Membela Tony Fernandes Dan Isu KLIA2 Lagi

Membela Tony Fernandes Dan Isu KLIA2 Lagi

Di sebalik kritikan terhadap AirAsia berkenaan dengan polemik KLIA2 dan MAHB, kita tidak perlu bersikap berkerat rotan, berpatah arang. Semestinya ada jasa AirAsia yang perlu dihargai. Antara sumbangan AirAsia terbesar adalah mewujudkan peluang pekerjaan di mana sahaja mereka terbang terutama sekali di Malaysia. Malahan, AirAsia antara syarikat korporat gergasi yang melantik dua orang CEO Melayu iaitu Azran Osman Rani dan Aireen Omar di mana ia sesuatu yang luar biasa di kalangan syarikat swasta milik bukan Bumiputera yang lain.

Memang benar MAHB membantu AirAsia. Tidak dinafikan kerajaan berdiri teguh di belakang AirAsia. Begitu jugalah sokongan kerajaan terhadap syarikat-syarikat lain yang menjalankan perniagaan di Malaysia. Tetapi berapa banyak syarikat yang menyumbang kembali kepada ekonomi Malaysia sebagaimana yang dilakukan oleh AirAsia? Jika dilihat dan dinilai, AirAsia telah mewujudkan satu rantaian ekonomi kepada pemandu teksi, bas, pemilik premis perniagaan, operator hotel, agensi pelancongan yang mana kesemua ini bergantung kepada kesan ‘spill-over’ daripada AirAsia.

Oleh itu, di sebalik kemungkinan AirAsia telah ‘mencuri’ atau ‘membuli’ MAHB dan kerajaan, adakah ianya setimpal dengan sumbangan AirAsia kepada resit pelancongan di Malaysia yang berjumlah bilion ringgit serta jumlah peluang pekerjaan yang diwujudkan di dalam ekonomi kita?

Apa pun, kesemua ini tetap tidak menafikan di dalam isu KLIA2, AirAsia telah membangkitkan pelbagai isu yang tidak sewajarnya dijadikan polemik umum. Malahan, terdapat beberapa isu yang perlu dikupas dengan lebih mendalam.

Mengapa Bukan Terminal Tambang Murah Cadangan AirAsia?

Sebenarnya tidak menjadi masalah untuk Sime Darby membina lapangan terbang tambang murah yang baru. Terminal itu juga boleh diuruskan oleh AirAsia. Yang menjadi pertikaian adalah lokasi terminal baru tersebut. Membinanya di Labu akan menyebabkan kemungkinan kemalangan kapal terbang berlaku.

Mereka mungkin boleh membina terminal baru di lokasi 30 – 40 kilometer lebih jauh dari KLIA. Tetapi mengapa perlu membeli tanah baru sedangkan kita boleh sahaja mengguna pakai kawasan yang belum dimajukan milik MAHB di KLIA? Bukankah pelan induk KLIA direka untuk mempunyai empat terminal satelit? Oleh itu cadangan pembinaan KLIA2 bukan sahaja demi kelangsungan AirAsia sebaliknya untuk masa depan KLIA sendiri.

Timbul persoalan bagaimanakah KLIA2 boleh selari dengan visi KLIA? Jawapannya adalah melalui hubungan perjalanan. KLIA2 mempunyai integrasi laluan bagi penumpang untuk menyambung perjalanan ke KLIA tanpa perlu mendaftar keluar. Ini sudah tentu akan meningkatkan jumlah trafik penumpang di KLIA.

Pada masa sekarang, landasan di Changi Singapura, Soekarno Jakarta dan Suvarnabhurmi Bangkok sedang mengalami kesesakan. Justeru, KLIA – dengan keluasan lebih 1,000 hektar berada di kedudukan yang strategik untuk menjadi hab penerbangan serantau Asean. Pembinaan KLIA2 akan menjadikan jumlah kapasiti sebanyak 85 juta penumpang setahun. Paling penting, landasan ketiga yang baru dibina akan mengurangkan kesesakan kapal terbang untuk berlepas dan mendarat.

Mengapa Tidak Optimumkan KLIA?

Ramai yang mengatakan KLIA sungguh sunyi kerana kekurangan pengunjung. Mereka menyangka KLIA beroperasi di bawah kapasiti. Sebenarnya dakwaan ini tidak benar. Bahkan KLIA memerlukan terminal yang baru bagi menampung perkembangannya. Pada masa ini KLIA telah menerima 47 juta penumpang setahun. Jumlah ini adalah 7 juta lebih dari kapasitinya. Disebabkan itu, kadar kelewatan penerbangan telah meningkat sebanyak 19% dengan purata kelewatan selama 32 minit.

Bayangkan apa yang terjadi sekiranya kita ingin menambah 25 juta penumpang daripada penerbangan tambang murah?

Sebab mengapa kita sering berasa senyap dan sunyi di KLIA adalah kerana rekaannya yang memproses penumpang dengan efisien di antara terminal utama dan terminal satelit melalui Aerotrain. Jangan lupa, ini adalah lapangan terbang kedua terbaik dunia di dalam kategori pengurusan penumpang.

Mengapa KLIA2 Perlu Dibina Sebegitu Besar?

Pelan asal KLIA2 hanya menelan belanja RM1.9 bilion. Ini tidak jauh berbeza dengan cadangan AirAsia/ Sime Darby yang bernilai RM1.8 bilion. Oleh itu kos bukanlah isu pada mulanya. Namun ia menjadi isu hangat apabila kos KLIA2 telah meningkat sekali ganda berikutan pertambahan keluasan sebanyak 71%.

Wajarkah kos RM3.9 bilion bagi membina KLIA2? Ini adalah pertanyaan umum.

Sudah tentu RM3.9 bilion adalah nilai yang besar. Tetapi jika KLIA2 dibina mengikut pelan asal, kita mungkin perlu membina terminal tambang murah yang baru pada masa 10 – 15 tahun akan datang. Untuk membina terminal tersebut pada masa itu kosnya mungkin sudah bertambah berkali-kali ganda.

Projek Landasan Keretapi Berkembar Elektrik yang pada mulanya dicadangkan dari Johor Bahru ke Padang Besar akan menelan belanja RM14 bilion. Tetapi ia dibatalkan atas alasan kononnya kerajaan ingin menjimatkan perbelanjaan. Tetapi apabila projek itu diperkenalkan kembali, kosnya telah menjadi RM12 bilion hanya untuk laluan yang 50% lebih pendek. Mengambil pengajaran dari perkara itu, kita tidak mahu KLIA2 menjadi contoh di mana kerajaan menjadi bijak sen, bodoh ringgit (cent wise, ringgit foolish). Jadi seharusnya KLIA2 dibina dengan mengambil kira keperluan negara untuk 100 tahun akan datang.

Perkara seterusnya yang wajar difahami adalah KLIA2 direka untuk menjadi terminal beli-belah. Keluasan terminal yang besar adalah untuk ruang beli-belah yang luas. Mengapa perlu beli-belah?

Operator terminal pada masa kini sedar bahawa pendapatan mereka tidak boleh lagi bergantung kepada cukai syarikat penerbangan sahaja. Mereka perlu mencari sumber pendapatan yang lain. Hari ini golongan pertengahan di Asean lebih gemar terbang dengan syarikat penerbangan tambang murah dan mereka ini mahukan servis dan kemudahan yang baik apabila mereka tiba di lapangan terbang. Dengan 550 juta penduduk Asean dan hanya 4% sahaja yang terbang, kita dapat lihat potensi mempunyai lapangan terbang dengan ruang beli-belah yang luas.

Mengapa Tidak Terminal Tambang Murah Yang Benar-Benar Murah?

 Mengapa bina terminal yang besar, canggih dan moden? Mengapa tidak. Jika penumpang bas boleh mendapat manfaat daripada Terminal Bersepadu Selatan BTS, mengapa penumpang tambang murah tidak boleh memiliki kemudahan yang setaraf seperti aerobridge, walkalator, pengangkutan awam dengan tren terus ke pusat bandar, hotel transit terminal dan pusat membeli-belah?

Di samping itu, syarikat penerbangan boleh mengurangkan kos operasi mereka dengan kemudahan seperti daftar masuk sendiri, daftar bagasi manual dan penggunaan aerobridge boleh mengurangkan keperluan tenaga kerja untuk mengira jumlah penumpang.

Kita perlu ingat bahawa rakyat Malaysia mempunyai standard yang tinggi berkenaan dengan fasiliti awam. Bagi percuma pun sudah bising, inikan pula fasiliti yang ‘murah’.

Orang ramai risau kos untuk terbang dengan syarikat tambang murah akan meningkat berikutan KLIA2 yang canggih dan mahal. Mahu tidak mahu, caj lapangan terbang akan meningkat. MAHB berhak untuk mengenakan caj bagi tiga perkara iaitu caj letak kapal terbang, caj pendaratan dan caj penumpang (PSC, Passenger Services Charges).

Jika benar caj PSC ingin dinaikkan, jumlahnya adalah RM32 dan RM3 bergantung kepada penumpang antarabangsa dan domestik. Besarkah lebihan caj ini? Sebagai contoh, harga tambang promosi AirAsia bagi laluan KL – Sydney adalah RM750. Dengan caj PSC yang baru, kita akan membayar sejumlah RM782. Untuk laluan domestik pula tambangnya adalah RM32. Dengan kadar baru, ia menjadi RM35. Adakah jumlah ini terlalu banyak? Kita jangan lupa bahawa ini adalah kenaikan yang paling ekstrem. Sekalipun ia berlaku, kadar PSC oleh MAHB adalah antara yang terendah di rantau ini.

Bagaimana pula kadar caj letak kapal terbang dan pendaratan? Kenaikan caj ini boleh diserap melalui penjimatan yang berlaku berikutan operasi yang lebih cekap, penggunaan aset yang lebih optimum dan kadar produktiviti yang bertambah kerana teknologi yang canggih di KLIA2.

Mengambil kira kesemua perkara ini dari rasional keperluan terminal yang besar, terminal yang canggih dan fasiliti yang ada, sudah jelas KLIA2 adalah pilihan yang terbaik untuk terminal tambang murah yang baharu di Malaysia.


Tulisan Mat Rodi ini merupakan petikan dari buku Saring Sebelum Mereng

2