Kadang-Kadang Untuk Pandangan Pertama, Kita Menetapkan Kriteria Yang Tak Relevan Untuk Calon Pasangan Hidup Kita

Kadang-Kadang Untuk Pandangan Pertama, Kita Menetapkan Kriteria Yang Tak Relevan Untuk Calon Pasangan Hidup Kita

MACAM aku, syarat untuk menambat hati aku pada pandangan pertama ialah lelaki itu mesti lebih tinggi daripada aku. Berjanggut. Hidung mancung. Bukan jatuh dalam kalangan mat rempit, ataupun sejenis dengan Farid Kamil pun aku tak mahu. Bukan lelaki yang jalan kengkang macam rempit, bukan lelaki yang jalan bahu macam Robocop, cakap memekik-mekik, tapi bawak tas tangan awek pun aku tak suka. Banyak lagilah. Kalau nak sebut satu-satu macam lah aku sempurna sangat.

Tambat maksud aku ialah tambat untuk jangka masa yang lama. Tambat sampai aku tak mampu nak benci pun.

Bila aku tanya suami aku soalan yang sama, dia cakap syarat untuk tambat hati dia ialah perempuan tinggi juga, tak hitam, tak gelak mengilai, tak bersuara nyaring. Tak pakai barang Emily the Strange, tak berbau badan, tak ada tahi lalat besar di muka, tak rempit juga, tak pakai sweater motor terutama yang belang-belang. Pun banyak lagi yang kalau aku huraikan, macam merentap sensitiviti wanita-wanita lain.

Aku pernah jumpa seorang kawan yang tak suka perempuan gigi berlapis. Ada yang siap tengok bahagian pergelangan kaki. Kalau pergelangan kaki dia genting atau kecil sangat daripada betis, dia reject. Paling kelakar aku pernah dengar, dia suka perempuan yang hari-hari berbau syampu. Dia tak suka perempuan busuk. Tapi perempuan pakai minyak wangi pun dia tak suka. Dia suka bau syampu je.

Petang kelmarin selepas waktu pejabat, melepak sambil makan pisang goreng, Anas cakap muka aku dan As jadi buruk semasa makan. Makan tak beradab. Dia fikir kami jenis perempuan yang depan lelaki cover semua.

Ada lagi ya perempuan yang depan boyfriend/suami cover semua?

Cover makan, cover jalan, cover kentut, cover sendawa.

Anas cakap lagi, kalau dialah, pertama kali jumpa perempuan cantik macam mana pun tapi makan buruk, pinggan bersepah, makan berterabur pun dia boleh reject. Walau muka dia comel macam Katie Holmes.

Macam-macam. Padahal kriteria itu semua tak dapat menyelamatkan masalah di dalam rumah tangga pun.

Tapi bila aku dah berkahwin, perlahan-lahan aku nampak bahawa kesanggupan seseorang untuk menerima baik buruk kita tapi tetap menyayangi kita itu adalah lebih penting daripada kriteria luaran yang aku sebutkan. Maksud aku, aku bukannya seorang yang perfect dari segi sikap pun. Kadang-kadang aku kagum dengan suami aku sendiri yang boleh tahan dengan perangai aku yang banyak cacat dan celanya ini.

Dan aku pun pelik kenapa aku boleh terima dan sayang suami aku walau banyak kali dia buat perkara-perkara yang menjengkelkan aku. Walau dah 4 tahun kenal dan menghadap benda yang sama, bercinta, bergaduh siap nak putus, siap nak lari dan beralih angin, tapi memang susah aku nak buang sayang yang ada walau ada lelaki-lelaki yang pernah datang dalam hidup aku.

Segala kriteria luaran langsung hilang ditelan takdir yang menentukan samada kau serasi bersama atau terus bertahan.

Pelik, tapi benar.


Tulisan Ladynoe ini ada di dalam Desaturasi Merah Jambu.