?

Senarai soalan ini kalau nak aku perincikan lagi, boleh buat lagi satu buku. Tetapi aku tinggalkan ruang untuk kau senaraikan sendiri. Cuba dalami apa yang aku maksudkan dengan si Tukang Tanya tu dan pikir balik, untuk apa sebenarnya kau dok tanya semua soalan itu?

Seperti Belangkas

Kira nak berkepit je 24 jam. Menghabiskan setiap masa bersama bukanlah perkara yang bagus sebenarnya. Bukan sahaja girlfriend kau rimas, orang sekeliling kau pun akan rasa rimas. Asyik-asyik berkepit je. Tak ada life ke? Girlfriend kau pun takkan hargai kau sangat sebab dia tau, kau ada je bila-bila masa dia nak. Dia petik jari je, kau ada. Jadi mana value kau? Cuba kau renung balik, sebelum kau putus, mesti kau sentiasa melekat dengan girlfriend kau kan? Betul tak?

CIRI-CIRI DOMINAN

Sebagaimana ada ciri-ciri yang dimiliki oleh lelaki yang menjengkelkan perempuan, ada jugalah sifat-sifat dominan yang amat-amatlah menarik hati perempuan. Kau kena pastikan diri kau ada ciri-ciri ini kalau kau betul-betul nak jadi lelaki sejati macam aku. Heh!

Sifat-sifat dominan yang menarik perempuan adalah seperti berikut:

Kepimpinan

Sentiasa memimpin dan mempunyai perancangan ialah perkara yang amatlah penting. Girlfriend kau mesti pernah tanya, “Malam ni kita nak buat apa ye, sayang?” dan kau jawap, “Tak tahu la wak. Awak nak buat apa?” Bila kau jawap macam tu, memang kau ada masalah besar sebab dekat situ dah menunjukkan kau tiada sifat kepimpinan. Kau perlu ingat yang perempuan ni tertarik secara biologi kepada lelaki yang spesifik. Benda ni memang ada dalam DNA perempuan.

Setiap kali kau gagal untuk merancang, minat perempuan pada kau akan hilang. Kau perlu tahu, peranan selaku lelaki sejak dari zaman Nabi Adam lagi adalah memimpin, kau perlu pimpin girlfriend kau, sementara dia pula menuruti pimpinan. Sila terima hakikat ini.

Keyakinan

Kita semua tahu atas sebab tertentu, perempuan tertarik kepada bad boy. Harus diingat bahawa perempuan bukan tertarik kepada bad boy tu, tetapi kepada sifat spesifik yang bad boy tu miliki. Keyakinan adalah salah satu daripada sifat spesifik itu.

Keyakinan ni bukannya boleh di buat-buat. Orang perempuan boleh tau sama ada lelaki depan dia tu betul-betul ada keyakinan atau di buat-buat. Oleh itu kau kena tau macam mana nak memiliki keyakinan sejati ni. Usah risau, buku ini akan berikan kau teknik spesifik untuk kau tingkatkan keyakinan diri kau.

Berpendirian Tetap

Perempuan tidak mahu lelaki yang bersifat alas kaki yang boleh dipijak-pijak. Kau perlu yakin dengan pendapat dan kepercayaan kau. Aku tengok ramai lelaki yang sanggup mengenepikan nilai diri mereka sebab mereka rasa bila dia buat macam tu, girlfriend diorang akan lebih sayang diorang. Lelaki jenis ini biasanya sanggup tukar citarasa diorang terhadap muzik, pakaian, aktiviti dan lain-lain lagi ikut apa yang girlfriend diorang suka. Ingat, perempuan bukannya nak haiwan peliharaan. Perempuan mahukan lelaki yang mempunyai pendapat, nilai-nilai diri dan juga kepercayaan mereka sendiri.

Mempunyai Arah Tuju

Lelaki yang mempunyai arah tujuan dalam hidup adalah lelaki yang amat berkuasa. Lelaki biasanya tak kisah jika perempuan mempunyai banyak cita-cita.

Jika seseorang perempuan menunjukkan kuasa dan cita-cita, lelaki biasanya tidak akan teruja, malahan ada lelaki yang berasa terancam.

Yang menjadi masalahnya, dalam perhubungan kau dengan girlfriend kau, mungkin ada masanya kau semacam dah hilang arah tujuan hidup kau kalau takpun kau dah jadikan girlfriend kau sebagai arah tujuan kau.

Zaman sekarang ni, payah betul nak jumpa lelaki yang mempunyai fokus dan arah tuju yang diorang tetapkan. Ada tu memang ada tapi tak ramai.

Bila aku cakap pasal Arah Tuju ni, pasti ramai yang akan bertanya, “Binatang apa pulak arah tuju ni?” Arah tuju yang aku maksudkan ni bukanlah benda-benda seharian yang kau dok buat tu; pergi kerja balik kerja, makan main game lepas tu tidur. Rutin harian ini bukanlah yang dinamakan Arah Tuju tu.

Ini aku bagi contoh beberapa Arah Tuju:

  • Berlatih untuk Half Marathon PJ.
  • Jadi slim dan sihat.
  • Menang pertandingan futsal peringkat taman kau.
  • Cuba jadi artis rakaman macam Iqbal M.
  • Buat sesuatu yang menerujakan kau.

Lelaki yang masih terkial-kial mencari tujuan hidup, kurang menarik minat makwe. Lagi-lagi lelaki yang jenis (dan mungkin termasuk kau sendiri) menjadikan girlfriend kau sebagai tujuan untuk hidup. Bila benda ni jadi je, percayalah, bila-bila masa sahaja girlfriend kau akan tinggalkan kau. Kau kena sedar dan paham bahawa perempuan tak nak seorang pakwe yang tujuan utama hidupnya hanya untuk memuaskan hati girlfriend. Loser. Tak ada matlamat. Tak ada wawasan.

Turn off abis. Tarikan serta merta mati. Jangan salahkan perempuan, kerana diorang memang dah diprogramkan sebegitu sejak azali lagi. Mereka tak sedar pun hal ini sebenarnya.

KEKUTUBAN LELAKI / WANITA

Aku lihat lelaki hari ini telah kehilangan sesuatu yang istimewa di mana kita, lelaki, secara perlahan menjadi semakin feminin sedangkan perempuan semakin hari menjadi semakin maskulin. Kita terlupa bahwa orang perempuan telah diprogramkan secara genetik untuk tertarik dengan lelaki dominan. Anda harus menerima hakikat ini.

Aku nak tekankan di sini, walau maju mana pun kita, walaupun kita dah berjaya cipta kereta terbang, kekutuban ini tak akan berubah, perempuan akan sentiasa tertarik kepada lelaki yang maskulin dan dominan. Selamanya.

Wanita tidak mahu kuasa dalam perhubungan

Walau apa jua yang dikatakan oleh wanita atau berapa ramai pun feminis yang menguasai dunia, perkara ini akan tetap sama. Walaupun kedengaran seakan seksis, namun itu adalah kebenaran. Perempuan tidak mahu perhubungan yang mereka boleh kawal dan kena buat keputusan. Mereka mahukan lelaki yang membuat semua keputusan.

“Siapa yang tak berapa peduli, dia akan kontrol perhubungan itu..”

Ayat ni memang aku sengaja ulang sekali lagi memandangkan ia mustajab dan berkesan terhadap situasi kau. Cuba anda lihat ketika ini, saat ex girlfriend kau yang memegang semua kuasa. Dia langsung tidak peduli dan tidak kisah. Sebab apa aku cakap macam ni? Sebabnya, bukan dia yang sedang membaca buku tentang cara untuk mendapatkan kau balik, tapi kau. Kau yang tengah cuba sedaya upaya nak sambungkan semula kan? Sedar dan terimalah hakikat ini. Kau kena faham perkara ini supaya kita dapat bergerak ke arah teknik untuk kembalikan keadaan kepada asal semula pula selepas ini.

Sebelum Dan Selepas

Imbas kembali sikap dan perilaku kau semasa kau mulamula kenal, semasa kau bersama dan dipenghujung saat kau bersama dengan ex girlfriend kau. Ketika kau mula-mula berdating dengan dia, kau seorang yang sangat konfiden, suka bergurau senda dan memikat. Kau tampak yakin menjadi diri sendiri selama itu dan berkuasa dalam membuat segala keputusan. Dan bila di hujung-hujung perhubungan tu, sama seperti 95 peratus lelaki lain yang aku beritahu sebelum ni, perlahan demi perlahan kau mula berubah.

Cuba kau ingat balik, sedikit demi sedikit, kau akan mula menjadi pakwe yang bersikap mengawal, cemburu dan menjadi semakin lemah. Kuasa pun mula berubah tangan, ex girlfriend kau semakin dominan dan kau jadi makin lemah.

Kau ikut sahaja permintaan dia dan apa sahaja perbuatan kau, berkiblatkan dia. Kenyakinan diri kau boleh dikatakan ZERO! Pada ketika inilah, BOOM! naluri semulajadi girlfirend kau selaku perempuan akan muncul dan dia akan melihat melihat kau seorang yang sudah tidak lagi menarik.

Lelaki yang tiada keyakinan diri tidak menarik di mata perempuan. Maka, selamat jalan romeo!


Tulisan sedap ini ada di dalam Kitab XY @ Bukan Kitab Rumi II: Dapatkan Ex Kembali.

1