Anak Kerak

Anak Kerak

ANAK Kerak adalah versi Toyol yang lebih menyeramkan. Anak Kerak dikatakan berasal daripada janin seorang bayi yang mati dalam kandungan, atau mayat seorang bayi yang mati sebelum hari jadinya yang pertama. Anak Kerak yang paling power dikatakan berasal daripada mayat anak pertama kepada ibubapa yang juga anak-anak pertama. Nak lebih power, bayi itu harus lahir pada hari Selasa, dan mati semasa berumur antara 5 hingga 7 bulan. Mayat ini kemudiannya diasap atau dikecutkan, lalu diseru oleh bomoh-bomoh untuk upacara penyembuhan, atau untuk buat perkara-perkara jahat. Menurut Uncle Seekers, roh Anak Kerak harus ‘dijaga.’ Kalau tak, ia akan memakan tuan. Atas sebab ini, pembela-pembela Anak Kerak akan menyiapkan katil bayi yang dilengkapi tilam, bantal dan kelambu. Anak Kerak juga harus diberi minum susu, sama macam bayi biasa, dengan menggunakan botol susu.

Pameran “Exploring Ghosts: Mystery and Culture Exhibition” Anak Kerak yang diperolehi dari seorang pawang dari Selatan Thailand. Kononnya keluarga pawang ini sudah menyimpan roh itu selama beberapa generasi. Ia merangkumi janin berusia 70 tahun yang disimpan dalam sebuah peti kaca, bersama-sama dengan katil bayi berisi tilam, bantal dan dua botol yang diisikan susu. Kurator Kanan muzium, Kamarul Baharin A. Kassim dilaporkan berkata bahawa satu upacara telah dijalankan untuk membuatkan roh itu tidur, dan sebelum ia dipamerkan, pekerja-pekerja muzium mendapati yang dua biji botol susu itu akan menjadi kosong keesokan harinya.

Anak Kerak boleh juga digunakan sebagai tangkal, kerana dipercayai ia boleh memberikan kuasa-kuasa magik, umpamanya menjadikan pemakainya kalis peluru. Ini membuatkan penjenayah-penjenayah sangat tertarik dengannya. Tangkal Anak Kerak mula mendapat perhatian umum apabila dilaporkan dalam Harian Metro bahawa seorang anggota kumpulan jenayah Geng Mamak (rompakan terbesar kumpulan bersenjata ini ialah jongkong-jongkong emas bernilai RM12 juta dari kompleks kargo Sistem Penerbangan Malaysia pada hari Merdeka tahun 1994) telah memakai tangkal Anak Kerak. Anggota geng ini, Khairul Affendi Mohd Noor, juga dikenali sebagai Fendi telah dikepung oleh pihak polis di sebuah kompleks membeli-belah di Prai, Bukit Mertajam. Polis telah menembak dan mencederakan rakan-rakannya tapi Fendi berjaya meloloskan diri, kononnya dengan bantuan tangkal yang dia beli dari Thailand. Saki-baki kumpulan Geng Mamak, termasuk Fendi akhirnya telah berjaya diberkas polis pada bulan Disember 2006.

Pembikinan tangkal ini melalui proses yang sama dengan memperasap janin bayi mati sehingga ia mengecut kepada saiz genggaman tangan. Satu upacara kemudiannya dijalankan, dengan janin terus diasap lagi sehingga ia dibalut dengan kain dan dipakaikan pada tubuh. Pengusaha-pengusaha tangkal Anak Kerak akan sentiasa mencari dan menggali kubur-kubur bayi yang telah mati.

Satu lagi artikel Harian Metro memetik kata-kata seorang bekas komando tentera yang memberi amaran: “Jangan main-main dengan mereka yang ada tangkal Anak Kerak, kerana mereka akan mempunyai tubuh seakan keluli, urat-urat seperti wayar dan tulang-tulang seperti besi.” Tangkal-tangkal ini boleh dijumpai di Selatan Thailand, dan boleh bernilai antara RM10,000 hingga RM15,000.


Tulisan Danny Lim ini ada di dalam Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia.