Gemuk Bukan Sumpahan

SALAH satu perkara yang susah untuk dilakukan oleh kebanyakan perempuan di muka bumi ini ialah menjadi seorang yang gemuk dan gembira.

Kalaupun memang diri sudah termotivasi dengan pelbagai input-input positif dan logik, sekali orang panggil dan hina dengan panggilan ‘gemuk’ – mood terus jatuh merundum ke bumi yang paling bawah sekali macam tak pernah ada esok baginya.

Apa-apa perkara baik berkenaan dengan wanita/lelaki gemuk, selalu diTAPIkan.

“Shima tu pandai buat kerja, pandai masak, kerja kat pejabat pun awesome, communication skill dia tip top, kulit putih TAPI itulah… dia gemuk.”

“Daniel memang charming, pandai ambil hati perempuan, disukai ramai WALAUPUN dia gemuk.”

Sebenarnya kecantikan adalah satu perkara subjektif yang telah disetkan dalam kepala melalui saluran media. Melalui televisyen. Melalui majalah dan melalui apa-apa sahaja. Imej-imej yang dipaparkan kononnya lebih sedap mata memandang sekiranya model yang ditampilkan berbadan kurus dan ramping. Dan berbuah dada yang besar sebagai bonus.

Kecantikan juga dipersyaratkan dengan faktor ketinggian, ukuran pinggang dan pinggul serta warna kulit. Tetapi yang utamanya, ukuran saiz badanlah. Oleh yang demikian, maka ramailah perempuan atau lelaki yang kebanyakannya cantik dan hensem, berhidung mancung serta berkulit cerah, tapi masih berperasaan rendah diri yang kekal.

Bagi aku, semua orang dilahirkan cantik kalau perangai pun senonoh.

Selalunya, kalaupun ada kenalan yang kecantikan tip top, tapi perangai tak munasabah, macam-macamlah alasan yang akan kita berikan untuk menafikan kecantikan dia.

Kegemukan adalah malapetaka kalau sebelum ini kamu bukanlah termasuk dalam golongan yang gemuk. Kalau memang kamu gemuk sejak kecil, kamu mungkin sudah termotivasi sejak daripada awal. Berlainan dengan orang yang pernah kurus sekejap, lepas itu gemuk balik kerana faktor pemakanan yang buas seperti haiwan. Hati akan mudah terasa bila kenalan lama ajukan pertanyaan bodoh tanpa niat bodoh iaitu:

“Kenapa kau gemuk sekarang?”

Sampai sekarang aku fikir – apa kejadah jawapan yang paling mustajab untuk soalan itu?

Selain mengecilkan hati, soalan itu juga merupakan mood killer bagi jam-jam berikutnya.

Walau bagaimanapun, seperti yang aku cakap, gemuk bukanlah sumpahan. Sampai sekarang aku tak faham kenapa orang menjadikan gemuk itu sebagai bahan ejekan. Sedangkan yang mengejek itu memanglah kurus tapi hidung kembang macam cawan, bertelinga capang serta berjerawat mengalahkan kotoran di lantai rumah terbengkalai.

Ramai lelaki (atau perempuan) yang aku jumpa menetapkan ciri-ciri saiz badan sebagai kriteria utama untuk calon teman, sedangkan perut mereka sendiri berpotensi maha tinggi untuk ditimpa malapetaka yang sama seperti kebanyakan toyol.

Dan yang paling memeranjatkan, mereka cenderung untuk menghina orang yang berbadan gemuk berbanding orang yang kurus tapi muka tak berapa nak manis, sedangkan si gemuk itu kalau kurus, akan menjadi 7 kali ganda lebih jelita dan hensem daripada si kurus – dan si kurus itu, kurus pun tak manis – gemuk apatah lagi.

Aku teringin nak tahu kalau si kurus diejek sama macam si gemuk – adakah perasaannya sama?

Tapi, macam yang aku cakap tadi – oleh kerana kecantikan yang subjektif ini telah diobjektifkan dengan saiz dan ukuran – dan kebanyakkan perempuan memang tak pernah berjaya menjadi si gemuk yang gembira – maka tak ada cara lain lagi dah. Kena juga kurangkan lemak dan kapasiti badan ini.

Okey si gemuk sekelian, gemuk bukan sumpahan. So kalau ada orang kurus muka tak seberapa atau orang yang baru putus cinta atau mengalami tekanan perasaan mengutuk kau gemuk, better kau jangan layan. Dan, siapa nak lumba berdiet dengan aku? Aku dah ada 2 orang competitor dah ni.


Gemuk Bukan Sumpahan tulisan Ladynoe dalam Desaturasi Merah Jambu.

3