Penunggu

Penunggu

PENUNGGU ialah roh penjaga yang ada pertalian dengan Puaka atau Jin. Penunggu ialah istilah longgar untuk apa-apa roh alam ghaib – sama ada secara sukarela atau sebaliknya — yang tinggal di satu tempat spesifik lalu menjaga kawasan tersebut. Gambaran-gambaran tentang Penunggu dalam cerita-cerita rakyat selalunya bertindih dengan roh-roh kelahiran alam dalam kepercayaan animis dan juga Datuk Gong dari kepercayaan Melayu-Cina. Kepercayaan tentang Penunggu ini juga berpadanan dengan kepercayaan yang wujud di sekitar Asia Tenggara tentang roh seseorang yang mati akan terus mengekalkan satu bentuk perhubungan dengan jasad-jasadnya. Jasad-jasad ini boleh menjadi satu kenderaan di mana perhubungan dengan roh seseorang boleh dijalinkan.

Seperti warden-warden trafik atau pengawal-pengawal keselamatan yang gilakan kuasa, Penunggu sebenarnya sangat garang dan menjengkelkan, sentiasakan mahukan manusia menurut perintahnya. Jadi jangan kencing sesuka hati di celah-celah pokok atau belukar tanpa terlebih dulu meminta kebenaran secara beradat, dan cilaka, jangan sesekali mencarut kerana roh-roh ini boleh menjadi sangat kejam.

“Hati-hati… lubuk itu ada penunggu. Jangan buat tak menentu, cakap jangan lepas,” pesan seorang tua kepada sekumpulan pemancing ikan yang sedang dalam perjalanan ke Lubuk Bujang Jantan di Sungai Kelantan, menurut laporan Berita Harian dalam salah satu daripada liputan-liputan istimewanya tentang hantu-hantu dan roh-roh yang selalunya dikategorikan di bawah ‘Misteri’ oleh penerbitan-penerbitan Bahasa Melayu.

Banyak laporan-laporan ‘kemunculan’ Penunggu (walaupun sebenarnya Penunggu tidak boleh dilihat dalam bentuknya, ia sering dipersalahkan bila berlaku malapetaka dan bencana) terjadi setiap kali jalan-jalan baru dibina di kawasan-kawasan pendalaman.

Sebagai contoh, Harian Metro pada bulan April 2004 ada melaporkan tentang pertempuran dengan Penunggu: Pak Dollah yang mengetuai sekumpulan pembina-pembina jalan yang membersihkan jalan dari Kampung Penanti ke sebuah bandar berhampiran telah terjumpa satu kawasan yang menurut cerita-cerita orang kampung ada mempunyai Penunggu yang tinggal di celah-celah pokok terap. Orang kampung mendakwa selalu terdengar bunyi bising dari tempat itu, kadang-kadang seperti ribut taufan, walaupun hujan tidak turun. Sebatang pokok yang menghalang pembinaan jalan gagal ditebang oleh kumpulan Pak Dollah. Kapak-kapak mereka patah, dan dua orang pekerja dari kumpulannya pengsan ketika cuba menebang pokok itu.

Pak Dollah kemudiannya mendapatkan bantuan Tok Guru Semaun, seorang guru silat berusia 70 tahun yang disegani di kampung tersebut.

“Beritahu orang ramai, jangan panik kalau mereka dengar bunyi bising yang ganjil dekat pokok-pokok itu,” kata Tok Guru Semaun kepada Pak Dollah. Selama seminggu, Tok Guru bertarung dengan Penunggu. Pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan sekitar kawasan itu dikatakan tercabut dan tumbang ketika pertarungan ini berlangsung. Pada hari kelapan, penduduk-penduduk kampung menyaksikan sebatang pokok terbakar, seolah-olah baru saja disambar kilat, walaupun tidak ada ribut petir yang berlaku.

Tok Guru itu kemudiannya menyuruh Pak Dollah menyambung kerja-kerjanya dengan memberi jaminan tiada gangguan lagi yang akan berlaku. Kesudahan cerita ini sebenarnya membawa khabar yang baik kepada penduduk kampung, kerana pembinaan jalan baru ini telah membantu penduduk-penduduk kampung mendapatkan pendapatan yang lebih lumayan. Tok Guru itu sendiri menggunakan jalan baru itu seminggu sekali untuk menjual ternakan, akar-akar dan sayur-sayuran. Walaupun begitu, Tok Guru menasihati penduduk kampung supaya tidak begitu tamak dalam mencari keuntungan dengan menjual barangan mereka dengan harga yang tinggi, dan juga jangan sesekali menipu pelanggan-pelanggan.

Banjir Sungai Selangor yang terkenal pada bulan Oktober 1883 yang melenyapkan pekan Kuala Kubu dan juga mengorbankan nyawa pegawai daerah British dan juga majistret pertamanya Sir Cecil Ranking (namun sejarah yang dirakamkan nampaknya begitu ‘memilih’ dalam nama-nama yang ia sebut untuk generasi-generasi akan datang) berlaku bila empangan kayu Kuala Kubu telah pecah. Menurut cerita-cerita rakyat Orang Asli, majistret itu telah cuba untuk membunuh sejenis buaya penunggu yang hidup dalam sungai itu, lantas mencetuskan bencana yang mengorbankan nyawanya itu. Sejak itu saki-baki peninggalan bandar itu mula dikenali sebagai Ampang Pecah. Sebuah bandar baru telah dibina dan diberi nama Kuala Kubu Bharu.

Satu lagi cerita Penunggu juga membentuk asas kepada kewujudan sebuah kampung di Pulau Pemanggil (di mana mungkin bukan secara kebetulan juga terletaknya Kampung Pontianak), sebuah pulau 45 km di timur Mersing, Johor. Satu versi cerita ini menerangkan kisah sebuah bot yang membawa satu keluarga Indonesia yang datang ke perairan sekitar pulau ini kira-kira seratus tahun dulu. Patriak keluarga itu telah bermimpi di mana satu suara yang dipercayai sebagai suara Penunggu pulau itu telah memberitahunya untuk menetap di pulau itu. Keluarga ini segera menerima nasihat itu, terus bergegas ke pulau dan mendarat betul-betul pada kaki batu yang dipanggil Batu Buau. Mereka pun terus menamakan penempatan baru mereka Kampung Buau, yang mula membangun setelah lebih ramai orang Indonesia mendapat jemputan melalui suara-suara dalam mimpi untuk menetap di pulau itu.

Sedikit variasi dari cerita rakyat ini pula menceritakan sekumpulan nelayan-nelayan Indonesia yang terdengar suara memanggil mereka, juga seratus tahun dulu. Mematuhi arahan suara-suara ganjil yang memanggil ketika itu nampaknya satu amalan lazim. Nelayan-nelayan ini mula-mula mendarat di Pulau Tioman, tapi suara-suara itu masih terus memanggil mereka untuk pergi ke satu arah yang lain, kemungkinan satu petanda awal untuk pelancong-pelancong asing yang menakluki pulau ini beratus tahun kemudian. Lalu mereka pun pergi ke arah dari mana suara itu datang, sebuah pulau yang kini dikenali sebagai Pulau Pemanggil. Nelayan-nelayan itu mula menetap di sudut pulau itu dan menamakannya Kampung Lancang.

Istilah ‘penunggu’ juga telah menyelinap masuk ke dunia moden untuk menggambarkan jenis-jenis manusia aneh yang berkeliaran di sekitar hutan-hutan urban yang dipenuhi gerai-gerai DVD cetak rompak dan juga gerai-gerai makanan pendatang haram, selalunya membawa walkie-talkie. Mereka juga mempunyai kuasa untuk membuatkan berdozen peniaga-peniaga serta gerai-gerai mereka lenyap secara tiba-tiba sebelum pegawai-pegawai penguatkuasa kerajaan muncul, dan sepantas itu juga mereka semua boleh muncul semula apabila keadaan kembali tenang.


Tulisan Danny Lim ini ada di dalam Kitab Pengetahuan Hantu Malaysia.