Malaysia & Piala Dunia

Malaysia & Piala Dunia

17 MEI 1973 adalah tarikh bersejarah buat bola sepak Malaysia kerana pada tarikh inilah pasukan kebangsaan turun dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia pertama Malaysia. Skuad Harimau Malaya tewas 1-0 kepada Hong Kong dalam apa yang dipanggil perlawanan klasifikasi untuk menetapkan kumpulan kelayakan. Hasilnya Malaysia ditempatkan sekumpulan bersama Israel, Korea Selatan dan Jepun.

Hampir 40 tahun telah berlalu sejak dari tarikh bersejarah itu, sejumlah 51 perlawanan kelayakan Piala Dunia telah ditempuhi Malaysia, 15 darinya berakhir dengan kemenangan, 13 perlawanan lagi mencatatkan seri sementara 23 perlawanan lagi menyaksikan Malaysia kalah.

Sejumlah 66 gol dijaringkan oleh pasukan kebangsaan berbalas 81 gol bolos. Dilihat sepintas lalu rekod sebegini mirip kepada pencapaian sebuah kelab Liga Perdana Inggeris yang baru dipromosi naik dan tersingkir di musim berikutnya.

Melihat Malaysia layak ke Piala Dunia sama sukarnya dengan menulis buku tentang penglibatan Malaysia dalam kelayakan Piala Dunia. Situasi bola sepak negara hari ini tidak menjanjikan sebarang harapan untuk Malaysia layak baik dalam tempoh 10 tahun akan datang, atau 20 tahun mahu pun 50 tahun lagi. Kita tidak berani untuk mengagak bila agaknya Malaysia akan ke Piala Dunia kerana pada hari ini kita tidak ada persediaan atau perancangan yang memungkinkan perkara tersebut berlaku satu hari nanti.

Hakikatnya, pergi ke Piala Dunia bukan lagi boleh dilakukan dengan lahirnya beberapa pemain bola sepak luar biasa dalam satu generasi yang menjadikan Malaysia kuasa bola sepak secara tiba-tiba. Mungkin berpuluh tahun dulu ianya boleh dilakukan, tetapi tidak dalam era bola sepak moden. Pergi ke Piala Dunia perlu perancangan dari bawah, dari akar umbi bola sepak itu sendiri. Ia perlu melibatkan anak-anak muda yang diasuh dengan ilmu bola sepak yang betul, bukan setakat tahu menyepak bola dengan deras atau berlari laju. Ia perlu melibatkan akademi dan tenaga pengajar yang betul. Ia perlu mempunyai sistem pentadbiran dan pengurusan bola sepak yang telus serta efisien.

Perkara-perkara inilah yang ada di dalam sukan bola sepak negara Asia lain yang kerap ke Piala Dunia seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan. Tetapi ianya sukar dilihat dalam sukan bola sepak Malaysia hari ini. Maka atas sebab itu kita tidak akan pasti berapa lama jangka masa yang diperlukan untuk Malaysia layak ke Piala Dunia selagi tidak ada persediaan sedemikian. Untuk sementara waktu, pasukan bola sepak Malaysia akan menyertai kempen kelayakan Piala Dunia setiap empat tahun dan seterusnya gagal melayakkan diri.

Oleh itu, janganlah terkejut jika beberapa tahun akan datang sebuah buku akan ditulis dengan tajuk ‘Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia Episod II’.

Tahukah Anda?

Jumlah penyertaan Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia:
11 kempen kelayakan (Piala Dunia 1974 hingga Piala Dunia 2014)

Perlawanan kelayakan ditempuhi:
51 perlawanan

Perlawanan kelayakan menang:
15 menang

Perlawanan kelayakan seri:
13 seri

Perlawanan kelayakan kalah:
23 kalah

Jaringan gol:
66 gol

Gol bolos:
81 bolos

Kemenangan terbesar:
Malaysia 9 – 0 Macau (kelayakan Piala Dunia 1994)

Kekalahan terbesar:
Kuwait 6 – 1 Malaysia (kelayakan Piala Dunia 2006)

Jumlah kejayaan Malaysia layak ke Piala Dunia:
0

1