Estamos Tocando Tiki-taka Tiki-taka

Estamos Tocando Tiki-taka Tiki-taka

Tidak ramai yang tahu apa Tiki-taka sebelum bermulanya Piala Dunia 2010. Lebih ramai lagi yang tidak tahu ianya telah mula diadaptasikan ktika Euro 2008 (di mana Sepanyol adalah juara) dan mungkin hampir tiada yang menyedari bahawa seawal Piala Dunia 2006 Sepanyol sebenarnya telah bereksperimen dengan corak permainan yang dinamakan Tiki-taka.

Tiki-taka dikatakan peringkat evolusi seterusnya selepas Total Football. Raphael Honigstein, seorang penulis bola sepak Jerman mengatakan di mana Total Football memerlukan pemain bertukar-tukar posisi, Tiki-taka pula bersandarkan kepada pergerakan bola. Katanya lagi, Tiki-taka memberikan Sepanyol keupayaan menyerang dan bertahan yang seimbang serta kebolehan mengawal bola dan pihak lawan.

Pening kepala? Jangan risau.

Dalam erti kata lainnya, konsep Tiki-taka sebenarnya ialah mudah. Kuasai bola dan pihak lawan tidak akan dapat berbuat apa. Tiki-taka ialah 100% tentang penguasaan bola dan penguasaan bola. Ia dilakukan melalui set pemain yang mempunyai keupayaan kawalan bola yang baik serta boleh bermain hantaran pendek antara satu sama lain.

Bunyi agak mudah?

Raphael Honigstein menegaskan lagi, Tiki-taka sebenarnya ialah versi bola sepak tersukar untuk diaplikasikan. Ia berkehendakkan corak permainan hantaran yang tiada kompromi, digandakan pula dengan keperluan memberi tekanan sepanjang masa kepada pihak lawan.

Sememangnya dalam bola sepak yang paling sukar ialah menguasai bola. Mana-mana pasukan boleh merebut bola dari pihak lawan tetapi soal yang paling utama ialah setelah berjaya merebut bola, berapa lama mereka mampu memastikan bola itu kekal dalam penguasaan mereka? Dalam corak permainan Tiki-taka yang diterapkan Sepanyol, pemain-pemain seperti Xavi, Iniesta, Busquets dan Alonso memastikan bola milik Sepanyol dengan hantaran pendek antara satu sama lain.

Maka dalam kes Perlawanan 62 ini, Jerman yang selama ini gah dengan keupayaan serangan balas dan permainan pantas mereka tidak mampu berbuat apa-apa selagi bola terus dikuasai Sepanyol. Tempo perlawanan ditentukan oleh Sepanyol, menafikan Jerman sebarang peluang untuk mengubah tempo mengikut keperluan mereka. Dan dengan Sepanyol terus-terusan menguasai bola, Jerman kehilangan sebarang peluang untuk melancarkan serangan balas mereka yang sudah sangat sinonim dalam perlawanan mereka dengan England dan Argentina sebelum ini.

Seperti yang saya sebutkan awal tadi, Tiki-taka ini bukanlah mudah. Kerana yang paling sukar dalam bola sepak ialah mengekalkan penguasaan ke atas bola. Tetapi Sepanyol telah menyempurnakan konsep ini dalam tempoh 4 tahun bermula dari Piala Dunia 2006 hingga kini. Dan mereka mempunyai rekod pencapaian Euro 2008 untuk membuktikan kejayaan eksperimen Tiki-taka mereka.

Bagaimana Sepanyol memenangi Euro 2008 dengan menundukkan Jerman 1-0, mereka sekali lagi melakukannya dalam perlawanan separuh akhir ini. Ia kemenangan tipis biar pun Sepanyol banyak menguasai bola. Dan saya pasti ia sedikit sebanyak mengundang persoalan.

Adakah Tiki-taka yang diamalkan Sepanyol bakal menjadikan bola sepak mereka membosankan untuk ditonton?

Secara umum kita tahu bola sepak itu lebih seronok bila banyak gol dijaringkan. Belanda lawan Uruguay menyajikan debaran 5 gol, tetapi adakah ianya bermakna perlawanan Belanda dan Uruguay jauh lebih berkualiti dari Sepanyol dan Jerman?

Tiki-taka mungkin menekankan skil, hantaran pendek, kreativiti dan penguasaan bola, tapi ada masanya juga ia boleh berubah menjadi perlahan, tanpa hala tuju dan tidak efektif. Contoh yang jelas dapat dilihat dalam perlawanan Sepanyol dan Jerman. Bagaimana Sepanyol banyak menguasai bola tetapi masih enggan menggunakannya untuk menyerang, sebaliknya lebih gembira mengumpan Jerman untuk menekan dan melakukan kesilapan.

Ia tidak efektif, tetapi ada nilai estetika tersendiri. Nilai estetika dari maksud bagaimana kita melihat Sepanyol mengambil pendekatan pragmatik bila buku bertemu dengan ruas.

Pada saya, itulah bola sepak. Ia bukan sekadar mengenai berapa gol dijaringkan. Kerana jika kita terlalu taksub dengan jumlah gol, lebih baik meminati bola sepak Amerika saya rasa.

Pun begitu, konsep Tiki-taka adalah mudah. Kawal bola dan lawan anda tidak dapat berbuat apa-apa.


Tulisan Lucius Maximus ini adalah petikan dari buku Cerita Piala Dunia 2010

2