Nazi Goreng – Bab 3

Nazi Goreng – Bab 3

ASRUL takut. Selepas dua hari terlantar di katil hospital, sungguh dia takut. Mahu menginjak satu tapak ke depan untuk berjalan pun Asrul sudah tidak berani. Semua yang dia lihat di luar nampak berbahaya untuknya. Semuanya bagaikan tengah memekik jerit ke arahnya. Seolah-olah singa jadian yang mahu menelan Asrul hidup-hidup. Fobia benar rasanya. Setiap wajah yang dilihat bagai mahu membaham Asrul hidup-hidup. Meski lelaki Cina, si tukang jahit di bilik belakang, yang entah siapa-siapa itu pun tampak berbahaya. Asrul mula berfikir bukan-bukan. Siapa tahu mungkin lelaki itu dihantar untuk mengintip gerak-gerinya lalu membunuhnya jika ada peluang. Bagaimana pula dengan amoi cantik di sebelah rumah itu. Senyum manis dan pipi gebunya tak akan dapat membodohkan Asrul. Amoi itu pasti merbahaya. Dia kan ada susur galur bangsa Cina. Ah! Entah-entah keturunan hantu Cina. Di balik bibir mungil itu mana tahu disembunyikan taringnya yang tajam. Habislah hati Asrul dirobek dan dimamah hidup-hidup nanti.

Keturunan yang lagi satu itu lebih serabut. India. Mana-mana saja mereka ada. Sudahlah kejam macam Iblis. Fobianya masih tidak luntur. Setiap kali ada bangsa itu berjalan berdekatannya, mahu saja seluarnya basah, terkencing. Badan Asrul masih lagi sakit-sakit kesan dari kejadian tempoh hari. Lebam membiru penuh serata dada dan kakinya. Hanya kerana RM7, nyawanya hampir terbang. Kalau mahu ditukarkan ke nilai dolar pun, jumlahnya cuma dua dolar dan dua puluh sen. Gila. Tidak ada sesiapa yang sanggup membunuh demi wang sebanyak itu. Langsung tidak ada kecuali si pelaku hilang akal. Bangsa India ini memang benar kutu-kutu berbahaya yang langsung tak berguna. Asrul nekad. Mereka layak dibunuh. Biar hidup begitupun, tidak ada harganya. Andai Asrul mampu, mahu saja dia bunuh semuanya. Dirobek-robek jasad mereka dengan pisau sama yang mereka gunakan untuk mengacahnya malam itu. Ditikam-tikam tanpa henti. Mana tahu ada santan yang memancut keluar. Asrul bersumpah pada Tuhannya. Dia akan pastikan dirinya akan jadi kuat lagi berkuasa. Biar dia hapuskan kutu-kutu najis ini semuanya.

Berkobar sungguh semangat Asrul bagai dipam-pam ke otaknya. Penuh bagaikan belon. Lantas, akalnya turut tenggelam dalam lautan semangat itu. Asrul tidak pernah rasa sebegini takut untuk berjalan, berbual atau melakukan hal-hal normal macam manusia lain. Dek kerana kejadian itu, hidupnya bagai dibelenggu. Kerap kali dia tenung garisan gelap dan panjang di tangan kirinya. Hadiah daripada malam itu yang kini bagai tatu yang dia perlu bawa sampai ke mati. Hadiah yang Asrul tidak mahu apatah lagi perlu.

Hari-harinya dihabiskan dengan melepak di warung mamak yang sama sambil menghirup secawan teh tarik. Lepas satu cawan, Asrul pesan lagi seterusnya. Dia hanyut dalam rantaian kemanisan ini untuk mengubat jiwanya yang luka. Asrul sedar dia perlu beralih arah. Dia perlukan sesuatu untuk dipegang dan percaya. Muzik saja tidak cukup untuk menghilangkan perasaan yang dihadapi kini. Bagai tengkoraknya dihentak-hentak ke jalan. Sakit!

Suatu hari, lamunan panjangnya terganggu. Terlihat dari ekor mata Asrul, satu susuk yang tiba-tiba muncul. Susuk itu milik seorang lelaki. Dia berdiri tegak di sebelah meja Asrul. Lagaknya bagai pembantu warung yang menunggu pesanan pelanggan. Dari luaran Asrul pasti lelaki itu sebangsa dengannya. Kepalanya licin dicukur dan cermin mata besar dipakai sebagai pelengkap gaya. Kemeja-T yang dikenakan dari jauh pun sudah dapat dilihat. Gambar but askar menghias dada. Dipadankan pula dengan seluar fit warna hijau askar. Asrul pandang lelaki itu atas bawah. But di kaki nampaknya sama dengan but yang terpapar di kemeja-T.

“Ni Skrewdriver, Boots and Braces – band bangsa orang putih mai dari England. Best la jugak,” kata lelaki itu. Asrul hanya buat acuh tak acuh sambil menanti apa langkah lelaki itu seterusnya.

“Boleh aku dok sini dak?”

“Banyak lagi meja kosong tang sini. Hang nak mai dok sini dengan aku pasaipa?”

Tanpa banyak kata, pemuda itu terus menarik kerusi dari meja belakang dan duduk menghadap Asrul. Cermin mata besarnya ditarik ke bawah sikit, menyerlahkan bola matanya. Betul-betul dalam, tajam dan pekat renungannya.

“Nama aku Malik. Aku tau pasai kes tu. Aku ada benda nak tanya kat hang sikit ni.”

Tapak tangan kanannya diunjur ke tengah meja dan betul betul berhenti di depan cawan teh Asrul yang belum habis. Kembali dia tarik tangannya ke belakang dan menyentuh dada kirinya. Betul-betul di atas jantung.

“Assalamualaikum.”

Asrul perhatikan urat-urat jantan yang berselirat di tangan pemuda itu. Panjang sampai ke dada bidangnya. Penambah daya tarikan pada penampilannya.

Asrul pula menyentuh dadanya tanda membalas salam walaupun dia rasa pelik. Asrul rasa perlu untuk membalas salam yang diberi pemuda tadi. Lagipun, Asrul sudah mula rasa dekat benar dengan lelaki pelik ini dan juga kekuatan aura yang dibawanya.

“Kesian sungguh kat hang, Asrul. Shhh… Jap. Tak yah tanya lagu mana aku tau nama hang – semua orang tau kes tu, sebab pada kami, hang ni hero. Hang boleh hadap depa. Benda-benda lagu ni la kita kena cegah.”

Asrul rasa terkesan dengan kata-kata pemuda itu. Perasaan yang terperuk dalam hati kecilnya kini bagai terkapai-kapai meminta nyawa. Betul-betul terdesak minta dilepaskan.

“Hang rasa hang boleh cam depa dak?” Malik kembali bertanya.

Matanya tak habis memerhatikan setiap gerak Asrul dengan penuh tajam sejak tadi.

“Tak tau. Masa tu gelap gila.”

“Alah, rugi la kalau lagu tu. Kalau dak, aku ingat kita boleh la pi jumpa depa…”

Sebut saja hal itu, isi perut Asrul sudah mula berpusing-pusing. Betul-betul rasa macam mamak sedang menggoreng Maggi.

Boleh pula lelaki ini dengan mudah berkata begitu.

“Nak buat apa? Hang ni sapa, Encik Malik? Hang polis ka?”

Malik tersandar di kerusi besi itu. Kedua tangannya diletakkan di atas meja.

“Huih! Mesti la dak.” Pandangannya cepat-cepat dialihkan semula ke atas. Ditenung muka Asrul dalam-dalam.

“Hang boleh panggil aku tukang balas dendam ataupun sukarelawan. Boleh juga, pembersih sosial. Aku sama ja macam hang. Aku pun meluat kat kutu-kutu berahak yang dok buat hang tu, sama macam mana hang meluat kat depa.”

Ayatnya dihabiskan sambil cermin mata besar itu dinaikkan kembali. Pandangan tajam itu kembali tersembunyi dari dunia luar.

“Port meeting kami kat hujung jalan depan sikit dari kawasan latihan tu. Hang suka muzik kan? Ada dua tiga kali aku dok nampak hang tang sana. Tersengguk-sengguk macam orang sawan. Hang kuat. Gunakan kekuatan hang tu untuk benda-benda baik. Kalau hang dah rasa okay, mai jumpa aku kat sana bila-bila hang mau.”

Malik bangun dan meletak sehelai kertas ronyok di atas meja. “Alamat dengan nombor tepon aku ada kat sana. Telefon ja aku bila-bila.”

Kertas itu terletak elok di atas meja di depan Asrul. Asrul ambil dan tenung kertas itu seketika. Sebaik saja dia mengangkat kepala dan memandang ke depan, Malik sudah hilang. Bagaimana dia datang, begitu juga dia pergi. Cepat betul.

Asrul kembali sendiri. Hilang di antara bunyi bising gelas berdenting dan kuali berasap. Kertas tadi ditenungnya sekali lagi sambil cuba mengingat alamat yang tertera, lalu disimpan ke dalam koceknya kembali.

***

“Tengok depa tu.”

Malam hening yang membahang itu ditemani cengkerik yang berlagu tak henti.

“Tengok tu. Tak malu. Tak boleh blah tengok depa dok syok beromen tang sini. Dah la kawasan terbuka.”

Kening Malik dikerutkan, cuba untuk mencari pandangan yang lebih jelas. Ranting pokok berdekatan diketepikan. Langkahnya dimajukan ke dalam semak bagai harimau menghendap mangsa.

“Depa tak boleh mai dok sini. Dah la mai kawasan kita, dok buat perangai lagu tu pulak. Tengok tu! Pi dok bilik hotel la nak romen!”

Asrul berdiri di belakang Malik sambil diapit dua budak yang lain. Bau kemeja-T masam peluh memenuhi rongga hidung. Bau busuk dan panas saling menusuk. Kombinasi yang sungguh ‘indah’.

“Hang sure ka idea ni baguih, Malik?” suara hati Asrul diluahkan sambil bergerak mendekati kawannya itu.

Malik hanya memandang Asrul sekilas. Ini bukan masanya untuk berbincang tentang bagus atau tidak. Sedar-sedar saja Asrul sudah ditolak ke depan oleh rakannya. Dua lagi rakannya yang lain membuntuti dari belakang. Bunyi tapak but mereka seiring bagai kawad skuad yang sudah sedia untuk bertempur.

Asrul sendiri sudah lupa berapa lama dia menjadi sebahagian dari kumpulan ini. Apa yang masih melekat di ingatannya adalah pada hari pertama mula menyertai kumpulan ini. Hari itu, berpandukan arah yang diberi, Asrul datang ke rumah Malik. Langkahnya terhenti di hadapan sebuah rumah kayu tradisional berciri Melayu. Meski usang tapi tetap cantik. Deretan papan kayu terletak elok dipaku bersama. Malik nampaknya sedang duduk tenang tak berbaju di depan pintu. Asap rokok disedut dan dilepaskan perlahan ke udara. Ada beberapa lelaki lain yang turut serta duduk mengelilinginya. Penuh beranda kayu itu dengan mereka. Semuanya bersemangat menyokong dakyah ketuanan bangsa pilihan Tuhan ini. Di balik dinding kayu ini, Asrul dapat mencium aroma masakan kari. Dari luar terlihat kelibat seorang perempuan. Asrul rasa, itu mungkin ibu Malik. Badannya besar, pendiam dan tudung terletak kemas di kepalanya. Perempuan itu sedang leka mengacau karinya di dalam periuk. Asrul tamatkan lamunannya dan kembali ke dunia nyata.

Hari itu, Malik tidak banyak mulut. Dia hanya duduk diam di depan pintu. Lain benar keletahnya. Kerusinya digoyang-goyang ke depan dan belakang. Meski dia diam, Asrul kini faham. Malik ini umpama Yang Terutama, ketua kepada kumpulan jaguh-jaguh serigala muda ini.

“Ini ja cara dia. Ini tanah kita dan kita ada hak. Dah takdir Tuhan kat kita. Tuhan dah takdirkan kita dok tang sini. Depa hat lain ni mai menyibuk ja. Hang kena paham – ni tanah kita. Hang kena la jaga elok-elok. Kes yang hang kena hari tu semua petunjuk daripada Tuhan nak buat hang sedaq. Ingat Asrul. Semua kemasyhuran perlukan pembunuhan, keganasan dan kekuatan.”

Asrul pernah kena pukul dan akhirnya terlantar di hospital. Semuanya gara-gara kutu-kutu bangsa yang Malik sendiri hilang sabar dibuatnya dan membuatkan Asrul mengikut Malik akhirnya. Kata-kata Malik selalu bermain-main dalam kepalanya. Bagai tatu yang dicacah. Susah untuk ditanggalkan dan itu yang buat dia bersedia.

Asrul kini sedar. Malik ada anugerah istimewa. Dia mampu membuat orang lain percaya bahawa dia penting buat mereka. Dia mampu menarik manusia-manusia pasif sepertinya. Dia mampu berkata-kata sampai mereka mengikut kehendaknya tanpa mereka sedar. Lelaki ini betul-betul punya magis dan mampu memanipulasi magis itu untuk mempengaruhi manusia lain. Meremang rasanya Asrul setiap kali Malik merenungnya dengan pandangan tajam itu. Meskipun perasaan itu tampak berunsur gay tetapi Asrul tidak berdaya menipu dirinya sendiri. Dia suka benar perhatian yang Malik berikan padanya.

Perlahan-lahan mereka dekati bangku itu dari belakang seperti sekumpulan kaki ‘skodeng’. Langkah mereka dihentikan apabila bau minyak wangi amoi di bangku itu mula menusuk hidung. Petanda mereka sudah dekat. Buat seketika, Asrul, Malik dan dua lagi rakan mereka berselindung di balik bayang-bayang. Seketika itu dirasakan terlalu lama buat Asrul.

Mereka terus memerhatikan pasangan itu. Keduanya berkepit lekat. Tangan masing-masing makin ketat memeluk sambil lidah mereka saling bertaut. Hal ini mungkin norma jika di negara Barat tapi ini di Malaysia. Di tanah ini, agama sudah meletakkan hal-hal sebegini sepatutnya dilakukan di tempat tertutup. Nampak gaya keduanya makin hangat bercinta. Tangan lelaki itu sudah mula menjalar masuk ke dalam baju mencapai buah dada si gadis.

Tiba-tiba Malik bangun dan menampar kepala lelaki itu dari belakang. Amoi yang tadi enak dibuai nafsu terus saja bangun berdiri dan menjerit lantang. Lantangnya bagaikan ternampak jelmaan hantu Nazi.

“What the fuck?!” jerit si lelaki Cina sambil mengusap kepalanya tanda kesakitan. Namun marahnya tadi lenyap bila dia sedar yang dia perlu berlawan dengan empat serigala lapar yang tersampuk dakyah Ketuanan Melayu. Muka bengis tadi terus berkerut menjadi kain buruk.

“Apek, jaga sikit mulut hang depan pompuan,” kata Malik. Perlahan butirnya dilantun satu demi satu bagai melepaskan peluru. “Hampa dok projek apa kat sini?”

“None of your business,” lantang lelaki Cina itu bersuara, cuba tunjuk berani. Terus dia bergerak maju ke depan dan berdiri di antara Malik dan amoi tadi. Kononnya mahu membalas perbuatan Malik tadi dan muncul hero di depan si amoi.

Asrul terfikir, apa betul ini yang dia mahu lakukan? Tiba-tiba saja dia mahu menyerang pasangan kekasih Cina di taman pada waktu malam sebegini. Apa betul ini Malik, lelaki sama yang kini sedang membelasah, menyeret dan menghentam muka lelaki Cina kurus ini? Pelik betul rasanya.

Semuanya bergerak sangat perlahan. Asrul merasa jari-jari kakinya kebas dalam but askar berkulit keras ini. Kalau boleh, dia mahu pakai selipar jamban; but begini, mana sesuai dipakai dengan cuaca bahang di Malaysia. Asrul turut berharap Malik juga memakai selipar sewaktu dia melihat but Malik mencium rusuk lelaki Cina itu. Terus lelaki itu melambung macam mainan.
Tengok pun sudah sakit rasanya. Amoi tadi cuma berdiri tegak diam tidak mampu berbuat apa-apa. Terketar-ketar dia di dalam gelap. Asrul nampak amoi tadi cuba menyorok di sebalik gelap
malam. Sebaik saja dua kawan Asrul mengepung dan memeluknya dari belakang, amoi tadi menjerit kuat. Terus saja lampu dari salah sebuah rumah berdekatan menyala.

“Lari wei lari! Ada orang mai. Sat lagi depa nampak kita!”

Pantas Malik melepaskan lelaki Cina itu yang jatuh terlentang ke tanah. Jasadnya tidak bergerak tapi Asrul nampak dadanya masih berombak kuat. Sebaik Malik lari, yang lain turut ikut serta meninggalkan lorong kotor itu. Dari jauh Asrul masih boleh mendengar jeritan amoi tadi. Jerit itu membelah sunyi malam yang kini tampak sedikit ngeri. Dari belakang, Malik nampak lebih sasa bila dia berlari mengetuai kumpulan. Peluhnya yang mengalir, nampak berkilauan di bawah sinar lemah bulan. Asrul sedar apa yang mereka lakukan ini salah. Salah yang bukan sedikit-sedikit tapi dalam masa yang sama, Asrul tidak boleh berbohong. Dalam keadaan hatinya yang berdebar bersama kadar adrenalin yang dirasai, timbul rasa bangga. Bagai dendamnya terbalas. Begini rupanya rasa jadi juara.


Nazi Goreng yang anda baca ini adalah terjemahan dari Nazi Goreng asal yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Segala doa dan usaha telah dibuat untuk memastikan naskah terjemahan ini membawa semangat dari naskah yang asal, maka oleh itu beberapa elemen asal dikekalkan. Dialog antara watak warga asing (dan antara warga asing dengan warganegara) dikekalkan dalam bahasa Inggeris seperti dalam naskah asal. Bahasa buku ini memang rojak, tapi itulah juga realitinya kita di Malaysia. Kalau tidak percaya, cuba ingat bilamana setiap kali kita ke kedai makan dan perlu membuat pesanan dalam Bahasa Inggeris kepada pelayan warga asing yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Nazi Goreng oleh Marco Ferrarese.