Berbuka Puasa II

SEMALAM aku dan bini aku bersama anak-anak aku dijemput berbuka puasa di rumah En. Husin dan Pn. Fatimah. En. Husin dan Pn. Fatimah tinggal di Kampung Berop, hanya tiga belas rantai jaraknya dari rumah mentua aku di Kampong Ketoyong. En. Husin dan Pn. Fatimah adalah parent saudara aku, lebih senang aku bagitau. Panggilan untuk mereka ialah Pak Usu dan Mak Usu. Keluarga Pak Usu besar, ada sembilan anak. Tapi semalam yang ada cuma anak dia Puad.

Puad, anak mereka yang nombor tujuh, nak kahwin lepas raya. Jadi masa scene melepak sambil berbuka puasa, isi penting berborak lebih menjurus kepada perihal perkahwinan beliau. Beriya betul aku tengok si Puad menggelabah fikir bukan-bukan dekat-dekat nak kahwin.

Risau katering tak sedaplah, risau orang tak datang sebab sibuk berayalah, risau jalan sempit susah kereta nak parking pun dia juga. Risau demamlah. Paling aku tak boleh handle bila dia berserabut risau kalau hari kenduri tu jadi hujan. Jenis kerisauan yang macam gampang! Dah buat kenduri dalam dewan apa kejadah yang jadi masalah hujan nya? Aku nak naik darah juga, tapi mengenangkan waktu Maghrib, lepas makan aku pergi sembahyang dulu bagi hati sejuk.

Selesai menunaikan fardhu sembahyang, dalam pukul lapan aku sambung melayan Puad di ruang tamu sementara tunggu waktu Isya’. Pak Usu sambung berzikir, manakala kaum ibu pula galak bermain air sabun di sinki dapur.

“Ko best gila dapat bini bagi pakai stoking”, Puad buka cerita lain.
Mujur. Kalau dia sambung cerita risau hari hujan lagi memang aku baling remote ASTRO ni kat kepala. Biar berdarah!

“Mana ada. Biasa-biasa sajalah. Macam bini orang lain juga…” nada suara aku adjust bagi sederhana.

Buletin Utama baru mula masa tu. Risaukan dosa fitnah, aku cepat-cepat tukar pergi channel 811. Lepas makan kenalah bersukan bagi badan keluar peluh!

“Ala aku tau la brader, mak aku cerita macam-macam. Ko pergi kerja bini ko kasi pakai stoking. Ko balik kerja bini ko bukakan stoking. Baju kerja, seluar kerja ko, semua tip top bini ko arrangekan. Itu belum masuk bab pergi pasar, kemas rumah, masak, basuh kain, jaga anak. Ko memang betul-betul jadi King ye duduk dalam rumah. Ko haram tak buat apa-apa. Menghadap laptop saja kerja,” Puad puji-puji sambil kutuk aku.

Aku senyum sikit-sikit. Budak Puad ni mentah lagi. Baru nak mula hidup, umur pun baru dua puluh tiga. Banyak lagi dia belum faham.

“Bini ko ikut je ye ko suruh buat apa. Ko punya makanan gila babi punya cerewet. Itu pun bini ko boleh handle rilek-rilek tak banyak cakap. Lagi satu yang aku pelik, ko boleh pula hidup macam brader bujang, lepak minum teh malam-malam, ke hulu ke hilir ikut kutu-kutu rayau, main futsal sampai satu dua pagi, mengorat makwe-makwe UPSI. Pergh! Apa ilmu ko pakai ni beb? Macam mana ko didik bini ko jadi rilek sampai macam tu?” Puad menunjukkan kagum pada aku pula.

Dalam diam, aku berfirkir sejenak. Patutkah aku turunkan ilmu dan teknik didikan yang aku amalkan pada Puad? Mampukah beliau menghandle bebanan nanti?

“Aku nak bini aku jadi macam bini ko nanti. Turut perintah aku. Bagi aku pakai stoking, bukak stoking bila aku balik kerja. Aku nak duduk atas kerusi hulur kaki saja. Aku nak dia pergi pasar sendiri tak payah menyusahkan aku, masak sedap-sedap. Wah, memang heaven! Ko kasi aku ko punya teknik, jangan tanggung-tangguh lagi!”

Puad yang cepat terpengaruh dengan kata-kata orang tanpa mahu menyelidik lebih dalam semakin teruja.

Sebagai orang yang berbudi bahasa, aku seboleh-boleh tak mahu menghampakan Puad.

“Ko sanggup terima ke kalau aku pecah rahsia didikan aku ni brader? Berat ni bukan hal main-main!” Aku pula kasi counter attack.

“Aku sanggup biar sampai terguling!”

Tak menyempat-nyempat si Puad menjawab. Gelojoh betul. Tak tahulah aku macam mana dia punya terkam malam pertama nanti. Aku harap dia tak lupa baca bismillah.

“Ok.”

“Kalau aku bagitau, belanja aku makan lambchop lepas tarawih malam ni.”

“Setel!”

“Ko nak bini ko bagi ko pakai stoking sambil ko duduk rehat atas kerusi? Ko nak jadi king? Ko malas pergi pasar? Ko nak main suruh-suruh saja? Ko nak kebebasan bersosial?”

“NAK! NAK! NAK!” (Macam aku cakap tadi, Puad cepat teruja.)

“Macam ni. Dengar betul-betul. Teknik aku mudah tapi rumit.” Nada suara aku jadi serius.

“Aku dengar ni. Aku dengar.”

“Aku bagitau sekali saja. Tak ada ulangan-ulangan.”

—–

“Setiap tiga minggu bawak bini ko pergi jumpa Poh Kong. Amacam?”

Aku bocorkan rahsia penting kepada Puad demi kebaikan beliau.

“Babi! Aku pakai stoking sendiri je lah kalau macam tu!” Puad bagi respond kasar tanpa memikirkan hati dan perasaan aku.

NOTA KAKI:

“Lambchop aku jangan buat lupa!”

“Ko pegi makan bayar sendiri, jangan mengada-ngada. Aku tak ada selera!”

“Cilake! Buat penat aku bocor rahsia.”


Berbuka Puasa II di dalam (Dari Tanjung Malim Ke KLCC) oleh Fdaus Ahmad.

Dapatkan Dari Tanjung Malim Ke KLCC di: https://dubookpress.com/produk/dari-tanjung-malim-ke-klcc/