Jam Berhantu!

Jam Berhantu!

PERNAHKAH anda mendengar tentang jam berhantu atau ‘witching hour’? Seram?

Menjadi kelaziman bagi mana-mana budaya di dunia ini untuk mengaitkan bayi yang sering atau teruk menangis dan resah pada lewat petang dan malam, dengan unsur-unsur mistik seperti penampakan hantu dan sebagainya. Begitulah halnya bagaimana gelaran ‘witching hour’ ini diperoleh. Sejarahnya, budaya barat mempercayai bahawa bermula waktu menjelang malam, para ahli sihir akan berterbangan dan menaburkan sihir-sihir jahat di merata tempat. Bayi sebagai salah satu makhluk suci, adalah yang paling mudah diganggu akibat terkena sihir ini.

Dalam perubatan moden atau secara saintifiknya, ada penjelasan konkrit bagi perkara ini:

1. Terlalu letih (overtired)

Seperti orang dewasa, bayi kecil juga mudah berasa sangat letih pada penghujung hari. Jika orang dewasa berasa sangat kepenatan setelah melalui satu hari yang panjang dengan pelbagai urusan kerja dan kehidupan, berkejar ke sana dan sini dan pulang pada petang hari untuk melepas lelah di rumah, bayi kecil juga tidak terkecuali untuk merasakan hal yang serupa. Sudah tentu atas alasan yang berbeza. Aktiviti berjaga, memerhati, belajar tentang banyak perkara baru dan cuba beradaptasi untuk melakukan transisi ke fasa rehat dan tidur, beberapa kali dalam sehari, pada akhirnya cukup meletihkan bayi kecil. Sebahagian bayi mungkin merengek atau resah dengan lebih nyata. Namun bagi bayi yang sensitif, mereka akan mengamuk dan menjadi makin sukar untuk ditenteramkan andai ibu gagal memahami bahawa mereka telah terlalu letih.

2. Terlebih rangsangan (overstimute)

Dunia rahim dan dunia luar rahim adalah dua dunia dengan perbezaan yang nyata. Semasa di dalam kandungan, rahim menyediakan bayi dengan semua sensasi yang menenangkan dan aman. Dunia luar rahim pula dipenuhi dengan rangsangan atau stimulasi yang datang dalam pelbagai bentuk seperti sentuhan, cahaya, bunyi dan bau. Bagi bayi kecil, terutama dengan kawalan pusat yang lemah serta corak sikap yang sukar, amat mudah bagi deria mereka menjadi terbeban atau melimpah ruah dengan stimulasi tanpa henti dari sekeliling ini. Mereka yang masih mempunyai adaptasi lemah terhadap dunia baru ini mudah merasa rimas dan akhirnya hilang kawalan terutama pada penghujung hari.

3. Merasa terasing (understimulate)

Jika bayi boleh terdedah kepada terlebih rangsangan, sudah tentu bayi juga boleh terdedah kepada perkara berlawanan iaitu terkurang rangsangan. Apa yang cuba saya maksudkan ialah rangsangan yang diterima dari dunia baru ini amat berlainan dari apa yang biasa mereka dapatkan. Sehinggakan, walau melimpah ruah pun rangsangan yang diterima bayi (overstimulate) ia tetap gagal untuk membuat bayi merasa selesa, malah ia makin membuat bayi merasa terasing. Dan kerana itu, mereka merasa resah, panik dan menangis kerananya. Keadaan tentu lebih mudah bertambah buruk di penghujung hari bila faktor terlalu letih dan terlebih rangsangan menjadi satu!

4. Keperluan kepada ‘cluster feeding’

Pernahkah anda menyedari akan situasi di mana bayi kerap meminta untuk disusukan atau istilah Melayunya mengempeng. Mereka seolah-olah tidak puas dan mahu terus menyusu. Perkara ini digelar ‘cluster feeding’ iaitu penyusuan kerap dan pantas, berulang-ulang kali, beberapa jam sebelum bayi memulakan tidur malam yang panjang. Mereka seolah-olah ingin membuat stok. Ia sebenarnya adalah perkara biasa bagi bayi kecil untuk memenuhi keperluan tumbesarannya. ‘Cluster feeding’ meningkatkan jumlah kemasukan kalori dan merupakan salah satu perkara yang dapat membantu bayi tidur dengan lebih baik pada waktu malam.

Keseluruhan perkara yang menerangkan tentang keresahan atau tangisan yang lebih kerap pada waktu petang atau malam ini telah dapat dijelaskan melalui 6 huruf yang membentuk suatu perkataan berbunyi ‘PURPLE’. Ia diperkenalkan oleh salah seorang pakar kanak-kanak USA, iaitu Dr. Ronald Barr untuk menerangkan kesemua perkara berikut:

P – Peak of Crying: Merujuk waktu puncak bayi resah dan menangis yang biasanya berlaku pada minggu ke 6-8 dan berakhir menjelang usia 3-5 bulan.
U – Unexpected: Merujuk kepada ciri tangisan yang boleh datang dan pergi secara tiba-tiba.
R – Resists Soothing: Merujuk kepada kebiasaan bayi untuk tidak dapat berhenti menangis walau telah cuba ditenteramkan dengan pelbagai cara.
P – Pain Like Face: Merujuk kepada bayi yang kelihatan seperti dalam kesakitan kerana kuatnya dia menangis. Namun hakikat sebenarnya, bayi sedang melalui tempoh sukar dari segi ‘emosi’ berbanding dari segi fizikal atau fisiologi.
L–Long Lasting: Merujuk kepada tangisan yang berpanjangan. Boleh mencecah hingga 5 jam sehari.
E – Evening: Merujuk kepada akan biasanya episod tangisan ini mengambil tempat pada lewat petang dan membawa ke malam.

Unsur Mistik?

Saya tidak terlepas dari menerima pertanyaan, “ Adalah perihal tangisan berlebihan pada lewat petang ini tiada kaitan langsung dengan unsur mistik?” Malah, pernah juga saya disalah tafsirkan sebagai menolak kepercayaan alam ghaib. Sebagai seorang Islam, sudah tentu mempercayai alam ghaib dan unsurnya adalah salah satu kewajipan buat saya. Terdapat banyak hadith yang menerangkan akan kesukaan makhluk halus ini mengganggu manusia dan kecenderungannya terhadap beberapa kumpulan manusia termasuk bayi kecil. Ia tidak terhenti di situ sahaja.

Agama Islam, sebagai agama yang lengkap, juga telah menggariskan panduan serta amalan yang harus dan dapat kita dilakukan untuk melindungi diri dari kejahatan makhluk halus ini. Saya tidak berniat untuk membincangkan perihal unsur mistik atau gangguan syaitan dan makhluk halus dengan lebih lanjut di sini kerana ia di luar bidang kepakaran saya. Rata-rata ibu yang bertanyakan hal ini kepada saya selalunya akan menerangkan bagaimana pada kebiasaannya tangisan pada lewat petang ini kerap berlaku dalam tempoh pantang atau pada tiga bulan pertama usia bayi dan menjadi lebih baik selepas tempoh tersebut.

Maka, saya selalunya akan menjawab bahawa sains ada penerangan yang berpadanan dengan perincian yang mereka berikan. Misalnya, mengapa ia sering terjadi ketika bayi di bawah tiga bulan dan berakhir atau bertambah baik selepas usia itu, telah dapat diterangkan dengan ciri colic yang telah kita pelajari dalam bab sebelum ini. Perihal ciri kebiasaan episod tangisan ini yang dapat dijelaskan oleh singkatan PURPLE yang diperkenalkan oleh Dr. Ronald Barr dan penjelasan perkaitan ‘witching hour’ menambah lengkap jawapan yang dapat saya berikan dari sudut saintifiknya. Namun, dari sudut mistiknya, saya tidak dapat menjawab atau memahami mengapa jika benar bayi diganggu, gangguan ini selalunya berakhir selepas usia tiga bulan. Adakah makhluk halus ini mensasarkan bayi dengan had umur tertentu atau bagaimana? Oleh kerana itu, saya tidak cenderung untuk cepat bersetuju dengan kaitan gangguan makhluk halus sebagai punca utama bayi menangis terutama pada lewat petang. Dalam masa yang sama, saya tidak menolak kemungkinannya secara total atas keyakinan saya terhadap ajaran agama yang saya anuti.


Tulisan Uswatun Hasanah ini ada di dalam Mengapa Bayi Anda Menangis?

1