Drama Tanah Kabur

Drama Tanah Kabur

SEMASA hidupnya, beliau ialah ulama paling dihormati di kampung itu, selalu hadir membantu masyarakat kampung jika ada bencana, selalu dirujuk apabila ada kesangsian agama, tetapi apabila beliau meninggal dunia, kemaluannya membengkak besar.

“Inilah balasan Tuhan! Tengok kerandut gergasi dia, ditutup pelikat pun membonjol, kelucahan yang tak boleh hendak disembunyi,” orang kampung yang melawat mayatnya berbisik sesama sendiri.

Masing-masing membuat andaian: “Kalau diseksa Tuhan di bahagian alat sulit macam tu, paling-paling tidak, itu tandanya dia seorang yang gila seks. Tuhan mahu tunjukkan dosa besarnya kepada dunia. Entah perempuan mana yang dirogol, atau budak mana yang dia romen senyap-senyap sampai termengandung. Nama sahaja alim ulama, perangai macam Dajal. Alhamdulillah, dosanya dibalas Tuhan. Tuhan tidak lindungi aib dia. Kita yang masih bernafas ini minta dijauhkan.”

Tok Adi, sebagai penjaga tanah kubur kampung itu, cuba meredakan orang ramai yang datang melawat mayat ulama tersebut, kerana itu memang salah satu tugas seorang penjaga tanah kubur.

“Ini penyakit jangkitan parasit,” kata Tok Adi membetulkan kopiah, dahinya berkerut. Dahi Tok Adi memang sering berkerut.

Sebelumnya, di hospital ketika menuntut mayat, doktor telah memberitahunya bahawa penyakit itu berjangkit akibat gigitan nyamuk yang mengandungi parasit bernama bruga malayi. Kata doktor, keselamatan kampung terancam.

Tok Adi mencadangkan agar penduduk kampung berkerjasama membanteras pembiakan nyamuk dan parasit itu, membuang bekas-bekas tempat air bertakung dan mengasapkan belukar. “Kita tidak mahu penyakit ini dijangkiti oleh orang lain pula,” ujar Tok Adi.

Orang-orang kampung langsung tidak percaya kata Tok Adi. Barangkali kerana terlalu saintifik bagi mereka, susah mahu percaya. Isteri ulama tersebut beristighfar dengan bising, lalu memprotes, “kalau dia bukan penzina, kenapa dia mati menderita sebegitu?! Tuhan itu maha adil!” Kemudian, perempuan itu meneriak meronta dalam tangisan histeria yang penuh kesal kerana telah berkahwin dan membazirkan hidup berumahtangga dengan seorang ahli neraka.


Tulisan Saharil Hasrin Sanin ini ada di dalam Cerpen-cerpen Underground.

2