Di Lengan Ahli Politik

Di Lengan Ahli Politik

SAYA selalu benar terleka. Dalam macam-macam segi dan macam-macam perkara.

Begitu juga dengan manusia yang lainnya. Kita akan selalu dan selalu sahaja terlupa.

Setiap hari sebelum tidur, dia akan mengambil senaskah buku dan mula meletakkan kepalanya di atas lengan saya. Walaupun malam sudah lewat dan esoknya punya tugas yang tergendala, dia akan sentiasa dan selalu sahaja membaca, sebelum terlena.

Saya tidak berkata apa-apa. Tidur dengan lampu yang terbuka bukanlah sebuah masalah yang parah. Saya boleh tertidur dengan nyenyak di dalam terang yang banyak. Apa yang saya mahu katakan pada setiap kali dia mengambil buku di atas meja, atau mungkin dari dalam beg, atau juga dari rak di tepi meja tulisnya adalah – bau rambut mu harum sekali. “Seperti selalu yang ku rasai.”

Dan walaupun saya tidak kisah, malah jauh sekali hati berubah, dia tetap akan memulakan sebuah percakapan, yang menjadi ritual-ritual di setiap kali bukunya dilebarkan.

Satu bab aja, satu bab aja, katanya.

Saya tahu dia tidak mengucapkan itu untuk saya. Tapi ia berkata begitu kepada dirinya sendiri. Cuba berjanji dengan diri sendiri untuk berlaku sesuatu, atas kerana sesuatu. Jadi, saya hanya senyum, membiarkan ia membuka dan menyelak setiap helai muka surat, membaca setiap perkara-perkara yang tersempat.

Kerana saya tidak kisahkan soal masa apabila dapat selalu bersamanya.

Dan di setiap kali jarinya dijilat lidah, muka surat diselakselak ramah, saya melihat betapa kasihnya ia kepada pencerita. Dengan tekun meneliti perkataan, sedang saya memerhatikan susuk tubuhnya dari atas ke bawah, belakang ke depan.

Kemudian, setelah setengah jam, atau satu jam, atau secara mudah – pembacaannya sudah pun melangkaui kepada satu bab yang pertama dan menjauhi kepada bab-bab yang seterusnya, tidak seperti yang dikata pada mulanya, mata pun mula mengantuk. Malah nguap pun sudah merasuk, dia pun menutup bukunya dengan kedua-dua tapak tangan; kiri dan kanan.

Dah, jom tidur, katanya. Ditambah dengan senyumsenyum yang begitu juga. Yang merosakkan jiwa saya. Yang merebahkan jantung, merangsang cenderung.

Dia tidur, dengan sunyinya dengkur. Tanpa disedari, setiap malam adalah malam-malam yang penuh dengan janji.

Kita manusia adalah bangsa yang pelupa. Walaupun kepada diri sendiri kita berjanji, sesuatu perkara itu sungguhlah payah untuk kita hargai.

Dan walaupun begitu sukar hidup ini, dia terus berjanji-janjijanji- janji dalam dirinya, bahawasanya malam yang indah ini – satu bab sahaja.

Cuma satu bab sahaja;

Janjinya – berjela-jela.


Tulisan Petak Daud ini ada di dalam Perempuan Tua Di Kedai Sup.

2