Imperial College

Imperial College

AKU tak ingat bulan berapa sebenarnya budak Zamal ni masuk kerja di syarikat yang aku kerja. Paling aku ingat, aku kena bagi tunjuk ajar pada Zamal sebab pengurus kanan suruh dia kerja dalam pentadbiran department aku.

Kedatangan Zamal pada hari pertama menimbulkan ketaksuban pada pengurusan syarikat. Dia baru tamat pengajian dari Imperial College, London dalam kursus Kejuruteraan Mekanikal. Sebelum ini, pekerja-pekerja di syarikat aku kebanyakannya dari latar belakang universiti tempatan, kalau ada latarbelakang luar negara pun universiti yang biasa-biasa tahap tak boleh pergi. Tak la hebat setara mana, macam universiti dalam negara saja dia punya pandai. Kalau ikut sejarah syarikat aku pula, tak pernah lagi budak balik dari Imperial College London masuk kerja di sini, kecuali budak Zamal ni. Entah siapalah yang ajar dia buat perkara bukan-bukan macam tu.

Aku nak beritahu sikit, Imperial College bukan tempat biasa-biasa. Dalam setahun, empat lima orang saja pelajar Malaysia yang dapat masuk. Kalau kau orang nak Google, sila taip “Imperial College”. Ada lima juta pautan berlagak untuk kau orang baca. Budak melayu nak masuk situ, MasyaAllah punyalah susah gila babi. Kalau kapasiti otak macam aku, mungkin aku layak untuk jawatan supervisor di gimnasium kolej Imperial College. Itu pun dapat kerja bukan sebab otak, tapi sebab struktur badan yang sesuai dengan kerja gimnasium.

Setiap tahun pula, boleh kira pejam mata berapa kerat budak-budak melayu desa yang masuk belajar sana, seorang mungkin. Kau orang boleh agaklah budak Zamal ni pandai dia macam mana.

Hari pertama Zamal, Pengurus Besar panggil aku masuk bilik. Masa tu Zamal dah pun ada dalam bilik. Pengurus Besar suruh aku bagi tunjuk ajar pada Zamal macam mana nak cari makan dalam syarikat. Aku mengangguk tak banyak menjawab. Pengurus Bsar menyambung perbualan dengan Zamal hal-hal yang susah aku nak faham seperti teori kapitalis dan impak pada syarikat, strategi perniagaan untuk jangka masa panjang, kepimpinan global, analisis ekonomi dan kesannya pada GDP negara, serta pelbagai perbincangan lain yang bertaraf Tun Mahathir. Sebagai pekerja senior daripada Zamal dan banyak pengalaman hidup, aku mengambil sikap serius sambil berkata “Betul tu Zamal…” setiap kali Zamal selesai memberi buah fikiran. Walhal pembacaan aku terhad ke Harian Metro saja.

Setelah selesai perbincangan arah tuju Malaysia selama 2 jam, aku keluar membawa Zamal pergi jumpa budak-budak lain dalam department. Sorang-sorang muka terkulat bila aku beritahu Zamal ni budak Imperial College. Tak berani langsung mereka nak tunjuk kemahiran berbahasa Inggeris depan Zamal. Semua mengambil langkah selamat dengan bertutur dalam bahasa melayu Kuala Lumpur. Nampaknya, asal-usul tempat pengajian boleh juga menentukan taraf hidup seseorang di mata kawan kawan. Sebagai contoh, kalau aku sekolah agama, secara automatik kawan-kawan bukan sekolah agama menyangkakan yang aku ni ustaz. Nak mengorat makwe pun tak boleh cari yang hip, nanti apa pulak kata orang.

Akhir sekali, aku bawa pula Zamal jumpa Kak Imah. Beliau merupakan kerani am department, bekerja secara kontrak yang dua tahun sekali kena renew. Umur Kak Imah sudah lewat 30 an dan fakta paling pahit untuk ditelan adalah beliau tak ‘makwe’ langsung. Aku kenalkan Zamal pada Kak Imah. Sebelum tu aku dah beritahu Zamal, walaupun Kak Imah ni tak berapa makwe pada pandangan mata kasar dan dia belajar pun tak pandai sampai masuk universiti macam budak-budak UiTM, namun kita kena hormat dia. Kalau nak bercakap biar elok-elok, tak boleh banyak bahasa Inggeris sangat nanti dia kecil hati.

“Kau tak payah tunjuk sangat Imperial College kau tu dengan Kak Imah, borak hal-hal kampung saja.” Begitu pesan aku pada Zamal.

“Kak Imah, ni budak baru masuk kerja tempat kita. Nama dia Zamal.” Aku kenalkan Zamal pada Kak Imah yang tengah lalai main Solitaire depan komputer.

“Ooohh. Selamat datang Zamal.” Balas Kak Imah mesra.

Selesai berborak serba sedikit hal rumah di mana dan adik beradik berapa orang, Pengurus Besar panggil semula Zamal masuk bilik. Nak sambung berbincang lagi agaknya.

Aku pun macam nak blah sebelum Kak Imah tanya aku “Zamal ni dulu belajar mana?”

Ah! Lupa pula aku beritahu tadi pada Kak Imah…

“Dia budak Imperial College tu Kak Imah!” Aku jawab bersungguh-sungguh.

Seperti yang aku agak, macam orang sebelum ni, Kak Imah pun bertukar muka jadi hairan. Aku tahu kak Imah pun sama fikiran macam Pengurus Besar, Pengurus Kecil dan budak-budak department yang belum boleh terima ada brader Imperial College sanggup kerja dalam syarikat ni. Aku biarkan saja Kak Imah bekerut-kerut terperanjat mendengar jawapan aku tadi.

Dengan dahi berkerut Kak Imah membalas,”La, kolej je ke? Mati-mati tadi akak ingat dia budak universiti!”

Aku punya sebak waktu tu jangan cerita. Baru aku sedar, Imperial College tu sebenarnya bukanlah ada apa sangat pada pandangan Kak Imah. Mungkin sama macam belajar di Kolej Intec, atau setidaknya sama taraf dengan Cosmopoint!

NOTA KAKI:
Zamal pernah tanya aku, dia hairan kenapa Kak Imah suruh dia belajar part time sambung degree di UiTM? Demi menjaga hati semua, aku cuma diam tak komen apa-apa.


Tulisan Fdaus Ahmad ini ada di dalam Dari KLCC Ke Tanjung Malim.

4