Anak Kecil Main Guli

Anak Kecil Main Guli

AHMAD, Ramasamy dan Ah Kau suka bermain guli. Tiap hari mereka bermain guli. Tak habis di waktu pagi, mereka sambung semula di waktu petang. Kadang-kadang sampai lupa waktu makan. Bila tak balik makan tengah hari, ibu Ahmad, Makcik Kiah akan datang membawa rotan ranting pokok mengejar Ahmad. Habis jatuh guli-guli yang ada dalam poket seluar Ahmad yang lari lintang pukang. Ramasamy dan Ah Kau pun ikut lari sambil ketawa.

Mereka bersahabat baik. Pergi sekolah bersama, duduk pun dalam kelas yang sama. Bila Ahmad terkial-kial membuat kira-kira Ilmu Hisab, Ah Kau akan menolongnya. Sama juga bila Ah Kau dan Ramasamy tergagap-gagap dalam mata pelajaran Bahasa, Ahmad akan menolongnya. Balik sekolah pun mereka berjalan sama. Sesekali bila hari panas, mereka akan melencong mandi di Empangan Kampung Semangat. Bila pokok buah limau bali kepunyaan Wak Deraman berbuah ranum, mereka sama-sama membaling kayu untuk menggugurkan buah. Pendek kata, semua perkara mereka buat bersama.

Ahmad tinggal bersama ibunya di Kampung Sepalit. Ah Kau pula tinggal di atas rumah kedai milik bapanya di jalan besar. Sementara Ramasamy jauh sedikit ke dalam estet Ladang Gedes. Di antara mereka bertiga Ahmad tua beberapa bulan dari Ah Kau sementara Ramasamy pula yang paling muda.

Setiap petang mereka akan berkumpul di belakang kedai bapa Ah Kau untuk bermain guli. Permainannya mudah sahaja. Mereka akan membuat satu bulatan sebesar basin membasuh baju di atas tanah dan meletakkan beberapa biji guli yang sama banyak di antara mereka di tengah-tengah bulatan tersebut. Jika Ahmad letak 3 biji guli, Ah Kau dan Ramasamy mesti meletakkan 3 biji guli juga setiap seorang. Kemudian mereka akan membuat satu garisan panjang kira-kira 5 kaki dari bulatan tadi. Ahmad, Ramasamy dan Ah Kau akan berdiri di belakang garisan tadi untuk membuat balingan. Semua mesti berdiri di belakang garisan, siapa yang membuat balingan di hadapan barisan, dikira batal. Siapa yang berjaya membuat balingan dan terkena guli di dalam bulatan lalu tercampak keluar, boleh mengambil guli-guli tersebut. Barulah adil.

Mula-mula Ahmad membuat balingan. Dia mengeluarkan gulinya yang paling disayangi dan dipercayainya sebagai guli pembaling. Gulinya itu berwarna kebiru-biruan. Ahmad mengecilkan sebelah matanya, memerhati tajam buah-buah guli di dalam bulatan. Dia membuat balingan yang sangat kuat. Pow! Kene tepat guli-guli di tengah bulatan lalu terlambung beberapa biji keluar. Ahmad ketawa sambil berlari mengutip guli-guli yang dimenanginya.

Kemudian giliran Ah Kau pula membaling. Sama saja gayanya. Ah Kau pun ada guli istimewa juga sebagai pembaling. Tup! Balingannya sangat kuat tetapi cuma kene sedikit sipi guli di dalam bulatan. Guli berselerakan tetapi tiada yang keluar. Ah Kau kecewa. Ahmad dan Ramasamy ketawa gembira.

Kini giliran Ramasamy pula. Dia berdiri betul-betul di belakang garisan. Dibongkokkan badannya sedikit condong ke depan supaya dapat membaling tepat ke arah guli. Pow! Tercampak beberapa biji guli keluar dari garisan. Ramasamy ketawa gembira sambil mengutip guli-guli yang bertebaran.

Pusingan pertama tamat dengan Ahmad berjaya mengutip guli paling banyak. Mereka masuk ke pusingan kedua pula. Masih sama, meletakkan beberapa biji guli di tengah bulatan dan membalingnya keluar. Begitulah sehingga hari senja dan tiba masa untuk mereka pulang. Ada hari Ahmad akan menang besar. Sampai tak cukup poket seluar kecilnya menampung jumlah guli, terpaksa dia mengikat separuh lagi ke dalam bajunya. Ada hari Ramasamy pula akan ketawa besar dengan keuntungannya. Ah Kau juga rajin menang bila tuahnya datang. Pendek kata, semua akan menang juga akhirnya.

Pernah suatu hari Ahmad kalah teruk. Tinggal 2 biji saja gulinya, yang lain semua telah dikaut oleh Ramasamy dan Ah Kau. Kecewa betul Ahmad sampai tak lalu makan di rumah. Esok petangnya Ahmad hanya duduk saja di pangkin depan rumahnya memerhati kanak-kanak perempuan bermain Teng-Teng. Dia kehabisan guli untuk dibawa bertarung di belakang kedai bapa Ah Kau. Nak minta duit dari emaknya untuk membeli guli, dia tak berani.

Ah Kau dan Ramasamy sudah lama menunggu Ahmad di medan pertempuran tapi Ahmad tidak juga muncul-muncul. Tak sihatkah dia? Tanya Ramasamy. Tak seronoklah main berdua saja, kata Ah Kau. Mereka akhirnya berjalan ke rumah Ahmad untuk melihat rakan baik mereka.

Sampai di rumah Ahmad, barulah mereka tahu kenapa Ahmad tidak datang bermain guli seperti biasa. Ah Kau dan Ramasamy bersetuju untuk membahagikan sama rata semua guli-guli yang ada pada mereka. Bagi mereka, dapat bermain bersama lebih penting dari guli-guli yang banyak di dalam poket. Ahmad kembali ceria dan petang itu mereka bermain guli di halaman rumah Ahmad sahaja.

Pernah juga Ramasamy kalah teruk sampai dia mencadangkan satu permainan baru iaitu lawan biji getah. Biji-biji getah mereka kutip di ladang tempat bapa Ramasamy menoreh. Biji-biji getah diletakkan di kedua tapak tangan dan kemudian ditekan di antara satu sama lain dengan kuat. Biji getah yang pecah dahulu dikira kalah. Tapi tak lama mereka bermain permainan lawan biji getah ini, mereka kembali semula bermain guli.

Petang tadi Ahmad menang besar. Habis semua guli milik Ah Kau dan Ramasamy dikautnya. Balingannya benar-benar berbisa. Sekali baling sampai 5 biji guli terkeluar. Kuat betul Ahmad ketawa. Ah Kau dan Ramasamy masam saja macam cuka. Mereka balik awal ke rumah masing-masing.

Sampai di rumah, Ahmad menyimpan guli-gulinya di dalam balang kaca. Makcik Kiah nampak lalu bertanya, kenapa banyak sangat guli kau ni Ahmad, takut dia mencuri. Ahmad kata dia menang lawan guli dengan Ah Kau dan Ramasamy. Makcik Kiah diam. Malam itu Ahmad buka tudung saji, Makcik Kiah jamu Ahmad lauk guli. Makcik Kiah suruh Ahmad kunyah guli itu satu persatu. Kalau tak boleh makan, esok pulangkan semula guli-guli ini ke Ah Kau dan Ramasamy. Ahmad diam. Malam itu dia menangis. Walau gulinya banyak, tapi perutnya lapar.

Esoknya Ahmad bawa semua guli ke medan pertempuran. Dia panggil Ah Kau dan Ramasamy. Dia membahagikan semua guli secara samarata. Tak seronoklah main seorang, kata Ahmad. Ah Kau rasa gembira. Ramasamy pula kembali ceria. Mereka terus bermain guli bersama-sama. Kali ini mereka membuat bulatan yang lebih besar pula, biar susah guli nak terkeluar bila terkena balingan. Hanya yang betul-betul pandai dan kuat saja akan menang.

Ada hari Ahmad menang. Ada hari Ah Kau dan Ramasamy pula. Mereka tahu, kalah atau menang, mereka tak boleh nak gigit guli untuk buat perut mereka kenyang. Mereka hanya tak mahu sunyi dari gelak ketawa.


Tulisan Nasron Yasin ini ada di dalam Karya Agong.

4