Colgate VS Kayu Sugi

SESEBUAH perniagaan tidak akan ada untung tanpa adanya pelanggan. Semakin ramai umat manusia, pasaran akan semakin meluas.

Pada masa ini umat Islam tertindas dan dihina di mana-mana ceruk dunia. Mereka diperlekehkan. Nabi mereka dihina dan dikarikaturkan dengan imej buruk, misalnya. Umat Islam hanya mampu menunjuk perasaan sebagai protes. Walaupun mereka ramai dan majoriti dalam dunia ini, seperti yang pernah dikhabarkan nabi mereka, mereka tak ubah seperti buih-buih pada akhir zaman. Lemah dan rapuh.

Mengapakah mereka terhina, sedangkan suatu masa dahulu mereka umat yang kuat dan terhormat?

Adakah mereka tidak berilmu atau tidak menguasai ekonomi dan teknologi? Begitulah kononnya.

Hakikatnya umat Islam sudah terheret ke dalam lubang biawak ciptaan Yahudi dan Nasara sedikit demi sedikit. Sebagaimana suatu masa dahulu bangsa Arab jahiliyyah dimuliakan kerana agama, begitulah umat manusia hari ini dihinakan kerana melupakan ajaran agamanya kerana cintakan dunia dan takutkan mati.

Dunia hari ini dikuasai sistem yang diatur Yahudi dan budak suruhannya, iaitu Nasara, ketika umat Islam berpecah-belah dan sibuk berselisih sesama sendiri. Umat Islam masa kini telah tertipu dengan sistem Dajjal yang dibawakan Yahudi, dan neraka telah digambarkan sebagai syurga kepada kita.

Apakah erti kekayaan dan kemajuan hari ini? Hakikatnya kita telah berfikir dan menilai kekayaan melalui ilusi yang direka oleh golongan kuffar. Bukan sahaja dalam persepsi kaya atau maju, dalam hal kecantikan, kelazatan, kesempurnaan hidup dan sebagainya; kita mengikut ilusi yang dibawakan mereka.

Maka kita semua akan sibuk dengan urusan dunia untuk mengikut arus dunia ciptaan mereka. Jika tidak, kita akan terasing dan dipencilkan. Maka kita sibuk berlumba-lumba mengumpul wang untuk bekalan masa hadapan kerana mengimani bahawa wang itu adalah segala-galanya secara persepsi bawah sedar kita. Sebenarnya semakin kita mengikut arus dunia, semakin dunia kusut dan kompleks. Semakin kita kaya, semakin harga barang-barangan naik. Maka nilai kekayaan kita itu sebenarnya tidaklah bertambah. Ia hanya ilusi untuk menyibukkan kita. Ia seperti perumpamaan pengembara sesat di padang pasir yang melihat air di kejauhan, tetapi apabila sampai di tempat itu, ia hanyalah ilusi atau maya.

Untuk melawan kekayaan kuffar adalah dengan menjadi zuhud (atau miskin dalam ukuran zaman moden ini). Sesuatu yang akan kelihatan bodoh dan asing jika tidak difikir secara mendalam. Bukan seperti yang difikirkan ramai, bahawa kita harus menguasai ekonomi dan teknologi moden untuk mengalahkan golongan kuffar. Jika direnung, sumber kekayaan yang dimiliki Yahudi dan Nasara adalah disumbangkan oleh umat Islam yang menjadi majoriti penduduk dunia. Kita adalah pelanggan atau pengguna sistem mereka. Kita menjadi mata rantai sistem mereka. Sistem yang tambah mengayakan dan memakmurkan ekonomi mereka. Kita telah menjadi sebahagian jentera mereka.

Apakah zuhud? Meninggalkan dunia, melainkan diambil kadar yang patut baginya. Sifat zuhud itu bermaksud mencari keperluan hidup sekadar yang boleh membantu kita untuk beribadah kepada Allah SWT. Dan zuhud yang sempurna ialah meninggalkan semua perkara, selain Allah SWT.

Bahkan jika dikaji, teknologi dan kemajuan yang dibawa mereka adalah teknologi hawa nafsu, teknologi hedonisme, teknologi yang makin menyibukkan, teknologi yang tambah memalaskan dan memperbodoh umat manusia. Teknologi yang bertentangan dengan fitrah agama. Teknologi yang tidak akan berkesudahan seperti nafsu yang tidak ada hadnya.

Kereta bukan lagi sebagai pengangkutan, tetapi sebagai imej dan prestij. Pakaian bukan hanya untuk menutup aurat lagi, tetapi sebagai fesyen. Rumah bukan hanya lagi kediaman, tetapi alat bermegah-megah. Telefon bukan lagi sebagai alat komunikasi, tetapi juga sebagai alat capaian kepada hiburan yang melalaikan. Tetapi, inilah yang dianggap kehidupan moden oleh kita. Di situlah manusia berlumba-lumba mengumpul kekayaan. Semua situasi ini hanya akan terus menghidupkan sistem mereka.

Dan ada ulama-ulama yang tertipu oleh sistem Dajjal ini akan berkata, umat Islam harus mencipta kekayaan mengikut sistem Islam. Tetapi, bagaimanakah kita akan mencipta kekayaan melalui cara Islam jika kita menjadi kaya dengan menggunakan sistem wang kertas yang bersifat riba? Percayalah, sistem ekonomi dunia hari ini dipegang oleh Yahudi dan konco-konco mereka. Selagi umat Islam menggunakan wang kertas, selagi itulah mereka akan terus tertindas dan tertipu.

Untuk melawan eksploitasi dan teknologi orang kuffar, jalannya adalah kembali kepada tradisional. Apabila kita meninggalkan teknologi dan kembali kepada tradisional, sistem mereka tidak akan bergerak dan akan runtuh mendadak. Sistem ekonomi mereka yang menciptakan segala peralatan perang yang canggih akan runtuh. Misalnya untuk menjatuhkan teknologi Colgate, adalah dengan menggunakan kaedah tradisional, iaitu kayu sugi.

Sekali lagi, apabila umat Islam mengejar kekayaan ekonomi, kononnya untuk mengelak dari terhina dan menjadi semakin kaya dalam sistem ekonomi hari ini, semakin mereka akan terhina dan diperbodoh. Hakikatnya kekayaan umat Islam hari ini hanya akan lebih mengayakan golongan kuffar, kerana kita menjadi kaya melalui sistem yang dicipta oleh mereka. Ia seumpama ikon piramid yang tertera pada dollar Amerika. Apabila kita mahu ke atas, kita akan menolak orang yang di atas lebih ke atas lagi, malah ini hanya menjadikan kita semakin terikat dan tidak boleh keluar daripada sistem mereka.

Tidak mungkin penyelesaian yang dikatakan ini akan terlaksana kerana sifat cintakan dunia umat Islam sudah terlalu kuat, sudah mendarah daging. Mengajak kembali kepada tradisional dan meninggalkan teknologi moden, kita akan dianggap gila dalam dunia moden hari ini. Maka sampai masanya dunia ini akan berantakan sebelum semua teknologi moden ini hancur, dan kita akan kembali berperang dengan kuda, batu, tombak dan pedang seperti zaman silam.

“Saya tidak tahu senjata apa akan digunakan dalam Perang Dunia Ketiga, tetapi dalam Perang Dunia Ke-4 manusia akan berperang menggunakan kayu dan batu.” – Albert Einstein


Colgate vs Kayu Sugi tulisan Azman Hussin di dalam Keldai Dan Kitab.

Dapatkan Keldai Dan Kitab di: https://dubookpress.com/produk/keldai-dan-kitab/

1