Mengasingkan Universiti Dari Politik Ibarat Memisahkan Pelajar Dari Masyarakat

‘KESIAN’ haiwan-haiwan yang dibesarkan di perladangan kilang. Mereka dikurungkan semenjak mereka lahir. Mereka diberi makanan, air dan sangkar yang sekadar cukup untuk terus hidup. Semua hasil mereka, termasuklah anak, telur, susu dan najis; adalah milik pengusaha kilang. Haiwan-haiwan ini terus menghasilkan ‘produk’ untuk pengusaha kilang tetapi mereka tidak pernah merasai kebebasan, dan hidup menderita sehinggalah satu hari tanpa disedari, mereka disembelih.

Manusia lain daripada haiwan kerana kita boleh merealisasikan kebebasan. Namun jika kita tidak merealisasikan kebebasan kita, apa bezanya kehidupan kita dengan haiwan di perladangan kilang? Pergi sekolah 11 tahun, universiti 4 tahun, dan kemudian kerja dari 9 pagi hingga 5 petang. Satu hari tanpa disedari, kita mati. Manusia hanyalah bebas jika dia merealisasikan kebebasannya.

Ungkapan Zul Fikri Zamir melalui bukunya berjudul “Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang” menggerakkan minda dan hati ramai pihak kerana hakikatnya pada hari ini, sekolah ialah penjara, universiti ialah kilang. Universiti berlumba-lumba memenuhi permintaan industri (pengusaha kilang) dan mahasiswa berebut-rebut menjadi produk.

Pada waktu dahulu, universiti bukan sebegini. Menjadi mahasiswa membawa erti. It means something. Mahasiswa berazam untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat.

Pada tahun 1930-an, sekumpulan guru pelatih di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI ketika itu, kini UPSI) berkumpul untuk membincangkan pembentukan pertubuhan sebuah parti politik kebangsaan yang pertama di Malaya British. Matlamat mereka adalah menyatukan orang Melayu di pelbagai negeri untuk menentang imperialisme. Diketuai oleh Ibrahim Yaakob, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuhkan pada tahun 1938 dan disokong kuat oleh guru pelatih di MPSI. Oleh sebab itulah MPSI kadangkala dirujuk sebagai tempat kelahiran nasionalisme Melayu (calon lain termasuklah Singapura dimana Kesatuan Melayu Singapura diasaskan oleh Mohammad Eunos Abdullah pada tahun 1926).

Pada tahun 1950-an dan awal 1960-an pula, kampus Universiti Malaya di Singapura dan Kuala Lumpur hangat dengan perbincangan politik. Sebuah negara bakal dan baru dilahirkan, dan pelajar mengambil bahagian untuk berdebat hala tuju negara dan isu-isu penting. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir pun kerap menulis kritikan sosial tentang masyarakat dan kerajaan.

Pada tahun 1960-an dan awal 1970-an, pergerakan mahasiswa semakin pesat dengan pengaruh University of Malaya Students’ Union (UMSU), Socialist Club, National Union of Malaysian Students (PKBM), University of Malaya Malay Language Society (PBMUM), Chinese Language Society (CLS), Tamil Language Society (TLS), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan lain-lain. Pelajar mengambil berat isu-isu masyarakat dan terlibat secara aktif dalam menyuarakan bantahan mengenai petani yang tidak mempunyai tanah, pencerobohan ke atas Czechoslovakia, pilihan raya, sokongan Amerika terhadap Israel, kemiskinan luar bandar, autonomi universiti dan Tragedi 13 Mei.

Ya, kampus universiti riuh-rendah dengan masalah politik dan masyarakat, tapi pada masa itulah juga ramai bakal pemimpin dilahirkan dan demokrasi subur di kampus. Mahasiswa bukan produk, universiti belum lagi menjadi kilang.

Malangnya mulai 1970-an, kita menyaksikan penyekatan ruang demokrasi. Berikutan Protes Baling pada Disember 1974, aktiviti persatuan-persatuan pelajar di kampus universiti melesap dengan tindakan keras oleh pihak berkuasa dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Student Union yang bebas diganti dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang dipantau oleh pihak pentadbiran. Apabila kampus universiti dipisahkan dengan perbincangan politik, pelajar dipisahkan daripada masyarakat. Mereka yang tidak boleh merealisasikan kebebasan bertukar menjadi produk yang pasif. Proses perkilangan bermula.

Keadaan ini berlanjutan sehinggalah kes mahkamah “UKM 4” yang mencabar penyekatan ini dan membuka lembaran yang baru untuk peranan mahasiswa dalam masyarakat. Apabila empat pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditangkap atas dakwaan berkempen di Hulu Selangor pada pilihan raya kecil dan oleh itu melanggar peraturan AUKU, empat pelajar UKM ini mencabar konstitusionalisme (constitutionality) peraturan AUKU di Mahkamah Tinggi kerana melanggar kebebasan bersuara seperti yang termaktub dalam Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kemudiannya, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa seksyen 15 dalam AUKU melanggar prinsip perlembagaan. Berikutan itu, kerajaan bertindak dengan membuang seksyen 15 dan makalah pelajar dapat melibatkan diri dalam politik, namun di luar kampus. Sejak itu kita telah menyaksikan ruang kebebasan politik dan akademik yang semakin meluas, walaupun masih terhad. Pelajar seperti Safwan Anang, KS Bawani, Adam Adli, Lee Chung Lun dan Fahmi Zainol tampil ke hadapan dan menggunakan ruang ini untuk menolak sempadan penyekatan.

Di Amerika Syarikat, tradisi debat presiden (presidential debate) wujud sejak tahun 1960-an dan kampus universiti sering menjadi medan pertarungan idea dan kempen politik. Terdapat dua pertubuhan pelajar di kebanyakan universiti: College Republicans dan College Democrats. Pelajar bebas mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti kedua-dua kelab cawangan parti politik dan setiap kali musim pilihanraya berdekatan, mereka ini akan menjadi sukarelawan, mengadakan kutipan derma untuk perjuangan mereka dan menganjurkan kempen di kampus universiti untuk meraih sokongan.

Terdapat juga kelab lain yang aktif berpolitik (politik tidak terbatas pada politik kepartian) seperti International Socialist Organization, Committee for Justice in Palestine, We are the 99% Movement, Civil Rights Union, Model United Nations dan Amnesty International.

Ya, bukan semua perkara adalah bagus di Amerika. Contohnya, universiti di sana semakin dikuasai oleh kepentingan korporat dan birokrasi universiti didominasi oleh ahli bukan akademik. Tetapi ada juga perkara-perkara yang kita boleh belajar dari sana. Debat presiden kerap berlaku di kampus universiti. College Republicans dan College Democrats terlibat dalam kempen pilihan raya. Pada pemilihan 2012, Obama berbahas dengan Romney sebanyak tiga kali dan ketiga-tiga perbahasan diadakan di kampus universiti. Universiti kita pula menyambut ketua pembangkang negara dengan ‘blackout’ dan menghalau ahli Parlimen dari kampus dengan anggota keselamatan.

Ya, universiti tidak patut dikendalikan oleh ahli politik tetapi ini tidak bermaksud pelajar tidak boleh berdisklusi dan berdebat dengan ahli politik di dalam kampus. Malah, sebaik-baiknya forum dan debat yang sering dianjurkan oleh Karangkraf dan Sinar Harian diadakan di kampus universiti. Barulah kita boleh menarik pelajar untuk ambil berat masalah masyarakat dan memupuk semangat untuk melakukan perubahan. Ironik bahawa universiti tempatan mengalu-alukan kedatangan pemimpin luar negara seperti seorang raja, tetapi memulaukan pemimpin negara.

Mungkin sesetengah pihak akan mendakwa, “Kami tidak berniat menjadikan universiti sebagai kilang, ataupun mengasingkan pelajar daripada masyarakat dan proses politik. Cumanya, mereka patut belajar dahulu dan berpolitik kemudian”. Masalahnya, kalau selepas mereka tamat pengajian, mereka sudah tidak berminat! Jika kita telah menanam mentaliti dalam kalangan orang muda bahawa politik adalah buruk dan kotor, dan tidak sama sekali menggalakkan mereka untuk berpolitik sehingga tamat pengajian (kira-kira 23 tahun yang pertama dalam kehidupan mereka), adakah anda fikir mereka akan tiba-tiba tertarik untuk menyertai politik selepas tamat pengajian?

Tidak! Majoriti daripada kalangan best and brightest akan berkecimpung dalam dunia korporat atau mengejar kerjaya di luar negara untuk prospek yang lebih baik. Masyarakat menuai benih yang ia taburkan. Jika masyarakat tidak menggalakkan pelajar yang pintar dan cemerlang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti politik, masyarakat akan ditinggalkan dengan ahli-ahli politik yang tidak pintar dan tidak cemerlang. Plato pernah mengatakan bahawa “Hukuman yang paling berat bagi seseorang yang cerdik tetapi enggan memimpin adalah dipimpin oleh seseorang yang lebih teruk daripadanya”. Sesungguhnya, ahli politik seperti MP Kinabatangan adalah satu hukuman kepada masyarakat kita.

Pada zaman dahulu, kanak-kanak sekolah membaca “Animal Farm” oleh George Orwell. Sekarang mereka membaca “Rumpelstiltskin” dan “Catch Us If You Can”. Jika ini adalah satu percubaan untuk ‘de-politicize’ dan ‘de-radicalize’ pelajar kita, ia satu proses pembodohan (dumbing down) yang merugikan pelajar dan masyarakat.

Seperti yang ditulis oleh John Stuart Mill pada abad ke-19, “Adalah satu kesalahan besar apabila mendiamkan ungkapan pendapat kerana ia merompak umat manusia, generasi akan datang dan juga generasi yang sedia ada, orang-orang yang berbeza pendapat daripada sesuatu pendapat, lebih-lebih lagi orang-orang yang memegangnya. Jika pendapat itu benar, mereka dilucutkan peluang untuk menukarkan kesesatan dengan kebenaran: jika salah, mereka kehilangan, apa yang hampir sama besar manfaatnya, persepsi yang lebih jelas dan gambaran kebenaran yang lebih rancak, dihasilkan apabila kebenaran bertembung dengan kesilapan. Kita tidak dapat memastikan bahawa pendapat yang kita berusaha untuk menyekat adalah pendapat yang palsu; dan jika kita yakin pun, menyekat sesuatu pendapat masih suatu kesilapan. Untuk menolak suatu pendengaran kepada pendapat, kerana mereka yakin bahawa ia adalah palsu, adalah dengan menganggap bahawa pendapat mereka adalah seperti kepastian yang mutlak.”

Lebih teruk lagi, ahli akademik yang berkongsi ilmu mereka dituduh menghasut masyarakat. Pelajar yang mengambil berat dan menyuarakan pandangan tentang isu semasa dihukum dengan ancaman penarikan biasiswa dan saman oleh pihak universiti. Perhatikan bahawa ketika Fahmi Zainol membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk Universiti Malaya, ia menarik perhatian ramai.

Apabila kumpulan pelajar yang sama membawa masuk Opah Wahidah dari Kampung Chubadak, media dan masyarakat umum tidak memberi perhatian. Mungkin ia tidak benar bahawa mahasiswa taksub dengan politik, tetapi masyarakat itu sendiri yang taksub dengan politik. Kita hanya memberi perhatian ketika mereka melakukan sesuatu yang berkaitan dengan ahli ataupun parti politik. Adam Adli juga menjadi terkenal apabila dia menarik turun bendera yang memaparkan Datuk Seri Najib Razak. Di sinilah kita melihat ironinya.

Apabila ruang berpolitik disekat, pelajar lebih cenderung untuk mengikut parti politik kerana mereka tidak dibenarkan untuk mengutarakan idea-idea baru atau menubuhkan gerakan mereka yang tersendiri. Jika kita menyediakan lebih banyak ruang bagi mereka untuk bergerak secara bebas, kita mungkin akan lihat gerakan pelajar yang lebih bebas dan autonomi, tanpa bergantung pada parti politik (terutamanya dari pembangkang).

Kuasa yang diperuntukkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) terbatas. Tanggungjawab sebuah perwakilan pelajar tidak patut terhad kepada isu-isu kecil dan rutin yang bersifat mekanikal.

Jika kita ingin memisahkan universiti dan politik, universiti akan menjadi pasif. Pelajar dan ahli akademik akan menuntut ilmu semata-mata dalam teori dan menerbit kertas penyelidikan yang akan dibaca dalami kalangan bulatan akademik sahaja. Tiada idea-idea baru akan disumbang kepada masyarakat. Jika itulah dunia akademik yang kita mahu, maka masyarakat tidak boleh mengharapkan apa-apa daripada dunia akademik.

Ia adalah satu perkara yang baik jika anak-anak muda berminat pada politik. Ia tidak mudah untuk mencari anak muda yang ingin mengambil bahagian dalam politik, menyuarakan pandangan dan idea, dan melakukan perubahan. Ramai yang hidup sekadar lulus peperiksaan dan bermain DoTA. Oleh itu, apabila anak-anak muda bersemangat untuk menyumbang kepada masyarakat dan membangkitkan isu yang penting, kita harus menghargai semangat itu dan memberikan ruang kepada mereka.

Bawalah kembali zaman di mana universiti dan pelajar ingin membuat perubahan dalam dunia politik, bukan dunia korporat dan apabila universiti adalah satu arena idea, bukan sebuah kilang.

Dalam ucapan terakhirnya sebelum bersara, Profesor Diraja Ungku Aziz berkata universiti tidak boleh menjadi seperti “katak di bawah tempurung”. Universiti tidak boleh mengasingkan diri daripada politik atau masyarakat, kerana mereka tidak dapat dipisahkan. Seperti Dr. Khong Kim Hoong berkata, “Untuk mengasingkan pelajar dari politik adalah untuk mengasingkan pelajar dari masyarakat mereka sendiri.”


Mengasingkan Universiti Dari Politik Ibarat Memisahkan Pelajar Dari Masyarakat di dalam Aku Kafir, Kau Siapa? oleh Ooi Kok Hin.

Dapatkan Aku Kafir, Kau Siapa? di: https://dubookpress.com/produk/aku-kafir-kau-siapa-jangan-jawab/