Nazi Goreng – Bab 1

Nazi Goreng – Bab 1

“Wei, hang bila last cium sejadah ha?”

Di belakang sebuah tong sampah berbau, mereka berdua sedang duduk sambil meneguk arak murah dari botol plastik. Sebagaimana beg kertas ronyok itu menyembunyikan botol tersebut, begitu juga dosa-dosa mereka turut disembunyikan sekali. Mereka merenung kubah masjid yang tersergam hanya beberapa ratus meter di hadapan. Dari kedudukan ini, nampak jelas seorang lelaki duduk berlutut di lantai lalu mencium sejadah bersama ketayapnya yang terletak elok di atas kepala. Arahnya menghadap kiblat. Lelaki tadi terus senyap tak bergerak.

“Aku ada dengaq orang Melaka mana ada semayang lagu tu.”

“Hang penah sampai sana?”

“Dak lagi.”

“Dah tu tak payah dok buat kepala tau la, Asrul. Hang nak gebang lagu mana kalau hang tak pernah langsung keluaq dari bandaq ni?”

Alor Setar. Bandar tepi sungai di hujung ceruk Semenanjung Malaysia. Penuh dengan masjid di sana sini. Salah satu dari tempat panas membahang yang berjaya masuk dalam senarai tempat pelancongan hanya kerana ia ibu negeri dan penulis dipaksa menulis hal-hal yang baik berkenaan tempat ini.

Ibu negeri atau tidak, Asrul sudah naik menyampah dengan tempat ini. Kalau mahu dicari rasa hormat dalam hatinya untuk tempat ini, jawapannya tentulah tiada. Peduli apa dia kalau tempat ini jatuh lagi dikenang atau jatuh sakit mengerang buatnya sekalipun. Dia sudah malas mahu ambil pusing.

“Aku tanya ni. Bila last hang semayang?”

Asrul sedar yang dia mengelamun.

“Mesti la pagi tat sat.”

“La … Ya ka? Ish… Hang ni Asrul… Calon Imam Muda rupanya.”

Keduanya kembali dalam tembok sepi masing-masing. Mengelamun melihat sinaran matahari perit yang jatuh tepat di sisi mereka dan menghasilkan bayang-bayang berupa pelik. Seperti bayang-bayang pokok palma bercabang tiga. Lelaki dalam masjid masih di situ. Kepalanya diangkat dari lantai dan beliau termenung jauh ke hadapan untuk beberapa saat. Sesudah itu, lelaki tersebut kembali tegak bangun dan menapak laju keluar melalui laluan berkarpet. Asrul terus perhatikan setiap gerak tubuh lelaki tadi. Seliparnya disarungkan tanpa membongkok ke bawah dan akhirnya beliau berjalan terus hilang dari pandangan.

Alor Setar penuh dengan beribu manusia macam lelaki tadi. Manusia penyembah Tuhan. Keluarga Asrul pun begitu – sanggup mati daripada tidak ke masjid untuk solat berjemaah. Hal sebegitu yang buat Asrul percaya pada Tuhan. Dia nekad. Iman dia pada Tuhan bukan mainan demi memuaskan hati kawan-kawannya yang tak ubah seperti kutu ini. Bila di atas sejadah, Asrul rasa dekat. Hatinya tenang. Tak kisahlah walau dalam bilik sempit di belakang stesen bas, pasar raya atau hentian rehat tepi jalan; jujur dia rasa tenang. Bila tiba masa dan mua’zin mula bertakbir, Asrul rasa dia perlu untuk sujud pada Tuhannya. Segala rasa benci dan marahnya pada dunia bosan ciptaannya, hilang tiap kali dia sujud. Kepalanya umpama terusan aneh. Bilamana dia sujud, segala masalahnya turut sama mengalir turun dari kepala dan jiwa gilanya.

“Hang ni Asrul. Aku tak paham lah. Hang ni nak jadi dua benda dalam satu masa yang sama ka? Cuba kot satu hari nanti, lagu mana kalau masa hang tengah baik punya dok tonggeng-tonggeng lagu tu, ada orang pi kat hang pastu sepak pungkoq hang?”

“Woi!”

Asrul cuba mencapai leher Malik tapi malang, kawannya lebih pandai mengelak. Pantas tangan Malik pula yang membelit leher Asrul. Botol yang dipegang Asrul jatuh ke tanah bersama isinya. Asrul benar-benar berharap segala masalah dan rasa sakit yang ditanggung waktu itu dapat ditumpahkan ke sejadah.

“Dok dendiam. La ni dengaq apa aku nak habaq. Ikut ja apa aku cakap.” Belitan tangan Malik makin kuat mencekik

“Dah. Jadi budak baik dan dengaq apa aku nak habaq ni,” ulang Malik. “Hang nampak manusia tang sana kan? Depa tu bukan dapat apa pun. Kaya ka? Hang nak jadi lagu tu sampai mati?”

Belitan tangannya dilonggarkan lalu ditampar kepala Asrul dari belakang. Asrul jatuh terduduk. Arak yang tumpah ke tanah tadi sudah hampir kering.

“Ehem. Biaq aku sambung khutbah aku: Hang mesti la tak mau jadi lagu tu. Wei mangkaq, kalau aku tak dak, hang mampuih la wei. Hang tau kan?”

Asrul, masih duduk kemas di atas rumput. Sunyi. Terdiam tak mampu nak bersuara. Dirasakan macam ada batu besar yang jatuh di atas kepalanya dan buat dia sedar akan kenyataan. Sedar akan realiti dunia.

“Baguih, tak payah kalut nak jawab. Aku ada pelan, wahai penyembah Tuhan yang tersesat jalan. Pelan yang boleh tolong hang untuk cari apa yang patut hang percaya. Kita mulakan dengan keluaq dari tempat ni!”

“Pasaipa?” Asrul tetap bertanya walau dia sendiri tahu jawapannya apa.

“Wei, cuba bagitau sat apa ja yang syok tang sini selain nasi kandaq. Lepas tu bab semayang tak habih-habih. Bandaq ni dah mampuih la wei. Hang paham dak? MAMPUIH!”

Asrul tidak menjawab.

“Abang ada pelan baik punya, adik…”

Asrul perhatikan saja Malik buat-buat menepis habuk di seluar dan bajunya bagai hero poyo filem tak laku.

“… kita ada misi besaq nak buat, Asrul! Kita akan keluaq dari sini, wei!”

Malik berdiri membelakangi matahari. Dia nampak gagah bila sinaran matahari jatuh di belakangnya. Dari hadapan, dia nampak ibarat pari-pari bercahaya.

“Dah tu kita nak pi mana?”

Dengan penuh gaya, Malik mendepangkan tangan seluasnya.

“Kita nak pi Kuala Lumpuq, adik!”

Asrul yang masih duduk di atas rumput, bermain main dengan hujung but askarnya sambil memandang Malik yang berdiri umpama kera tanpa bulu di hadapannya. Sekali lagi Asrul pandang ke arah masjid. Lelaki lain pula tengah sujud dan membebaskan jus-jus masalahnya ke sejadah.

“Awat kita tak pi Penang ja?”

“Pasaipa kita nak pi sana pulak?”

“Sebab depa ada laut. Pastu kos hidup sana lagi murah. Tiket bas nak pi pun murah. Lagi satu, dekat dengan rumah. Kot jadi apa-apa kat kita dua lagu mana?”

Malik tenung muka Asrul tak berkedip. Riak muka Malik kosong tanpa sebarang emosi. Asrul tahu kawannya sedang berfikir.

“Boleh la lagu tu,” Malik putuskan. “Aku tak kisah. Hang mungkin betui – Kita pi Penang dulu, lepas tu baru kita pi rammed KL pulak. Masa kita sampai KL nanti, kita akan jadi lebih kaya dan kuat!”

“Kaya?”

Malik hulur tangannya pada Asrul. Dengan rasa tak senang, Asrul sambut perlahan. Malik menarik Asrul dan kedua sahabat itu berdiri bersama.

“Hang tibai aku lagi, aku bunuh hang. Sumpah!”

“Alah calon Imam Muda ni… Cuba pi try tumbuk ka, bunuh sapa-sapa dulu ka. Daripada dulu sampai la ni, mandom lagu tu jugak aku tengok hang ni.”

Asrul berpaling. Dia nampak lelaki di masjid itu sudah bangun dari sujud dan terus merenung dalam ke hadapan untuk beberapa saat. Lelaki itu bangun berdiri dan seperti lelaki sebelumnya tadi, dia terus melangkah keluar melalui laluan berkarpet sampai ke hujung.

Posisi yang sama. Lagi dan lagi. Tak berhenti-henti sampai mati. Malik betul. Jauh dalam hatinya, Asrul sendiri tahu. Tak ada yang mampu hentikan kitaran tetap ini.


Nazi Goreng yang anda baca ini adalah terjemahan dari Nazi Goreng asal yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Segala doa dan usaha telah dibuat untuk memastikan naskah terjemahan ini membawa semangat dari naskah yang asal, maka oleh itu beberapa elemen asal dikekalkan. Dialog antara watak warga asing (dan antara warga asing dengan warganegara) dikekalkan dalam bahasa Inggeris seperti dalam naskah asal. Bahasa buku ini memang rojak, tapi itulah juga realitinya kita di Malaysia. Kalau tidak percaya, cuba ingat bilamana setiap kali kita ke kedai makan dan perlu membuat pesanan dalam Bahasa Inggeris kepada pelayan warga asing yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Nazi Goreng oleh Marco Ferrarese.


Baca bab 2 di sini.