Bahagiakah Hidup Dengan Air Mata Orang Lain?

Bahagiakah Hidup Dengan Air Mata Orang Lain?

JODOH itu rahsia Tuhan. Hari ini kita bercinta. Esok kita berpisah. Hari ini kita membenci. Esok kita mengasihi. Semuanya rahsia. Aku tak tahu sampai bila jodoh aku dan pasangan aku. Aku pasti kamu juga begitu. Kita hanya mampu berdoa. Hanya mampu berusaha. Menentukan bukan kerja kita.

Aku pernah ada seorang sahabat. Ibu tunggal. Berkasih dengan seorang lelaki. Suami kepada seorang perempuan. Kata sahabat itu, pada mulanya dia agak yakin lelaki itu adalah yang terbaik untuk dia. Yang mampu menjadi sinar bahagia yang seterusnya. Katanya (lelaki itu kata), dia dan isterinya bukan berkahwin atas benar-benar cinta. Entah betul entah tidak. Tapi aku yakin tak betul. Tapi tak apalah. Layankan saja.

Kira macam Romeo dah jumpa Julietnya lah. Tapi selepas berkahwin. Dah tak macam Romeo-Juliet. Dah macam Rosman dengan Junaidah yang berskandal satu pejabat lagaknya.

Sahabat aku beritahu, lelaki itu akan bercerai kering dengan bini dia sebab nak kahwin dengan dia. Kenapa aku panggil bercerai kering? Sebab, kau bayangkan kau seorang perempuan yang dah hidup lama dengan suami kau, tiba-tiba tak gaduh tak apa, kau kena cerai. Itu namanya cerai kering. Cerai bodoh.

Tetapi aku suruh sahabat itu kembali berfikir. Bahagiakah hidup dengan air mata orang lain?

Seorang lagi kawan aku pernah bercerita, kawan abangnya yang sudah berkahwin, bercinta dengan bini orang. Sebab cinta sangat, masing-masing minta cerai dengan pasangan masing-masing. Mereka berkahwin dan mereka bahagia.

Tapi aku persoalkan, bahagiakah hidup dengan air mata orang lain?

Bahagia ke? Boleh saja kalau nak bahagia. Asalkan kau anak yatim sebatang kara. Tak ada ahli keluarga nak marah kau. Duduk dekat pinggiran bukit Fraser berdua tak bercampur orang.

Tapi itulah, masih jodoh itu rahsia Tuhan. Kita tak tahu macam mana dia datang dan pergi. Nak komen banyak-banyak pun, kompleks sangat. Macam nak huraikan maksud lukisan Van Gogh dan Pablo Picasso. Bukan kau yang melukis kejadian itu.

Terlebih komen nanti, silap-silap kau yang jadi subjek dalam lukisan pula.

Erm.


Tulisan Ladynoe ini ada di dalam Desaturasi Merah Jambu.

4