Kunang Pesisir Morten – Bab 1

Kunang Pesisir Morten – Bab 1

MORTEN 1984

DHIYA menghadang muka dengan telapak tangan. Mata kecilnya semakin sepet menahan terik. Silau matahari ditabir. Kami memanggilnya cahaya agung. Bukan kerana ia rahmat. Malah menjengkelkan mungkin. Kerana kami tidak akan boleh lari daripadanya dan sinar terik itu telah menghitamkan kami, anak Kampung Morten.

Tidak. Kampung Morten, pada tahun 1984 bukan seperti yang kau fikirkan. Pada waktu ini, ketika ini, kau masih dapat melihat barisan tandas kayu perca bersusun hodoh di atas persisiran lumpur Sungai Melaka itu. Kami di sini sering berjalan tegak tanpa menoleh ke arah jamban kayu kerana merasa ngeri dan seram. Kerana lebih malang lagi, kau tak perlu mengintai pun untuk melihat mereka membuang air besar di celah lompong papan. Bahan buangan itu pasti saja akan mencebur masuk ke dalam sungai dan terapung buat seketika sebelum melarut dan tenggelam.

Kami tidak tahu apa gilanya menamakan sebuah kampung tradisional Melayu yang sarat juga dengan nilai Melayunya dengan nama pesuruhjaya daripada tanah Inggeris. Lama kemudian, bila dewasa kami mendengar bahawa Frederick Joseph Morten telah menggunakan pengaruhnya untuk memberi pinjam sebanyak 10,000 Straits Dollar kepada pengasas kampung ini, Datuk Othman Muhammad Noh pada 1921 untuk menyelamatkan penduduk kampung di tengah bandar ini dengan tanah seluas 650 hektar daripada dipindahkan. Datuk Othman yang mulia telah membeli tanah ini daripada konglomerat Melayu dan membangunkannya.

Aku yakin sehingga kini aku boleh membilang dengan jari berapa ramai yang sedar tindakan Datuk Othman itu semata-mata untuk mempertahankan pemukiman Melayu agar tidak keluar dari kota Melaka. Ironinya, perjuangannya harus dibayar dengan pengorbanan yang besar bahawa kampung itu akan abadi dinamakan dengan nama asing seorang Inggeris. Selepas pemukiman beberapa tahun, pada 1923 pembukaan kampung ini dirasmikan sendiri oleh Morten. Lelaki tinggi bagak itu hadir dikerumuni khalayak Melayu dengan memakai pakaian kot berlapis-lapis dengan langkah bangga. Ku kira jika dapat aku memutar waktu, aku akan melihat wajah kecewa dalam diam Datuk Othman yang dapat melihat puing–puing masa depan. Bahawa di waktu mendatang, Kampung Morten sekali-kali tidak akan dapat lari daripada semangat kolonial Barat dan kesan sistem pecah-perintah.

Kami kanak-kanak tetap tidak peduli. Persiaran Datuk Othman, jalan utama mengelilingi kampung ini bukan pun boleh kau panggil jalan. Cuma jambatan kayu lusuh di persisiran sungai lumpur. Hanya boleh ditembusi basikal atau motosikal ringan. Menunggu waktu untuk mereput dan rompong. Bagaimanapun, rumah-rumah anggun barisan depan Sungai Melaka ini seolah barisan kesatria yang gagah. Rumah panggung kayu tradisional berbumbung limas. Tangga batunya rencam berwarna. Tersusun rapi dan indah. Sentiasa bersedia memberi tanggapan terbaik kepada orang luar tentang dunia kami.

Tapi ini bukan tempat aku dan Dhiya. Tempat kami terlontar di belakang. Lorong Tun Mamat. Di belakang rumah-rumah indah ini, kau akan melihat merundumnya taraf hidup. Ada di antara rumah tradisional ini telah disambung-sambung dengan bangunan separuh setinggan kerana keluarga yang membesar sejak 1921 dan membeli hartanah di kawasan bandar bukan satu pilihan. Juga kerana peningkatan kos bahan binaan dan merundumnya ekonomi pada 1970-an menyebabkan mereka menyambung bangunan-bangunan itu dengan hodoh dan daif. Hilang segala keanggunan gaya vernakular yang dimulakan oleh Datuk Othman. Keluarga yang telah beranak pinak ini tinggal di bangunan sambung yang sesak melemaskan. Ada di antara mereka membuat keputusan untuk berpindah di pinggir bandar dengan rumah yang lebih baik dan mampu milik. Bagaimanapun rumah bersambung ini tetap wujud dan disewakan kepada mereka yang terdesak tinggal di bandar. Contoh terdekat adalah keluargaku sendiri dan ibu Dhiya.

Dhiya. Perempuan itu dengan jelas membencinya. Di dalam gambaran mata Dhiya, rumah sambung Kampung Morten adalah himpunan tinggi sampah kayu lapis. Setinggan berlantai tanah. Saliran menjijikkan. Bau pekung hapak sentiasa mengapung. Jika dilanda ribut, dengan mudah bumbung tercabut melayang. Rumah kami. Syurga kami.

Kami tidak betah. Sering kami bersidai di jambatan persiaran. Tidak kira panas rembang. Menikmati sungai coklat pekat Melaka. Memerhati tebing lumpur dan belacak yang rajin mencari makan di celah akar beringin dan pokok bakau. Permandangan yang lebih mendamaikan daripada bingkai pintu rumah yang sudah dimakan bubuk.

Dan sungai itu seolah punya sempadan ghaib penggaris bangsa. Di seberang sungai sana kau dapat melihat perkampungan marhaen Hokkien bercampur Baba Peranakan. Status kehidupan mereka tidaklah berbeza daripada kami. Tetapi kerana didiami bangsa lain; dengan mudahnya dianggap dunia asing yang tiada kaitan sama sekali dengan Kampung Morten.

Sore hangat. Aku baru saja pulang daripada menjual sebakul popia dan cucur udang. Cucur udang ibuku paling sedap di sini dengan peminat tetap saban petang. Langkahku pantas. Apabila semua habis dijual, acara wajib seterusnya adalah bertemu perempuan itu. Aku telah pun nampak sosok tubuh kurusnya daripada jauh dan berlari anak mendapatkannya.

“Dhiya! Sini kau!” jeritku.

Terpempan. Aku memerhatikan Dhiya atas ke bawah. Ya Tuhan. Dasar perempuan mereng.

Nama Dhiya diberi sempena nama aktress seberang, Widyawati Sophan Sophian. Satu kampung tahu taksubnya ibu Dhiya dengan pelakon filem Pengantin Remaja itu. Ku fikir ibu Dhiya mahu dia membesar menjadi wanita sempurna dengan keanggunan dan santun perempuan Melayu terakhir. Tetapi jika kau membayangkan Dhiya mempunyai aura wanita jelita itu waima sekuman pun, tolong kuburkankan imaginasi kau dalam-dalam.

Kau bayangkan POV aku sekarang. Rambut ikal pendek menggerbangnya menutup sedikit muka hitam manis dan berminyak. Ikalnya itu sedikit perang kerana kerap berjemur seharian. T-shirtnya penuh corengan kelabu. Skirt sedikit tercarik. Dan kakinya itu. Kaki ayamnya menandakan kesan benaman lumpur separas lutut. Satu-satunya perkara sahaja yang akan membuat kau menoleh dua kali kepada Dhiya ialah matanya. Cuma matanya bersinar-sinar gemilang, menandakan kecerdasan yang sukar dilupakan.

“Mana selipar?” herdikku.

Dhiya tersengih menunjukkan gigi besarnya. Telunjuknya menghala ke hujung jambatan. Aku mendengus. Memang kami anak pra setinggan. Bukan bermakna kami harus berpakaian seperti pengemis. Pantang.

“Lain kali nak turun tangkap ketam, panggil aku dulu! Kan sekarang masa air pasang!”

Dhiya melangkah gontai tidak menghiraukan.

“Tak boleh tunggu kau, Adi! Lembab. Bila masuk musim hujan, susah nak jumpa ketam cantik! Tak kan itu pun kau tak tahu?”

Aku menggeleng kepala, geram. Mahu saja aku menarik rambutnya. Tapi aku terpaksa akur yang ketam lumpur itu membiak bermusim. Juga bersifat nocturnal. Cuma galak keluar lewat petang membawa ke malam. Dhiya pula mengejar masa. Perempuan itu mana tahu makna sabar. Air pasang tidak terduga itu pun sanggup diharungnya.

“Tengok ni Adi!” matanya bersinar-sinar.

Dhiya mengeluarkan botol kecil dari poket skirt. Ketam sungai lumpur. Sepit jingga terangnya memukau. Binatang yang datang dari lubang lumpur likat berkilau keemasan. Diamku terpukau. Ya. Makhluk secantik itu ditemui di sungai ini. Betapa alam pun punya paradoks. Mata Dhiya terus cerlang keriangan. Aku mendengus. Berlakon tenang kononnya tiada yang istimewa.

“Untuk lawan ketam aku?”

“Gila kau?” Dhiya menjeling.

“Ini yang terbaik dalam tahun ni tau tak?”

Dhiya menyimpan ketam itu ke dalam poket. Sudut bibir Dhiya masih melarik senyum.

Orang lain akan memandang Dhiya sebagai Dhiya. Budak kerdil sembilan tahun, comotnya ya ampun yang menempat di ceruk rumah pra setinggan tanpa kasih seorang ayah. Kami tidak pernah bertanya. Kami punya hidup sendiri. Tanggungjawab sendiri. Jadi, masalahnya juga sendiri-sendiri. Mengapa perlu ditanya jika cuma mengundang beban?

Atau benarkah begitu? Lihat sahaja sinar mata Dhiya. Seumpama pandangan yang menerobos ke dunia magis lukisan Monet. Menyimpan seribu rahsia takjub tidak terungkap. Penuh pesona yang tidak perlu ditukar dengan kata-kata. Dia melangkah dengan bebas riang. Seolah ada selimut ghaib menyelimuti, melindungnya daripada nasib malang.

“Kita pergi mana ni?”

Mata Dhiya kembali cerlang.

“Tempat biasa.”

Aku menggeleng. Aduhai.

Tapi kami tetap kembali ke sini. Sebenarnya, hampir setiap hari. Dan setiap kali, Dhiya akan berdiri tegak memandangnya. Seolah ritual askar prebet memberi hormat pegawai tertinggi. Inilah Dhiya. Pencinta bangunan-bangunan indah. Usia semudanya telah faham fungsi dan estetik binaan. Sudah mengerti pentingnya arsitektur dan penggunaan ruang. Lambang tamadun dan peradaban. Dan pandangannya mengimbas. Nafasnya tertahan. Dia mengingati, menghafal setiap butiran. Menanam gambarannya dalam-dalam.

Villa Sentosa. Pintu pagarnya sentiasa terbuka. Jalan masuknya dipayungi bougainvilla yang membentuk topiari berbentuk topi besar. Dengan musim bunga sepanjang tahun, ia sentiasa menggamit. Bunga-bunga putih yang gugur bertaburan di pintu pagar seakan menyambut selamat datang. Memberi petanda apabila kau melepasi gerbang itu, kau bukan lagi di alam biasa. Inilah inderaloka. Pokok-pokok bunganya renek pendek. Sentiasa mekar berwarna lembut namun tidak sarat, merimbun seperti taman tropika dunia Melayu serta tersusun kerana mengambil inspirasi taman pastel dunia Eropah.

Dan rumah itu. Mungkin satu-satunya kebanggaan kami di sini yang tidak akan terkalahkan. Simbol kemartabatan. Villa Sentosa dengan sekali imbas dianggap rumah seorang kaya kerana atapnya itu atap genting tanah liat. Bagaimanapun, rumah itu tidak angkuh terasing daripada rumah sebaris dengannya. Jika kau melihatnya daripada jambatan besar Kampung Morten, kau akan segera mengenalnya kerana ia satu-satunya rumah di selekoh tajam sungai. Masih dengan rekabentuk rumah panggung berbumbung limas. Tidak juga terlalu besar. Tetapi punya pelantar laman dalam yang menghangatkan. Kau dapat mengintai damai pokok-pokok herba di laman dalam. Warna putih hijau epal pastel membezakannya dengan rumah-rumah yang lain. Menyatakan rumah itu diasimilasi dengan gaya kolonial yang anggun.

Anjung terbukanya dipagar rendah dengan pintu panel bercermin hijau telus. Tangga batunya melengkung ke bawah, ringkas diiringi dengan warna hangat bunga merimbun kiri dan kanan. Dan apabila melangkah ke serambinya, kau akan melihat daun tingkap ram terbuka luas dengan kekisi logam bermotif unik pengaruh senibina Islam-Arab.

Di hadapan anjung, ada jeti peribadi keluarga ini. Dan bot kepunyaan mereka ditambat. Amat mendamaikan dengan pokok nipah meliar. Pesisiran sungai yang melingkungi Villa Sentosa satu-satunya tempat yang paling bersih di perkampungan ini. Jangan ditanya mengapa. Nanti aku ceritakan di bab yang lain.

Mungkin ada yang bertanya mengapa aku tidak menceritakan hiasan dalamnya. Kebenarannya, pada ketika itu kami merasakan tidak cukup berdarjat untuk masuk ke rumah ini. Mana mungkin. Rumah ini peninggalan Haji Hashim Dato Demang Haji Abdul Ghani. Keluarga pengasas kampung ini. Keluarga terhormat. Rumah ini antara pertama dibina pada 1921, dan memberi tanda aras penting kepada kami dengan slogan; ‘begini caranya jika mahu membina sebuah rumah Melayu!’

Justeru itu, kami tidak pernah berani meminta kebenaran masuk ke dalam. Ke lamannya saja sudah menggentarkan. Dan pemiliknya sentiasa saja misteri. Kami cuma pernah melihat kelibat mereka. Tetapi kerana Dhiya, aku tetap ke mari.

Dhiya dengan baju berlumpur, berkaki ayam berbalut selut senyum puas. Kami berdiri mendongak melihat rumah elegan itu. Matanya seakan-akan bergenang. Aku sudah tahu apa yang mahu dikatakan. Kerana ayatnya sama saja setiap kali. Akhirnya, untuk kali yang ke-1,046, dengan lirih dia menuturkannya;

“Satu hari aku akan buat rumah macam ni, Adi. Satu hari…”


Tulisan Raiha Bahaudin ini ada di dalam Kunang Pesisir Morten.

5