Menyalahkan Tuhan

Menyalahkan Tuhan

KETIKA menandatangani mana-mana perjanjian, misalnya kontrak jual beli rumah – terdapat satu klausa menghuraikan perkara-perkara yang dianggap sebagai force majuere (kemalangan yang tidak terelakkan). Terma ini menjelaskan keadaan yang boleh berlaku di luar batasan kawalan manusia. Secara praktiknya, objektif klausa itu membawa dua matlamat, iaitu mengurangkan risiko penanggung, dan mengingatkan kemungkinan berlakunya sesuatu kejadian tidak diingini kepada pihak yang terlibat dalam perjanjian.

Kesan kemasukan klausa berkenaan dalam perjanjian tersebut menjadikan suatu pihak terlibat dalam persefahaman itu terlepas daripada tanggungjawab ke atas konteks yang terkandung sekiranya berlaku kejadian tidak diduga.

Senarai risiko tidak terduga itu tidak terhad hanya kepada sesuatu bentuk kejadian secara khusus. Peristiwa pengeboman, ancaman pengganas, bencana alam tsunami dan gempa bumi mengundang keperluan kepada kita memberi perhatian terhadap kepentingan yang terkandung dalam klausa sesuatu perjanjian. Maka timbul keperluan untuk menyemak semula senarai “peristiwa luar jangka” itu bagi memastikan perkara berkenaan – jika berlaku – tidak akan membebankan mana-mana pihak yang terlibat.

Secara literal, force majuere boleh disebut dalam bahasa mudah sebagai kejadian yang berlaku akibat ‘kehendak Tuhan.’ Sebagai contoh, kejadian seperti gempa bumi dan tsunami terjadi bukan disebabkan perbuatan manusia. Jika kita merujuk kepada kes klasik Rylands vs Fletcher mengenai masalah air yang menyelinap masuk hingga menyebabkan gangguan tanah serta persekitaran jiran pada 17 Julai 1868, undang-undang ketika itu mengakui prinsip bahawa hanya kejadian yang berpunca daripada perbuatan manusia boleh dipertanggungjawabkan ke atas manusia itu sendiri. Tetapi apabila ia berlaku kerana ‘takdir Tuhan’ (seperti bencana alam), maka manusia yang terlibat boleh terlepas daripada dipertangunggjawabkan.

Adakah fakta ini membawa maksud bahawa memang tidak akan ada siapapun yang boleh dipertanggungjawabkan apabila bencana alam berlaku? Penting untuk ditegaskan di sini, kesan ‘perbuatan manusia’ dan bala daripada Tuhan perlu dibezakan.

Saya teringat kepada filem komedi romantik terbitan tahun 2003, “The Man Who Sued God” yang mengisahkan bagaimana Steve Myers (lakonan Billy Connolly) menyaman Tuhan kerana terlalu kecewa selepas pihak insurans enggan membayar pampasan kerugian dialaminya akibat disambar petir.

Alasan yang diberi pihak insurans ialah wujudnya klausa force majuere dalam perjanjian ditandatangani mereka yang menyatakan bahawa sesuatu kejadian berlaku disebabkan tindakan Tuhan terkecuali daripada tanggungan. Didorong oleh kekecewaan, Myers menyaman semua gereja di dalam negeri tempat tinggalnya itu atas alasan mereka adalah ‘agen Tuhan.’ Akhirnya, walaupun dia gagal memaksa Tuhan membayar pampasan, mahkamah memutuskan syarikat insurans terbabit perlu menanggung ganti rugi itu kerana mereka terlalu kerap berselindung di sebalik peruntukan force majuere. Kisah Myers itu mungkin sekadar sebuah filem fiksyen, tetapi isu ini tetap penting untuk dibincangkan.

Kita sering bersemangat membincangkan perihal tanggungjawab pihak perancang dan majlis perbandaran sesuatu tempat apabila berlaku bencana. Bermula daripada penghakiman kes Highland Towers yang menimbulkan kekecewaan beberapa pihak sehinggalah kes banjir kilat besar di Shah Alam pada 2006. Pendedahan berani Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika itu yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin wajar dipuji. Kata beliau, banjir yang melanda TTDI Jaya, Kampung Kebun Bunga dan Seksyen 13 itu berpunca daripada kesilapan manusia. Lantas, atas alasan itu, pihak bertanggungjawab terdorong untuk mengambil tindakan undang-undang. Tambahan pula kenyataan itu mengaitkan bencana alam berkenaan disumbang oleh kecuaian dan pelanggaran prosedur ditetapkan pihak berwajib.

Mengheret pihak tertentu – seperti majlis perbandaran – ke mahkamah kerana mempercayai berlaku pelanggaran undang-undang atau kecuaian bukanlah perkara baru. Saya pernah menulis mengenai kes Highland Towers dan ia menimbulkan kemarahan pelbagai pihak. Dalam pemerhatian saya, bencana itu menunjukkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya seolah-olah kebal daripada tindakan undang-undang.

Memang mudah untuk sebelah pihak memberi alasan kononnya apa yang berlaku ke atas bangunan kediaman itu di luar kawalan manusia. Persoalannya ialah, jika hujan diturunkan sebagai nikmat daripada Tuhan untuk manusia, bagaimana pula banjir boleh berlaku apabila ia tidak sepatutnya berlaku? Kesan campur tangan manusia ke atas alam sekitar telah lama menyedarkan pelbagai pihak untuk mengambil pendekatan konsep pembangunan mapan. Malah, undang-undang sedia ada memang mewajibkan pemaju sesebuah projek mengemukakan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) sebelum cadangan membangunkan sesebuah kawasan boleh diluluskan. EIA diwujudkan sebagai satu daripada mekanisme pemuliharaan alam sekitar.

Pada era teknologi maklumat kini, sudah wujud ilmu pengurusan risiko (risk management) dan kemahiran untuk memastikan apa kita lakukan membawa kebaikan. Jika kita gagal memanfaatkan ilmu dan teknologi yang ada – atau lebih buruk, melanggar undang-undang – maka hujah yang disandarkan kepada ‘kehendak Tuhan’ kelihatan sekadar alasan cetek dan menggambarkan kecenderungan seseorang enggan bertanggungjawab. Ini bermakna, pihak yang membangunkan sesuatu kawasan itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan projek mereka dijalankan secara berhemah, tidak membinasa dan melestarikan alam.

Menangani bencana alam seperti tsunami dan letupan gunung berapi tidak boleh disamakan dengan pengurusan masalah banjir kilat yang melanda kota, terutama jika banjir itu tidak pernah berlaku sebelum ini. Walaupun wujud perlindungan undang-undang yang mengakui faktor “kehendak Tuhan,” perlu diingatkan bahawa klausa itu hanya boleh diperkukuhkan dengan alasan wajar. Jika hujah dibuat hanya berdasarkan kepada klausa force majuere dan tidak disertai alasan kukuh – malah dangkal – menangkisnya di mahkamah bukan sesuatu yang mustahil. Tambahan pula jika kemusnahan itu berlaku selepas wujud campur tangan manusia.

Paling penting, kita hendaknya jangan sentiasa begitu mudah menyalahkan Tuhan atas sesuatu bencana kerana tanpa disedari kita mungkin mengundang kedatangan bala sebenar!


Tulisan Yusmadi Yusoff ini ada di dalam Lelaki Di Sebalik Pulau.