Kemuliaan Manusia Adalah Pada Ilmunya

SECARA asasnya Islam meletakkan ilmu di tempat yang tertinggi dalam kehidupan manusia. Ini terbukti dengan penurunan wahyu yang pertama iaitu sebuah arahan, ‘Bacalah!’.

Ibnu Kathir menerangkan, ayat-ayat tersebut merupakan rahmat Allah kepada hamba-Nya sekali gus merupakan nikmat yang pertama diberikan kepada manusia. Dalam ayat-ayat tersebut juga termuat peringatan mengenai kejadian manusia yang berasal daripada segumpal darah.

Antara kemurahan Allah juga adalah manusia diajarkan ilmu ilmu yang tidak diketahui oleh mereka. Dengan demikian, Allah telah memuliakan hamba-hamba-Nya dengan ilmu yang diberikan. Inilah antara sebab mengapa Nabi Adam a.s. lebih mulia daripada para malaikat.

Kadang-kadang ilmu itu berada dalam fikiran, kadang pula ada pada lisan dan kadang pula terdapat pada penulisan-penulisan. Memperolehi ilmu melalui akal, lisan dan tulisan adalah perkara yang harus dalam pemerolehan ilmu.

Oleh kerana itu Allah berfirman bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang mulia. Yang mengajar manusia dengan kalam. Dia mengajar manusia kepada apa yang mereka tidak tahu.” (Surah al-Alaq, ayat 3-5)

Dalam Sunan A-Darimi, bab Min Rukhsatil Kitabil Ilm. Dinyatakan, dalam atsar ada menyebut: “Ikatlah ilmu itu dengan tulisan.” Kemudian disebut juga: “Sesiapa yang mengamalkan apa yang diketahuinya, Allah akan mewariskan apa yang mereka tidak tahu sebelumnya.”

Justeru boleh disifatkan juga bahawa apa sahaja pembelajaran ilmu yang tidak membawa kepada pengesaan dan kemuliaan Allah taala tidak layak dipanggil ilmu, sekalipun ilmu tersebut bukan ilmu agama dan melibatkan sains dan sebagainya.

Selain daripada itu, banyak hadis yang direkodkan daripada Nabi Muhammad SAW mengenai kepentingan dan keutamaan ilmu. Antaranya mengenai kewajipan umat Islam dalam menuntut ilmu. Daripada Anas bin Malik r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas tiap-tiap seorang Islam.” (Ibnu Majah dan Lain-lainnya).

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW pernah berpesan yang bermaksud: “Sesiapa yang memasuki sesuatu jalan bagi menuntut ilmu, Allah akan mudah kepadanya jalan ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim, no: 4867)

Ketinggian dan kepentingan ilmu terbukti dengan hadis ini apabila dikatakan bahawa dengan menuntut ilmu maka jalan ke syurga akan menjadi mudah. Ini adalah janji Allah melalui nabi-Nya dan kita wajar mengejar peluang tersebut.

Begitu juga dengan jelas Rasulullah menerangkan betapa penting dan besarnya sesebuah majlis ilmu dijalankan dengan merujuk kepada pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa pergi ke masjid hanya bagi mempelajari kebaikan atau mengajarnya, maka dia akan dapat pahala ibarat orang yang buat haji secara sempurna.” (Hadis hasan, Sahih Al-Tarhib wal
Targhib, no: 86)

Selain daripada belajar ilmu sebagaimana yang disarankan oleh Allah dan Rasul, orang Islam juga wajib mengajar orang lain apabila sudah cukup syaratnya.

Hal ini disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud yang bermaksud: “Dari Ibnu Mas’ud r.a., dari Nabi s.a.w., sabdanya: “Pelajarilah ilmu-ilmu agama dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; – pelajarilah perkara-perkara yang difardukan dalam Islam dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; pelajarilah Al-Qur’an dan ajarkanlah dia kepada orang ramai; kerana sebenarnya aku seorang yang akan mati (seperti makhluk-makhluk yang lain) dan ilmu juga akan diambil (kembali oleh Tuhan dan hilang lenyap) dan akan lahirlah berbagai-bagai fitnah kekacauan sehingga akan berselisih dua orang dalam satu perkara yang difardukan, yang mereka tidak dapat seorang pun yang boleh menyelesaikan perkara yang diperselisihkan itu” (Ad-Darimi dan Ad-Daruqutni).


Kemuliaan Manusia Adalah Pada Ilmunya oleh Zahiruddin Zabidi

Dapatkan La Adri di: https://dubookpress.com/produk/la-adri/