Nazi Goreng – Bab 2

Nazi Goreng – Bab 2

Punk rock bagai terapi untuk jiwa kotornya. Penyembuh yang mudah lagi berkesan. Dari kecil, Asrul sudah biasa menunggang motor kapcainya pergi ke gig. Tak pernah lagi Asrul dicekup polis. Ini semua kerana dia, Melayu. Melayu sama Melayu tak banyak soal. Lain pula kiranya kalau Cina atau India. Kalau polis terjumpa puak-puak itu sedang menunggang motor kapcai, mahunya dikejar sampai berasap. Polis kalau dengan mat rempit ini, kasar betul caranya. Tak boleh nak marah juga. Ini semua sebab mereka tahu ramai mat pit suka sorok barang di bawah seat motor kapcai.

Melihat anak-anak muda sebangsa dengannya tersengguk-sengguk menggeleng kepala dalam bulatan besar di tengah ruang adalah hal yang paling menyenangkan buat Asrul di Alor Setar. Punk dan heavy metal sudah makin bertapak di Malaysia – berpuluh kugiran sanggup berkumpul bersama dan mengadakan underground gig dalam bilik latihan atau mana-mana dewan kosong sambil mengisi gegendang telinga masing-masing dengan lagu-lagu rebel mereka. Memberontak itu perjuangan katanya. Di balik dinding tertutup ini, beratus remaja hidup dalam syurga ciptaan mereka berlagukan petikan gitar sambil memekik keluar suara jiwa masing-masing. Di sini, semuanya merasakan mereka bebas walau pada mereka sebenarnya masih dijajah. Sedar-sedar saja waktu Asrul sibuk tersengguk-sengguk mengikut rentak lagu, tiga kumpulan sudah habis naik turun pentas. Belum sempat dia mahu bernafas. Detik-detik sebegini membuatkan Asrul rasa segala sensasi dan perasaannya betul-betul dilepaskan.

Kadang-kadang ada juga Asrul mengikut rakan-rakannya yang lebih dewasa turun ke Sungai Petani dengan kereta untuk melayan gig. Dari situlah Asrul mula belajar meneguk arak; apabila jauh daripada keluarga maknanya semakin dekat dengan kebebasan. Gig itu semuanya tentang speaker bingit ditambah dengan lirik-lirik berbaur lucah dan juga rasa khayal kemabukan.

Lepas beberapa ketika, entah dari mana datang pula istilah Kuasa Melayu yang mula menguasai diri Asrul. Bagaikan raksasa yang turun dari langit dan tiba-tiba menyerang Asrul. Kuasa Melayu, kepercayaan pada ketuanan bangsa Melayu. Hadirnya begitu kuat sampai Asrul rasa hal ini penting agar dia terselamat dari dipijak tangga-tangga kasta sosial oleh orang atasan. Semuanya bermula pada malam itu. Malam yang membuat rasa bencinya membuak-buak pada bangsa-bangsa lain yang dianggap sampah. Asrul tak peduli sama ada kulitnya putih macam awan atau hitam macam arang. Mereka itu semua hanya mencemar negaranya. Bagi Asrul, tidak ada bangsa yang lebih berhak ke atas tanah ini selain bangsanya. Tuan kepada Malaysia. Mereka golongan Bumiputera dan mereka bangga dengan hal itu. Ah! Siapa saja yang perlukan bangsa India dan Cina?

Asrul tidak akan lupa bau pada malam itu sampai bila-bila; bau busuk pekat menusuk hidung hasil dari air longkang yang berkarat dipenuhi sampah. Tikus sebesar kucing yang bermain menjadi penghuni setia aliran di situ. Asrul salahkan muzik dan arak yang membuat dia rasa khayal dan jalan terhuyung-hayang seperti anjing jalanan tapi dia sedar itu bukan punca yang sebenarnya. Sepatutnya Asrul salahkan dirinya sendiri yang terlalu lemah. Baru sedikit sudah mabuk.

Asrul melangkah keluar dari dewan meski kepalanya masih berpinar dek muzik bingit yang dimuntahkan speaker murahan. Perlahan dia mengatur langkah. Tahu-tahu sudah sampai ke hujung jalan. Jalan kecil tepi sungai inilah yang menjadi laluan pintas utama untuk Asrul kembali ke rumahnya.

Malam itu, Asrul dapat rasa ada benda yang tidak kena. Sampaikan bayang pokok palma yang terhasil di bawah sinaran lampu jalan pun dirasakan lain macam. Hati Asrul merasa tidak sedap tapi langkahnya tetap diunjur ke depan. Diseret bersama sneakers bola keranjangnya melalui jalan berbatu penuh debu. Hatinya yakin, ini mungkin situasi yang sempurna kalau-kalau ada orang bunian yang mahu muncul.

Jejaknya terhenti bilamana Asrul terlihat seorang lelaki muncul dari semak di hadapannya. Lelaki itu berhenti tegak di hadapan, menghalang laluan. Kalau ikut kata orang dahulu, orang bunian rupanya seperti jelmaan pari-pari, zahirnya sopan dan baunya wangi tapi situasi di hadapannya ini berlainan benar. Daripada
segi fizikal, di hadapan Asrul ini tubuhnya tinggi dan menakutkan. Tidak ada bau wangi melainkan bau busuk arak murah yang menusuk rongga hidung. Asrul naik seram sejuk. Rasa ibarat ditinggal seorang dalam lorong gelap, walaupun itulah realitinya pada permulaan tadi. Beberapa saat kemudian, datang pula empat orang lelaki lain dari semak yang sama. Gerak mereka yang perlahan berserta senyuman sinis buat darah Asrul berdesir. Deretan gigi mereka tampak berkilau di balik lorong gelap itu.

“Dey, dey, dey! Tengok apa kita jumpa ni…” berdesing suara lelaki gelap sasa tadi memecah hening. Di balik kegelapan itu, Asrul pasti lelaki itu tampaknya kasar. Bau kuat minyak kelonyor bercampur arak membuatkan isi perut Asrul bergolak. Empat lelaki lain berdiri tegak di belakang lelaki sasa tadi. Lelaki-lelaki itu kelihatan bagaikan labah-labah yang bersedia menyerang mangsanya. Asrul nampak jelas lelaki sasa itu mengeluarkan pisau besar dari poket belakangnya. Kilauan dari mata pisau yang terbias dalam kegelapan seakan amaran bahawa apa yang berlaku waktu itu adalah hal benar.

“Lu mau kasi duit lu atau kita kasi potong lu. Ada paham?”

Pisau di tangannya dipusing-pusing membentuk bulatan mengugut Asrul. Ketakutan Asrul ternyata betul kali ini. Keadaannya yang masih mabuk membuatkan dia hilang kawalan. Tidak tahu arah mana untuk dituju, kakinya mula menggigil tanpa sedar. Dalam pening, dia masih tercari-cari akal untuk lari. Kalau ke depan, bukan saja dia menjadi makanan kutu-kutu ini, bahkan silap langkah, nyawanya sendiri melayang. Kalau ke belakang, hanya jalan kosong, tiada berpenghuni, yang tinggal. Mana mungkin ada manusia yang berani keluar dan memberikan bantuan malam-malam begini. Asrul tak punya banyak pilihan. Jantung yang mengepam darah makin laju dek rasa takut. Dengan terketar-ketar, Asrul seluk poketnya. Jatuh berdeting beberapa keping duit syiling beserta nota-nota biru bernilai seringgit ke tanah. Salah seorang lelaki India itu maju ke depan dan menghalakan lampu suluhnya ke tanah. Kumpulan ini nampak tidak berpuas hati. Lelaki sasa di hadapan tadi mula memainkan jarinya hujung mata pisau sebelum kedua belah mata pisau itu dibersihkan perlahan.

“Dey ni aje ke kau ada?”

“Ya, ya, aku sumpah…” Asrul hampir tidak sedar matanya sudah berair.

Apa saja yang dia mampu lakukan. Waktu itu Asrul hanya seorang remaja. Apalah malang nasibnya ditangkap oleh kutu-kutu malam ini di tengah lorong gelap. Mungkin saja malam ini nyawanya bakal berakhir di mata pisau.

“Dey budak, kitorang nak tahu lu kencing atau tak sama kitorang. Ini mana cukup, illek.”

Lelaki sasa tadi mundur semula ke belakang diikuti dengan empat lelaki di belakangnya. Kedudukan mereka umpama pin boling di lorong boling Deep Black Hell. Hal terakhir yang Asrul ingat hanyalah tamparan kuat di rahangnya yang hampir membuat lehernya berpusing. Mulutnya menjerit melepaskan perit. Hal lain masih kabur dan kebanyakannya langsung dia tidak ingat. Tapi satu hal yang Asrul pasti, sebelum dia pengsan, dirasakannya bagai ada kuda yang sedang bermain bola keranjang di bahagian belakangnya.


Nazi Goreng yang anda baca ini adalah terjemahan dari Nazi Goreng asal yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Segala doa dan usaha telah dibuat untuk memastikan naskah terjemahan ini membawa semangat dari naskah yang asal, maka oleh itu beberapa elemen asal dikekalkan. Dialog antara watak warga asing (dan antara warga asing dengan warganegara) dikekalkan dalam bahasa Inggeris seperti dalam naskah asal. Bahasa buku ini memang rojak, tapi itulah juga realitinya kita di Malaysia. Kalau tidak percaya, cuba ingat bilamana setiap kali kita ke kedai makan dan perlu membuat pesanan dalam Bahasa Inggeris kepada pelayan warga asing yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Nazi Goreng oleh Marco Ferrarese.


Baca bab 3 di sini.