Islam-kah Negara Malaysia?

Islam-kah Negara Malaysia?

KITA perlu memahami konsep ‘negara’ terlebih dahulu. Dahulunya ketika di zaman Rasulullah, tidak ada konsep negara seperti ‘nation states’ yang kita ketahui sekarang. Wilayah yang dikuasai oleh orang Islam dianggap sebagai komuniti kerana mereka adalah daripada satu ummah. Malahan di Eropah juga tidak ada ‘nation states’ sebaliknya mereka ada ‘warlords’ yang menguasai kawasan tertentu.

Apabila Islam mula berkembang ke seluruh dunia, pemerintahan tempatan diletak di bawah ketua-ketua yang dipilih. Kawasan-kawasan yang luas yang kita anggap sebagai empayar Islam ini sebenarnya tidak pun memiliki perlembagaan yang seragam. Ini kerana empayar Islam tidak sama seperti Empayar Rom misalnya yang mempunyai keseragaman dari segi undang-undang bertulis.

Oleh yang demikian, definisi kepada empayar Islam ketika itu hanyalah wilayah yang majoriti penduduk telah menerima agama Islam atau orang yang beragama Islam berkuasa dan membentuk pemerintahan.

Prinsip asas pemerintahan adalah bersandarkan kepada Piagam Madinah di mana wilayah yang diperintah oleh orang Islam memberi kebebasan kepada orang bukan Islam mengikut undang-undang mereka sendiri asalkan tidak bercanggah dengan syariat Islam. Misalnya orang-orang bukan Islam di wilayah yang diperintah oleh orang Islam tidak dikenakan zakat tetapi membayar cukai kepala kepada pemerintah. Dalam pengamalan agama, bukan Islam bebas beribadat cara mereka.

Disebabkan keadilan pemerintahan Islam, kita dapat lihat penganut agama lain kerap berhijrah ke wilayah Islam untuk menyelamatkan diri dari ditindas penganut agama lain. Buktinya apabila orang Kristian Sepanyol menawan semula Sepanyol, ramai Yahudi yang memilih untuk pindah bersama dengan orang Islam ke Afrika Utara, iaitu ke Maghribi, Al-Jazair, Tunisia dan Mesir.

Bukan sahaja wilayah Islam menerima kedatangan mereka ini, malah mereka diberi tempat di dalam hal ehwal pentadbiran. Di Andalus, ada orang Yahudi yang menjadi menteri. Namun keIslaman wilayah-wilayah ini tidak dipersoalkan. Orang Kristian dan Yahudi menerima wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam.

Hanya apabila runtuhnya sistem Khalifah di Turki, wujudlah negara-negara yang bercorak ‘nation states’ di dalam dunia Islam. Maka pemerintahan di setiap negara ini berbeza-beza tetapi ini tidak menjadikan ‘keIslaman’ setiap negara tersebut dipersoalkan.

Di Malaysia, kita sering mendengar sindiran dan pandangan sinis dari segelintir golongan bahawa Malaysia bukanlah negara Islam. Walau apa pun bukti yang ditunjuk bahawa negara ini adalah negara Islam, puak ini tetap akan menolak keIslaman negara.

Di dalam sistem demokrasi, suara majoritilah yang perlu diambil kira. Lebih-lebih lagi orang Islam Malaysia yang memegang fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Jamaah di sini bermakna kumpulan yang terbesar atau majoriti. Jumlah yang terbesar daripada umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia mengiktiraf Malaysia sebagai negara Islam. Ini sahaja sudah mencukupi untuk Malaysia diterima oleh orang Islam di Malaysia yang akur kepada pendirian Ahli Sunnah Wal Jamaah, sebagai negara Islam. Alasan lain sebenarnya tidak perlu.

Walaupun demikian kita boleh tunjuk kepada bukti yang jelas bahawa segala ajaran Islam yang mampu dilaksanakan oleh pemerintahan Malaysia telah dilaksanakan di Malaysia. Orang Islam dan pembangunan Islam diberi perhatian oleh kerajaan Malaysia.

Islam memberi kelonggaran kepada pelaksanaan hukum mengikut keadaan. Di negara yang penduduknya seratus peratus terdiri daripada orang Islam, hukum Islam boleh dilaksanakan sepenuhnya. Tetapi undang-undang Islam/Syariah yang dikuatkuasakan di Malaysia mengambil kira keadaan negara yang berbilang agama. Maka keadilan yang menjadi perkara utama dalam undang-undang negara.

Islam adalah Ad-Din atau cara hidup. Pentadbiran, pelajaran, pertahanan, kesihatan, perhubungan dan perjalanan, kemudahan beribadat dan keselesaan kehidupan dan apa sahaja yang bersangkutan dengan kehidupan manusia termasuk dalam cara hidup orang Islam.

Di Malaysia cara hidup orang Islam adalah bebas daripada segala tekanan, ketidakadilan atau kekurangan. Segala-gala yang bersangkutan dengan cara hidup Islam terdapat di Malaysia walaupun terdapat penganut agama lain di Malaysia.

Semua yang dikehendaki oleh orang Islam supaya dapat hidup cara Islam terdapat di Malaysia. Oleh kerana ini dakwaan bahawa Malaysia adalah negara Islam memang berasas dan tepat.

Pengiktirafan oleh puak Islam yang minoriti seperti ini tidak penting. Samada mereka ini iktiraf atau tidak hakikatnya ialah Malaysia adalah negara Islam, diperintah oleh orang Islam, dan di mana segala suruhan Allah yang wajib diamalkan, boleh diamal dengan bebas dan selamat.

Mereka ini tidak berhak untuk menyoal Islam atau tidaknya Malaysia. Sudah tentu jika syarat mereka untuk mentakrifkan sebuah negara sebagai negara Islam hanya jika undang-undang yang dicipta oleh mereka diterima pakai, maka hari ini tidak ada satu pun negara di dunia yang boleh diiktiraf sebagai negara Islam. Ini adalah kerana tidak ada satu pun negara di dunia ini yang melaksanakan hukum-hukum ciptaan mereka – yang telah dibuktikan tidak wujud baik di waktu Piagam Madinah mahupun di era Empayar Islam.

Bagi mereka yang celik dan berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar, Malaysia adalah negara Islam. Polemik berkenaan ini tidak akan menidakkan hakikat ini. Di zaman Khulafa al-Rasyidin terdapat puak Khawarij yang terdiri dari orang yang kononnya kuat berpegang kepada agama. Bagi mereka ini, hanya mereka sahaja yang Islam dan orang Islam lain terutama pemerintah semuanya tidak Islam. Mereka menolak persaudaraan dalam Islam.

Sesungguhnya tabiat Khawarij terdapat di sepanjang zaman dan di setiap tempat.


Islam-kah Negara Malaysia? tulisan Mat Rodi dalam Saring Sebelum Mereng.

Dapatkan Saring Sebelum Mereng di: https://dubookpress.com/produk/saring-sebelum-mereng/