Hantu Purdah

Hantu Purdah

KISAH hantu purdah atau digelar hantu Kum Kum di sesetengah tempat pernah menggemparkan satu Malaysia pada satu ketika dahulu sehinggakan akhbar tempatan turut pernah melaporkan tentang beritanya. Nama hantu Kum Kum turut digunakan kerana dipercayai hantu purdah tersebut gagal untuk memberi salam dengan cemerlang. Setiap kali mahu mengucapkan ‘Assalamualaikum’, ianya akan berbunyi ‘Assalamualaikum… kum… kum…’.

Hantu purdah mengisahkan tentang seorang makwe yang sedang belajar di salah sebuah IPT di negeri Pantai Timur. Oleh kerana sering dipinggirkan kawan-kawan kerana memiliki rupa yang tidak menarik, dia telah menuntut ilmu hitam dari seorang dukun untuk memperolehi wajah yang cun. Antara syarat utama ilmu tersebut adalah dia tidak boleh melihat wajahnya di dalam cermin selama 44 hari. Setelah beberapa hari menuntut, kesan ilmu hitam tersebut mula berhasil. Maka ramailah lelaki termasuk suami orang yang tertawan dan jatuh hati melihat wajahnya yang cantik. Oleh kerana terlampau suka, dia terasa ingin sekali melihat bagaimanakah rupanya yang cantik itu. Dia terlupa akan syarat ilmunya lalu melanggar perjanjian. Mukanya yang cantik secara tiba-tiba telah bertukar menjadi hodoh. Oleh kerana malu dengan wajahnya yang hodoh, dia mula memakai purdah supaya dapat melindungi kecacatan mukanya dari diketahui orang ramai. Bagi memulihkan semula wajahnya yang hodoh itu, dia perlu meminum darah 44 orang anak dara.

Maka bermulalah kisah tentang hantu purdah yang berkeliaran di Malaysia dengan menaiki kereta Perodua Kancil berwarna merah sambil memakai purdah hitam. Dia akan singgah ke setiap rumah yang mempunyai anak dara dengan menyamar sebagai penjual bunga atau kain. Hantu purdah akan mencakar muka anak dara dengan kukunya yang tajam lagi panjang lalu menghirup sehingga habis darah yang keluar.

Kisah hantu purdah ini sememangnya menjadi satu igauan hitam kepada semua rakyat Malaysia ketika itu terutamanya anak gadis. Pelbagai cerita tentang hantu purdah disampaikan dari mulut ke mulut.

“Hantu purdah sekarang ada kat Kuantan. Dia tengah cari mangsa yang ke 20.”

“Hantu purdah ni tak takut dengan Al-Quran, pasal dia asal manusia.”

Hantu purdah ni muka dia hodoh sebelah. Macam isi terbakar dan berulat. Sebelum hisap darah, dia akan selak purdah dia untuk tunjukkan muka.”

“Kalau dengar orang bagi salam bunyi kum dia bergema dua kali, jangan buka pintu. Itu bukan orang, itu hantu Kum Kum.”

Kisah hantu purdah ini terus kekal misteri sehingga sekarang tanpa sebarang petunjuk atau jawapan diperolehi di sebalik kisahnya. Sesetengah orang percaya, kisah hantu purdah ini diada-adakan ibu bapa yang mahu anak gadis mereka pandai menjaga diri dan tidak pulang lewat malam ke rumah. Terdapat juga sesetengah orang yang percaya ianya adalah salah satu usaha jahat dan benang halus untuk memberi nama buruk kepada Islam terutama kepada wanita yang berpurdah.

Cerita tentang kewujudan hantu susu turut dipercayai direka dengan tujuan yang sama. Bezanya, hantu susu mengunjungi rumah ke rumah dan meminta susu untuk anaknya. Barang siapa yang memberi susu akan dilepaskan dan barang siapa yang tidak memberi akan dibunuh. Selain itu, cerita hantu karipap yang berupa seorang makcik berbaju kurung Kedah sambil memakai selendang juga tidak pernah dapat dibuktikan kesahihannya. Dikatakan hantu yang datang menjual karipap pada lewat malam dengan mengetuk tingkap-tingkap asrama ini direka supaya semua pelajar tidak tidur lewat dan berjaga malam.

Wallahu a’lam.


Hantu Purdah tulisan Amirul Bozu di dalam Tora Datang Lagi.

1