Cincin Pusaka

Cincin Pusaka

KISAH kedua semasa aku menuntut di INSTEP, Petronas Batu Rakit. Bahana aku pinjam pakai cincin pusaka seorang kawan. Malamnya aku telah diganggu.

Satu malam hari Ahad selepas balik dari hujung minggu di rumah, aku masuk ke kampus seperti biasa. Kawasan INSTEP ini agak ke dalam ceruk di pantai.

Pada malam sehari sebelum kelas, aku cakap kat Keri kawan aku, “pinjam cincin kau, aku nak jumpa senior malam ni. Dorang nak pukul aku”. Keri agak keberatan dengan permintaan aku pada mulanya.

Aku pujuk Keri sampai dia mengalah. Dia pesan dengan serius, “ kalau kau rasa lain macam, tolong cepat-cepat buka dan datang kat aku, paham?? Kau dengar tak?”

Aku tak endahkan pesan Keri. Yang aku tahu, cincin Keri kalau diterbalikkan ke dalam pastu lempang orang boleh jadi biol katanya.

Aku tahu malam itu, senior nak jumpa aku. Dan aku tahu malam itu giliran aku akan dibuli. Aku nekad tak mahu jadi budak belasahan. Gila, tak kenal orang betul!

Jarak kuarters senior dan junior dalam 3 deret kuarters. Area tu tiada asrama. Ia cuma satu rumah untuk dua orang. Kecil tetapi selesa untuk dua orang.

Ketika berjalan di koridor, aku dah rasa macam ada orang tengah ikut. Aku tak ambil pusing. Aku cuma risau memikirkan budak-budak Amir ni nak lanyak aku malam ini.

Usai melewati blok senior yang pertama, aku terdengar ada yang menegur, “Jarr..Jarr..” kiraan aku suara itu suara Ju Debek.

Aku senyum. Lagi sekali suara tadi panggil nama aku, cuma bezanya kali ni suara bercampur lelaki dan perempuan sayupsayup mendayu. Aku pelik. Celaka. Masa aku daki tangga nak ke bilik Amir, aku terasa macam ada tangan sejuk memegang leher aku.

Peliknya aku tak seram, cuma aku fikir angin pantai tu kot. Pesan Keri lagilah aku tak ingat. Ya, angin malam tu sangat sejuk, tapi badan aku membara. Panas.

Sampai saja di situ, Amir tengah tunggu depan pintu dengan lima, enam orang senior lain.

Ada satu kejadian pelik masa aku hadap Amir dengan budakbudak dia. Semua diam tengok aku. Aku nampak balaci Amir, Jack yang hitam tu pucat lain macam. Aku tak penah terpikir yang cincin itu ada khadam atau jin atau setan gondol.

Yang aku tahu, Keri penah tampar Ijoi sampai cuti sebulan berubat. Amir dengan tenang suruh aku balik bilik. Katanya dia ada hal lain, lain kali dia jumpa aku.

Aku menyumpah dalam hati. Penat berjalan. Aku balik sendirian. Di hujung koridor, dalam samar-samar dan suram, aku macam nampak kelibat Keri.

Aku sengih menonong jalan ke arah dia. Jarak ke hujung koridor tu cuma 10-15 langkah. Tetapi kenapa aku rasa makin lama makin jauh si Keri ni? Aku berlari-lari anak.

Kuasa Allah mahu menguji, atau mungkin syaitan yang mahu sesatkan aku. Tiba-tiba aku aku berada di pagar tepi pantai! Maknanya sudah 300 meter jauh dari bilik aku.

Ya Allah, aku baru perasan keliling aku pokok-pokok besar. Depan aku pantai dan aku membelakangkan kawasan kuarters kami. “Keri main-main dengan aku ke ni?” Aku nekad untuk patah balik.

Semasa aku paling ke belakang pagar, aku nampak satu benda seperti Keri. Sedikit membongkok, tangan melambai aku.

Allahurobbi… perlahan keluar dari mulut aku. Jarak “Keri” dengan aku cuma dalam 40-50 meter sahaja.

“Dia” melambai dan aku pegun kat pagar. Tak bergerak. Surah 3 qul, surah anzalna, ayat kursi, dah macam rapping aku baca. “Keri” masih membongkok dan terus melambai aku.

Dugaan apa lagi ini! Kaki yang berat ni aku heret sedaya yang boleh untuk sampai ke bilik. Pian, rakan serumah aku yang tengah lalok parcos kepelikan lihat aku merangkak masuk bilik.

Pian dudukkan aku. Aku istighfar. Satu badan menggigil. Pian hulur parcos, aku gelengkan kepala. Aku tarik selimut dan terus tidur.

Inilah yang paling menakutkan, sebenarnya masa aku tertidur keletihan, gangguan baru nak mula. Pukul dua pagi, jam aku berbunyi. Aku bangun tanpa ada perasaan nak toleh ke Pian.

Aku haus yang amat. Aku tuangkan air dan terus minum. Rakus macam lepas marathon edomondo. Aku rebahkan badan kat katil. Tetapi tidak, aku terapung dari tilam rupanya.

Aku tak boleh pandang Pian. Aku jerit pun Pian entah dengar entah tidak. Tak lama, beberapa saat sahaja aku diapungkan oleh syaitan itu.

Pintu bilik kena ketuk dengan kuat sejurus aku kena angkat dengan benda alah tu. Aku kira yang ketuk itu Keri. Aku bingkas bangun. Nah, ini baru betul! Sebaik aku buka pintu, lampu koridor terus terpadam.

Orang tanpa muka muncul depan aku. Demi Allah. Muka gondol tak ada apa-apa. Aku cuma ingat apa “dia” cakap.

“Bagi balik cincin tu!!! Bagi balik!!!” Macam guruh. Aku jatuh terjelepuk. Lepas tu, aku dah tak ingat apa-apa dah.

Esoknya , aku cerita kat Keri. Dia geleng-geleng kepala, “Aku dah pesan, kalau rasa lain macam, cepat-cepat cabut datang jumpa aku. Kau degil.” Aku terus demam seminggu.


Cincin Pusaka tulisan Jarr Nadjmuddean dalam #CeritaSeram.

Dapatkan #CeritaSeram di: https://dubookpress.com/produk/ceritaseram/

1