Berselisih Dengan Izrail

Berselisih Dengan Izrail

(LIMA- TIGA PULUH PETANG)

Satu…Dua… Tiga… Empat… Lima.

Saya tiba. Keadaan rancak dan memuncak. Tiga jururawat, panik.

“Pasang cardiac monitoring. Prepare atropine dan adrenaline 1ml stat!”

Enam…Tujuh… Lapan…Sembilan… Sepuluh.

“Tukar!”

Jururawat itu memberi laluan. Dahinya lencun, kuyup. Sengaja saya mengambil alih segera. Tubuh jururawat itu terlalu kecil, chest compression yang dibuat macam ‘jadi tak jadi’ saja. (Ah, waktu beginilah kita nak harapkan pada tenaga lelaki, tak gitu?)

Saya memanjat katil. Berlutut di sisi lelaki berbadan gempal yang koma itu. Tangan kanan diletak di tengah dadanya. Tangan kiri pula menyokong, menekan di atas. Dengan bantuan graviti, meneruskan chest compression. Seluruh tubuhnya bergegar. Seluruh katil bergegar. Seluruh wad pun ‘bergegar’ (uh, ia tak semudah dalam televisyen!).

Satu…Dua… Tiga… Empat… Lima…

“Kak, dah inform Medical Officer tak? Mana BHT patient? Kes apa ni?”

Tiga jururawat saling berpandangan, seperti hairan. Entah apa maknanya. Argh!

Memulakan oncall dengan panggilan- “Doktor, ada patient collapse di wad 7CD!” -bukan sesuatu yang sihat untuk motivasi. Apatah lagi baru 30 minit melepasi angka lima (secara rasmi, waktu oncall bermula jam lima petang sehingga lapan pagi).

Ditambah partner oncall hari ini rakan perempuan dan Medical Officer juga perempuan (fakta bonus: kedua-duanya mengandung), bermulalah episod ‘Muscle Man is my middle name’.

Selepas dua minit melakukan chest compression, bacaan di cardiac monitoring masih tak berubah. Pegun mendatar. Jantungnya tak berdegup. Saya tercungap-cungap, kepenatan. Seorang rakan houseman lelaki sukarela mengambil alih sebentar, kebetulan dia baru hendak pulang. Kami bergilir.

Lelaki itu dimasukkan ke wad dua hari lepas untuk acute coronary syndrome (baca: serangan jantung). Stabil. Tetapi memerlukan terapi infusi heparin selama 3 hari.

Perokok tegar (dan masih curi-curi di tandas wad!), obes, kencing manis tak terkawal. Uh! Pakej yang menakutkan. Tidak mengejutkan dia mendapat serangan kedua di wad. Dan kali ini, fatal?

“Sudah 30 minit kan?” Medical Officer yang tiba 15 minit lalu memeriksa pesakit yang kaku itu.

“Berhenti resusitasi.”

Tangan pesakit sejuk, kebiruan. Ototnya mengeras. Tiada tanda pernafasan atau aktiviti jantung. Anak matanya mengambang.

“Waktu kematian…,” melihat jam di dinding. “6.10 petang.”

Saya rapat ke telinganya, dan membisikkan kalimah syahadah untuk kali terakhir. Berkali-kali saya mengulangnya sepanjang 30 minit resusitasi.

“Fahd. Bagaimana rasanya, malaikat Izrail melintas di depan kita?” tanya rakan, houseman lelaki yang membantu tadi, sebelum melangkah keluar dari wad untuk pulang. Spontan. Tanpa ekspresi wajah.

Saya kaget. Soalan itu seperti berlegar-legar di dalam wad, sebelum hinggap, bertenggek di bahu kanan saya. Uh!

 

(TUJUH- EMPAT PULUH PETANG)

Telefon berbunyi betul-betul selesai salam kedua. Solat Maghrib.

“Doktor, patient 7E SOB!”

Ketara. Posting di jabatan Perubatan (Medical) antara paling mencabar. Faktor pertama, banyak specialty di bawahnya. Kardiologi (jantung). Respiratori (paru-paru). Nefrologi (buah pinggang). Neurologi (kaji saraf). Rheumatologi (penyakit autoimun). Endocrinologi (penyakit hormon), dan banyak lagi. Bermakna lebih banyak wad dan lebih ramai pesakit. Faktor kedua, saya tiba pula pada waktu paling tidak tepat! Hanya sekitar 20 orang houseman yang perlu menjaga lebih 10 wad.

Tempoh tagging dua minggu terpaksa dipendekkan. Selepas tiga hari saja, doktor pakar berpuas hati dengan prestasi klinikal saya. “Jabatan memerlukan kamu,” kata doktor pakar. Hari keempat, saya mula oncall!

Pesakit kali ini seorang lelaki, tubuh sederhana. Hampir mencecah 60 tahun.

“Acute pulmonary oedema overload with underlying heart failure secondary to poor compliance to water restriction,” beritahu rakan oncall saya. Dia tiba beberapa minit awal, membelek BHT pesakit.

Pesakit masih tercungap-cungap, dalam posisi duduk hampir 90 darjah. Di wajah melekap topeng oksigen yang diputar ke angka maksimum- lima belas liter. Dia kelihatan lemah benar. Gelisah. Dua tiga orang warisnya di sisi, bersedia dengan naskhah Yasin.

“Kena intubate ni. Saya tak sedap hatilah. Saya call MO sekejap,” saya mencadang.

Rakan saya mengangguk, menurut saja. Dia baru dua minggu di jabatan ini, berbanding saya yang hampir masuk tiga bulan.

Langkah ke kaunter yang baru diatur tersangkak. “Doktor! Patient asystole! Doktor! Doktor!” Jururawat panik.

Kalau ya pun, janganlah menjerit, doktor ada sebelah saja. Geger satu wad nanti, trauma pesakit lain- terlintas rungut dalam hati.

Tanpa perlu disuruh, katil direbahkan. Saya memanjat, dan memulakan CPR.

Satu…Dua… Tiga… Empat… Lima.

“Kak, prepare untuk intubate. Tolong inform MO.”

Masing-masing sibuk menjalankan peranan. Langsir ditarik. Waris pesakit diminta keluar, seorang wanita berusia (mungkin isterinya) telah lama teresak-esak. Saya seorang saja lelaki. Saya seorang juga nampaknya yang akan melakukan chest compression.

Enam…Tujuh… Lapan…Sembilan… Sepuluh.

Setengah jam berlalu. Saya betul-betul penat. Belakang sakit. Dua CPR dalam selang masa dua jam. Intubasi berhasil tetapi kami kehilangan jantungnya, sekali lagi.

Innalillahi wa inna ilaihirajiunn.

Saya serahkan kepada Medical Officer untuk memaklumkan kepada warisnya yang masih gagal mengawal perasaan, tidak jauh dari katil. Saya memerhati dari jauh, peluh mengucur. Debar dalam saya sangat menyakitkan.
Maafkan saya.

“Bagaimana rasanya, malaikat Izrail melintas di depan kita?”

Soalan itu tiba-tiba menjelang lagi.

Terbang rendah, mengelilingi kami beberapa kali dan bertenggek pula di bahu kiri saya. Allah!

 

(SEMBILAN-LIMA BELAS MALAM)

“Ada call saya tadi?”

“Ya. Patient katil 11A kena ambil darah.” BHT bertanda 11A dihulur, tersedia di kaunter jururawat sejak tadi.

Mujur itu saja- getus dalam hati.

“Doktor. Boleh tak tolong tengok pakcik katil 20A. Dari tadi gelisah saja. Tadi ada buat ECG, doktor bacalah.”

“Kes apa?” Ah, sudah! Tak sedap hati pula.

“Uncontrolled DM saja doktor.”

Wad 8A kebiasaan menempatkan pesakit yang stabil. Saya harap malam lebih tenang, tetapi Tuhan punyai lain perancangan. Alangkah, pesakit lelaki yang kurus itu gelisah benar di atas katilnya, memanggil-manggil dua-tiga nama yang sebenarnya tak ada di sisi (mungkin anak atau isterinya). Seperti meracau.

Saya meneliti kertas ECG di sisi katil.

“Kak, ini SVT! Kenapa tak inform saya awal-awal?” Jururawat berusia 30-an itu terdiam.

“Prop up! Pasang cardiac monitoring! Prepare adenosine! Ambil branula, saya nak pasang lagi satu. Bagi oxygen, nasal-prong dulu!” Spontan, bertalu-talu arahan.

Supra ventricular tachycardia.

Saya tersepit. Medical Officer dan partner oncall saya sedang memeriksa pesakit kritikal di wad kecemasan. Saya perlu bertindak. Segera. Mujur, dua-tiga hari ini saya sedang menelaah topik ini… tapi, ia masih tak memadamkan rasa ragu-ragu saya.

Selesai memasang jarum intravena pada tangan kanan pesakit, iv adenosine disuntik laju. Kemudian diflush dengan air untuk mempercepatkan aliran ubat. Tangan kanannya diangkat. Mata terpaku pada skrin cardiac monitoring. Jururawat berdiri tegak di sisi macam tiang. Dada saya bergolak. Tekanan darah jatuh sedikit.

Betulkah tindakan ini?

Menanti.

Dan menanti.

“Revert, Kak! Alhamdulillah! Alhamdulillah!” Hampir melompat saya. Rentak jantung lelaki itu kembali normal.
Betul. Lebih tujuh bulan menyarung kot putih, ini keputusan paling penting yang pernah saya buat, dan ia berjaya! Sebagai houseman, kami tidak punya banyak ruang untuk membuat keputusan. Semuanya dibuat oleh doktor yang senior (medical officer atau pakar), apatah lagi keputusan kritikal (dan berseorangan) sebegitu.

Ah, terasa surut penat seketika. Mungkinkah oncall saya akan bertambah tenang selepas ini?

“Good job!” puji medical officer sebaik saya memaklumkan melalui telefon. Sangka saya, akan terkena leteran kerana bertindak sendiri. Lelaki kurus itu juga sudah tenang. Serta-merta berubah. Tersenyum manis dan, “Doktor, saya laparlah.”

“Kak, pindah kan pesakit ni ke acute cubicle di wad 7EF. Kena berjaga-jaga, nanti dapat serangan lagi. Saya tak larat nak handle seorang di sini.”

 

(SEBELAS-LIMA BELAS MALAM)

Satu…Dua… Tiga… Empat… Lima…

(Ya, pesakit lain pula collapse di wad 7E! Allah…)

“Patient ni memang tak stabil sangat dari petang tadi, doktor. KIV untuk intubate saja kalau keadaan makin teruk.”

“Kenapa tak…” tercungap-cungap. “…intubate saja…siang-siang…” Fuh. Fuh. Nafas bersepahan, terus melakukan chest compression. Stamina kian longlai malam itu. Kering.

“Malam-malam…dah susah…nak resus… tak cukup orang…” saya menyambung bebelan. Menyambung CPR. Fuh. Fuh. Kot putih saya entah tercampak ke mana. Tinggal saya dengan kemeja-T yang dikuyupkan peluh.

Kali ini pesakit renal failure. Terlalu banyak komplikasi. Ujian darah yang kucar-kacir. Jangkitan pada paru-paru dan abdomen. Dialisisnya tidak berjalan lancar. Tekanan darahnya melambung tinggi, kemudian mendadak terhempas. Macam kami.

Medical officer berkerut, wajahnya memekat keletihan. Tiub intubasi berjaya dimasukkan. Disambung pada pili oksigen.

“Hentikan chest compression,” arah medical officer, meneliti skrin cardiac monitoring. “Jantung dah revert. Alhamdulillah. Tapi tekanan darah masih rendah. Prepare inotrope! Call anaes!”

“Alhamdulillah!” Saya melompat turun dari katil. Gembira kepalang. Pesakit kedua yang berjaya malam ini. Pertanyaan berhantu rakan saya petang tadi nampaknya sudah hilang, harapnya sampai esok pagi.

“Doktor! Datang belakang ni, wad 7F. Ada pesakit collapse!”

Lagi? Tak sempat pun nak tangkap semula nafas yang terlepas!

Wad 7F letaknya bersebelahan, hanya dipisahkan kaunter jururawat dan bilik rawatan. Medical Officer yang pertama bergegas. Saya menuruti ke belakang. Sempat menyambar kot putih yang rupanya tersangkut pada tiang drip.

“Fahd, naik!” arah Medical Officer. Suaranya kecil, hampir tak kedengaran. Saya angguk.

Satu…Dua… Tiga… Empat… Lima.

“Tunggu, sekarang ini V-fib. Nurse, prepare defibrillator! Saya nak shock pakcik ni,” suara kecil itu masih nyaring. Tajam dan sungguh mengganggu.

“Saya clear. Semua clear?” Pedal kanan diletak kemas pada dada kanan. Pedal kiri melekap di rusuk kiri. Mesin defibrillator berdengung nyaring, tanda sedia melepaskan cas.

“Clear!” Jawab serentak saya dan dua jururawat yang membantu.

Tubuh lelaki yang kurus itu kejang seketika apabila direnjat dengan elektrik.

“Nadi tak ada. PEA! Sambung chest compression!”.

Saya kembali memanjat katil.

Satu…Dua… Tiga… Empat… Lima.

Selama hampir lima puluh minit itu, tiga renjatan diberikan. Doktor bius tiba, membantu, juga gagal mengembalikan denyutan jantung. Beberapa minit akhir itulah, pertanyaan yang saya sangka sudah lenyap tiba-tiba datang kembali. Terbang rendah, dan hinggap betul-betul di kepala katil pesakit.

“Bagaimana rasanya, malaikat Izrail melintas di depan kita?”

Saya tidak mengendahkan, tetapi pertanyaan itu melompat, dan bertenggek pula di kepala pesakit yang sedang nazak itu.

“Bagaimana rasanya, malaikat Izrail melintas di depan kita?”

Merenung saya tajam, dan masih tidak diendahkan.

Ketika itulah seorang lelaki awal 40-an, berbaju kemas dan berkopiah, meminta kami menghentikan resusitasi. Katanya adik kepada pesakit. Medical Officer dan doktor bius bersetuju. Benar. Ia masa untuk melepaskannya dengan tenang.

Ketika saya turun dari katil, adik pesakit itu memeluk saya. Erat. Saya bagai direnjat.

“Terima kasih, doktor.” Matanya merah basah, tapi air mata tak nampak mengalir.

Detik itu menjadi terlalu kekok dan tergambar kesedihan. Kami juga terlalu keletihan. Saling berpandangan. Suasana tak berisi apa-apa, kecuali sepi.

“Doktor, maaf ganggu. Pesakit yang doktor intubate tadi asystole semula,” seorang jururawat tiba dengan termengah-mengah.

“Ha… ada lagi?”

Ya Allah. Bilakah malam ini akan berakhir?

 

(LIMA-LIMA BELAS PAGI)

Tubuh saya terhempas kuat di atas katil. Entah dari mana lagi hendak dikaut tenaga. Bilik doktor oncall gelap dan berkuap. Saya seorang, merenung siling.

“Bagaimana rasanya, malaikat Izrail melintas di depan kita?”

Pertanyaan itu datang semula dari tingkap seperti burung gagak. Hitam dan kasar. Berlegar liar dalam bilik, lalu masuk dalam kepala saya. Sesat dalam kecamuk fikiran. Ia berubah rupa meminjam satu perbsatu wajah pesakit-pesakit yang gagal saya selamatkan malam ini. Bersilih ganti. Memberontak dan mematuk dalam kepala saya. Sakitnya tak terkira. Saya tak tahu, adakah ia rasa bersalah, kecewa, takut, atau cuma khayalan kosong.

Telefon berdering. Uh, terlelap rupanya!

“Doktor, cepat wad 7CD. Ada patient restless, doktor!”

Serentak. Azan Subuh berkumandang. Memanah tepat dada saya.

Ah, kenapa mengeluh. Tak siapa dapat mempercepat, atau melambatkan kematian. Kan ini telah pun ditentukan oleh yang Maha Rapi. Pelajaran kepada yang hidup. Malam ini saya semakin menjadi seorang doktor. Semakin menjadi manusia. Dan moga semakin menjadi hamba-Nya.

“Okey kak. Saya datang!”

NOKTAH.


Tulisan Dr Fahd Razy ini ada di dalam DIAgnosis 3: Mortuari.

1