330 Juta Tuhan Hindu

Dalam kalangan penganut agama Islam, kita sudah biasa mendengar mengenai 99 nama Allah yang sangat indah berdasarkan sifat-sifat yang dimiliki-Nya. Dalam kalangan orang Hindu pula, kita mungkin pernah mendengar tentang 33 kodi Devar (330 juta Tuhan).

Sebelum sesiapa membuat tafsiran yang salah, biar saya tekankan bahawa sebagai salah satu agama terawal di dunia, ajaran Hindu menekankan konsep tauhid; iaitu Keesaan Tuhan. Berbeza dengan tanggapan (baca: salah tanggap) dalam kalangan masyarakat tertentu, Tuhan dalam ajaran Hindu adalah Eka (Tunggal/Satu/Esa).

Lalu, mengapa pula lahir konsep “330 juta Tuhan”? Untuk memahami makna sebenar ungkapan itu, tentulah kita perlu memahami beberapa perkara asas dalam ajaran Hindu. Kalau sekadar melihat dengan mata penuh prejudis dan menggunakan pula teropong etnosentrik, ultra kiasu, fanatik, pentaksub dan rasis, tentulah kita tidak akan mendapat sebarang pemahaman.

Selaras dengan usaha murni kerajaan menerusi mata pelajaran Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS) “meningkatkan kefahaman dan rasa hormat antara rakyat serta menguatkan perpaduan dan persefahaman antara anggota masyarakat” (Utusan Malaysia, 23 Julai 2013), samasamalah kita meneliti persoalan ini dengan minda terbuka tanpa perlu meninggalkan agama masing-masing.

Dalam kisah-kisah purana budaya India-Hindu sejak sekitar 5,000 tahun dahulu di Mohenjodaro, Harappa dan Lembah Indus, terdapat golongan vasu atau sura yang juga dipanggil sebagai dewa-dewi. Harap maklum bahawa konsep “dewadewi” dalam budaya Nusantara tidak semestinya sama dengan konsep asal dalam budaya India-Hindu.

Dalam kitab Rigveda yang mengandungi 10,522 gita puja (hymn), sejumlah 33 dewa dinyatakan. Antaranya ialah Indra, Agni, Surya, Vayu, Dyaus, Prithivi, Apas, Soma, Divya dan Varuna. Dapat diperhatikan bahawa kebanyakan nama dewadewi ini merujuk kepada unsur-unsur alam seperti angin, api, matahari, air dan angkasa.

Dalam kitab Yajurveda yang mengandungi sekitar 6,000 gita puja pula, antara nama yang digunakan adalah Agni, Aditya, Vayu, Chandramas, Sukra, Brahman, Apah dan Prajapati. Nama-nama lain yang boleh ditemui dalam kitab-kitab Hindu termasuk Bhumi, Tejas, Indra, Savita, Paramatma, Iswara, Mitra, Dera, Ananda, Guru, Satya dan Akasa.

Masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia kemungkinan besar sudah biasa mendengar nama dewadewi seperti Brahman, Vishnu, Shiva, Shakti, Laksmi, Krishna, Durga, Kali, Ganesha (Ganapathi), Murugan (Subramaniam) dan Narashima. Setiap dewa-dewi ini pula ada puluhan avatara dan inkarnasi. Kisah-kisah itu boleh dibaca dalam karya-karya purana dan epik India.

Senarai nama-nama di atas mungkin membawa kita kembali kepada persoalan tentang jumlah Tuhan (Theivam, Iraivan, Kadavul) yang disembah orang Hindu. Untuk rekod, sebagaimana Asmaul Husna (99 nama yang teragung, termulia dan terindah) tetap merujuk kepada Allah yang Maha Esa dalam agama Islam, nama-nama yang saya senaraikan di atas juga merujuk kepada Tuhan yang Maha Esa menurut ajaran Hindu.

Dinyatakan dalam kitab Chandogya Upanishad tentang konsep Ekam Evad Vitiyam yang membawa makna “Dia hanya Satu dan bukan dua” manakala dalam Rigveda ditekankan “Tuhan hanya Satu, sembah Tuhan yang Satu”.

Sebelum menuduh saya cuba menyebarkan ajaran Hindu menerusi makalah Bahasa Malaysia, harap maklum bahawa kenyataan di atas dinyatakan Pengarah Unit Dakwah Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam Malaysia, Muhammad Fitri Abdullah.

Petikan berkenaan diambil daripada kertas kerja yang dibentangkannya pada sebuah seminar anjuran Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 30 Mei 2009 di Shah Alam.

Usah Biarkan Fakta Dimanipulasi

Muhammad Fitri turut mengakui bahawa “selama ini, kita mempunyai tanggapan yang salah terhadap agama Hindu” dan “agama Hindu adalah antara agama yang terawal berbicara tentang tauhid (Eka Tuam)”.

Lalu, dari mana pula muncul frasa “330 juta Tuhan”? Menurut konsep Eka Aneka (Tuhan yang Maha Esa tetapi dikenali dengan nama yang beraneka), manusia memberikan pelbagai nama kepada Tuhan mengikut sifat-sifat yang dimiliki-Nya.

Istilah kodi dalam Bahasa Tamil boleh membawa makna “sepuluh juta” (ten million). Istilah itu juga boleh merujuk kepada “golongan” (class) iaitu pelbagai lapisan masyarakat.

Ada pandangan yang mengatakan bahawa 33 kodi Devar membawa makna Tuhan boleh muncul dalam 33 rupa yang diingini oleh 33 “golongan manusia” (kodi) berdasarkan sifat-sifat yang dimiliki-Nya. “Devar” atau “Thevar” di sini merujuk kepada Tuhan dan bukannya gelaran bagi manusia.

Sudah saya nyatakan bahawa 33 nama Tuhan dinyatakan dalam Rigveda. Maknanya di sini adalah bahawa Tuhan boleh muncul dalam bentuk, rupa dan sifat seperti diingini manusia; mengikut kedudukan mereka berdasarkan betapa dalamnya ilmu agama serta tahap pemahaman mereka terhadap konsep kewujudan-Nya.

Satu lagi pandangan mengatakan bahawa “330 juta Tuhan” memang merujuk kepada kodi dengan makna “sepuluh juta”. Maka, 33 kodi Devar memang membawa makna “330 juta Tuhan”. Nampaknya kita kembali kepada persoalan mengapa ada 330 juta Tuhan!

Dalam Brhadaranyaka Upanishad, sewaktu berbicara tentang Brahman, Yajnavalkya ditanya soalan tentang jumlah Tuhan dalam ajaran Hindu. Angka yang diberikannya adalah “303”. Apabila soalan diulang, jawapannya adalah “3,003”. Ditanya lagi dan dijawab pula dengan angka “33”. Kemudian jawapan menjadi “enam” dan akhirnya “satu”.

Hal ini tidak bermakna Yajnavalkya tidak tahu jawapan sehingga bertindak mengubah angka pada setiap kali soalan sama diulang. Sebaliknya pendeta itu mahu menegaskan bahawa Tuhan adalah Maha Esa tetapi bersifat Eka Aneka.

Pada zaman dahulu, kodi (sepuluh ribu) adalah angka paling besar yang mampu difikirkan oleh manusia. Manusia pada zaman itu belum lagi memikirkan angka bilion dan zilion. Jumlah kodi itu pula bukan hanya merujuk kepada manusia; tetapi turut mengambil kira jumlah segala hidupan dan benda-benda tidak hidup di dunia.

Akhirnya, frasa 33 kodi Devar (330 juta Tuhan) digunakan untuk menunjukkan sifat infiniti (tidak terhingga; tidak boleh dikira) yang dimiliki oleh Tuhan. Frasa ini selaras dengan kedudukan ajaran Hindu sebagai agama tauhid yang menekankan serta mempertahankan aspek Eka Aneka sejak lebih 5,000 tahun dahulu.

Maka, sekiranya ada pihak kurang bertanggungjawab (dan kurang berpengetahuan) yang cuba memutarbelitkan fakta dan cuba meyakinkan kita bahawa orang Hindu menyembah “330 juta Tuhan”, kita bolehlah dengan penuh yakin dan tegas mematahkan serangan, tuduhan dan fitnah berkenaan kerana kita sudahpun memiliki maklumat sebenar.

Sebagai penutup, renung-renungkanlah salah satu baris dalam Thirumurai (Thevaram) yang penting dalam kalangan orang Hindu dan turut dipetik oleh Muhammad Fitri dalam kertas kerja dakwahnya:

“Karpanai kadantha jothi, karunai yeh uruvam aagi” – “Tuhan dalam bentuk nur (cahaya) yang tidak dapat dibayangkan rupa-Nya, lahir dalam bentuk Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”


Tulisan Uthaya Sankar SB ini adalah petikan dari buku Malaiur Manikam.