Arwah Mak Lang Pulang

Arwah Mak Lang Pulang

LEWAT 90-an aku pernah tinggal dengan makcik aku di Muadzam Shah. Cuti sekolah waktu itu aku bercadang nak lepak-lepak dengan sepupu aku, Kay.

Rumah Kay betul-betul mengadap lereng bukit. Aktiviti malam kami biasanya kami ronda-ronda perumahan situ yang senyap sunyi.

Pada satu malam, punyalah tak ada kerja, kami pergi lalu sebuah lorong sempit yang dikelilingi pokok pisang. Jam menunjukkan kira-kira pukul 2 pagi. Waktu tu jugalah Kay mendajalkan aku, dia lari.

Kami penah buat kerja gila pecahkan telur tepi sungai serta bakar kemenyan kat situ pagi-pagi buta. Dengan harapan nampak syaitan.

Satu malam hujung minggu, kami melepak di laman rumah sambil bermain gitar. Waktu itu yang ada, aku, Kay, Angah dan Along.

Masa Kay beri gitar kepada aku, aku terus main lagu ‘Sua Suey Kemoning’. Sedang rancak bermain, tiba-tiba dengar dari dalam semak di lereng bukit tu, “uuuuuuuuuu…uuuuu..”

Aku dengan sepupu-sepupu semua berhenti menyanyi. Aku jalan perlahan-lahan ke arah pagar yang mengadap ke lereng bukit. Aku dekatkan telinga, “uuuuuu uuuuuuu”.

Mendayu-dayu, sayup bunyinya. Kay datang rapat dengan aku. Dia hulurkan telinga, hajatnya mahu mendengar bunyi tu, “aaaaaaa….uuuuuuu…” suara perempuan mendayu dayu.

Aku pandang Kay. Aku bagi isyarat mata dekat Kay dan yang lain-lain suruh masuk. Aku nampak pokok rimbun di lereng berayun-ayun macam ada orang sedang menolak. Pelik, tak ada angin malam tu.

Aku perhatikan di penjuru pokok rimbun tu, ya, memang aku nampak sesuatu, tapi tidak jelas. Semua dah masuk ke rumah, dan waktu aku duduk dalam bilik Kay, aku selak perlahan-lahan langsir bilik dan pandang ke lereng bukit.

Maha Suci Allah, “benda” tu dah kat pagar, sedang merenung bilik kami dengan sayu sambil merintih. Seakan meminta untuk masuk ke dalam rumah. Aku fikir aku seorang sahaja yang nampak, bila aku pusing ke belakang, Kay sedang menggigil sambil duduk atas katil. Berpeluh-peluh dia menahan takut.

Aku tanya pada Kay sama ada dia nampak apa yang aku nampak. Tak ada apa-apa jawapan. Cuma matanya terbeliak pandang ke arah langsir.

Aku beranikan diri lagi sekali tengok keluar tingkap. “Benda” tu masih di situ merenung. Kali ini tiada rintihan, “dia” tercegat memandang.

Benda yang paling aku tak paham yang terjadi malam tu adalah betul-betul dekat dengan tempat perempuan tu berdiri dekat pagar, ada dua ekor babi tengah bergaduh.

Mungkin dari hutan datangnya babi-babi tu. Malam tu di dapur, bunyi “orang” makan-makan, macam ada kenduri. Kecoh bunyi orang borak dengan bahasa yang entah apa-apa. Kay satu malam tak dapat tidur.

Pada pukul 3 pagi, aku dan Kay dengar suara sayup di luar, “Kayyyy… aku ibu saudara mu… Kayyyy… tolong mak lang…” aku telan air liur. Untuk pengetahuan pembaca, arwah mak lang Kay memang dah lama meninggal. Dan aku tak tahu kenapa “dia” muncul cari Kay.

“Kayyyyyy… tolong mak lang Kay… mak lang sakitttttt… tolonglah mak lang… ” Demi Allah, jelas betul bunyinya dan aku yakinkan Kay yang itu cuma syaitan nak sesatkan kita. Kay nak keluar dari rumah tapi aku halang. Aku baca apa yang termampu ke telinga sepupu aku.

Esoknya bila kami cerita kat mak Kay, dia hanya mampu menangis, malamnya kami adakan doa selamat dan tahlil buat arwah.


Tulisan Jarr Nadjmuddean ini ada di dalam #CeritaSeram.

2