Perbandingan Antara Pengalaman Islam Di Amerika Dengan Islam Di Malaysia

Perbandingan Antara Pengalaman Islam Di Amerika Dengan Islam Di Malaysia

AKU mungkin mempunyai pendedahan terawal mengenai Islam di sekolah rendah. Pelajar-pelajar di sebuah kelas mempunyai jadual waktu yang sama, tapi dengan satu pengecualian. Pelajar Muslim akan mengikuti kelas Pendidikan Islam, dan pelajar bukan Muslim mengikuti kelas Pendidikan Moral. Pada masa itu aku tidak kisah sangat. Kadangkala aku rasa terganggu sebab kena pindah kelas, tapi ada kalanya seronok juga dapat bergaul dengan budak kelas lain. Beberapa kali kelas Pendidikan Moral dibatalkan, jadi kami duduk diam-diam dekat kelas Pendidikan Islam. Aku lihat kawan-kawan aku membaca doa. Ada rasa perasaan terasing, tapi kadang-kadang indah juga. Sebenarnya aku senyap-senyap berpendapat bahawa nasib baik ada Islam dan pelajar Muslim, kerana pelajar-pelajar dapat balik awal pada hari Jumaat!

Lebih 10 tahun kemudian, apa yang aku nak katakan pasal Islam ya? Waktu sekolah menengah, kami belajar tentang Nabi Muhammad dan sejarah Islam. Terdapat lebih kurang lima bab dalam buku teks sejarah yang kami perlu hafal tentang sejarah Islam. Di universiti, aku ada membaca beberapa buku tentang Islam dan politik Islam. Melalui pendedahan dari kawan-kawan dan media, aku mendapat tahu tentang Ali Shariati, Tariq Ramadan, Hamza Yusuf, Reza Aslan dan al-Ghazali. Aku juga ‘like’ page Dr MAZA, Dr Zaharuddin dan Ustaz Azhar Idrus. ‘Like’ bukan tanda setuju. Aku nak ikut perkembangan wacana mereka dan tahu isu apa yang menonjol (salient issues) dalam kalangan mereka.

Pengetahuan aku tentang Islam memang cetek jika dibandingkan dengan kebanyakan kawan Muslim, terutamanya yang ‘Islamik’ dan mengaji Islamic studies, tapi bolehlah dikatakan lebih banyak jika dibandingkan dengan majoriti kawan bukan Muslim.

Aku agnostik tapi kalaulah satu hari nanti aku percaya pada Tuhan dan memeluk Islam, aku rasa kebarangkalian ia akan berlaku di luar negara, bukan di Malaysia. Islam di Malaysia adalah Islam Melayu; Islam yang berpaut pada autoriti (tak kira mana-mana pihak; UMNO ke, PAS ke, JAKIM ke, MAIS ke) dan perebutan kuasa politik.

Aku tidak kata ini betul atau salah, cumanya aku tidak akan berminat dengan Islam begini. Di Amerika, aku pernah menjelajah beberapa kali dengan kawan-kawan Melayu dan Cina. Kawan-kawan Melayu tetap komited menunaikan sembahyang lima kali sehari walaupun dalam perjalanan, makalah kami bersinggah di beberapa masjid. Terus-terang, aku agak terkejut dengan layanan terhadap aku di masjid luar negara berbanding masjid di Malaysia.

Ada sekali aku menjelajah ke Urbana-Champaign, Illinois. Kawan-kawan aku, Izzat, Amir dan Umar; nak sembahyang. Aku boleh saja tunggu di luar masjid tapi Amir ajak masuk sahaja. Aku berehat di masjid sambil menunggu kawan-kawan menunaikan kewajipan mereka. Orang-orang yang masuk masjid menyusun kasut dengan elok dan bertegur sapa dengan aku. “Assalamualaikum, brother”, “Welcome” dan “Hi. How are you today?” antara sapaan yang diucap kepadaku.

Di Malaysia, pengalaman aku adalah kalau nak masuk masjid, bukan sahaja bukan Muslim malah Muslim pun teragak-agak sama ada kami boleh masuk masjid atau tidak. Aku belum masuk pun sudah ditatap dengan wajah-wajah yang seolah-olah bertanya “buat apa Cina ni buat kat sini?”. Di Masjid Negara, kami diminta untuk berpakaian menutup aurat atau sarungkan kain yang diberi. Ada sekali di Masjid Putrajaya, aku ternampak sepasang pelancong ditegur dalam kawasan masjid dengan pekikan “Oi halo halo! You cannot go there!”

Jangan salah faham. Aku bukan mempertikaikan hal-hal aurat atau tempat sembahyang yang dikhaskan untuk Muslimin dan Muslimat, tetapi cara kami dilayan dan intonasi itu membuatkan kami terasa tidak dialu-alukan. Tidak hairanlah jika kebanyakan bukan Muslim di Malaysia tidak berminat mengenali Islam atau menjenguk masjid.

Berkenaan para ulama dan ustaz, aku ada sedikit perkongsian. Di Ohio, aku mempunyai dua rakan yang banyak mengajar aku pasal perkembangan dan pemikiran Islam, Azham dan Radin. Satu hari di kedai kopi One Line Coffee, kami sedang berkisar tentang sejarah Islam dan aku mengemukakan kritikan berdasarkan kenyataan sesetengah ustaz. Radin memperbetulkan aku bahawa ustaz bukan scholars. Terdapat ramai ustaz di luar sana dengan pandangan lain-lain. Hanya segolongan kecil yang menjadi ulama, seperti Syeikh Hamza Yusuf. Saat itu baru aku mengetahui bahawa ulama dalam bahasa Inggeris ertinya scholars.

Scholars bagi aku merupakan satu istilah yang membawa imej berilmu, berkredibiliti, akademik atau saintifik dan bijaksana. Imej ulama pada mata aku sudah lebih baik berbanding dulu kerana aku sedar bukan semua kenyataan ustaz mewakili pandangan ulama (dulu aku tak tahu pun perbezaannya). Tetapi terus terang, aku masih belum mempunyai tanggapan tinggi terhadap para ulama dan terutamanya para ustaz dan aku ingin menjelaskan sebabnya.

Hampir setiap kali para ulama atau para ustaz mengeluarkan kenyataan atau muncul di berita, mesti berkisar tentang haram itu dan haram ini. Alasannya pun sudah standard. “Untuk mempertahankan Islam”, “Bertentangan dengan ajaran Islam”, “Demi kebaikan ummah” atau “Pihak X mendapat tajaan dari Barat untuk menyesatkan orang Islam”. Tidak dilupakan, “konspirasi Yahudi untuk menawan dunia Islam”.

Macam mana kamu nak harap bukan Muslim untuk menghormati dan mengangkat kepimpinan ulama jika apa yang kami lihat setakat haram itu dan haram ini? Ya, aku tahu mereka ada buat program ilmiah dan khidmat masyarakat. Bayangkan sahajalah awak di tempat kami. Kalau setiap kali awak baca berita (tak kiralah Utusan ke, Sinar ke, Malaysiakini ke), golongan paderi Kristian seringkali mengeluarkan kenyataan bersifat eksklusif dan memburukkan pihak lain, apa pandangan awak terhadap mereka?

Kemudiannya, mereka mengeluarkan fatwa. Fatwa tersebut merupakan pendirian dan pendapat mereka tentang sesuatu isu, ataupun learned opinion. Apabila ada pihak mempertikaikan fatwa tersebut, golongan agama terus melabel mereka sebagai liberal, sesat dan mencabar Islam. Soalannya, adakah mereka itu Islam? Adakah golongan yang mempertikaikan fatwa mencabar agama atau pandangan manusia? Mungkin hujah mereka ada asasnya tapi biasanya jurucakap golongan agamawan ini memilih jalan mudah untuk bersembunyi di sebalik autoriti agama. Mereka bukan sahaja enggan berdialog dan mendengar hujah lain, malah melemparkan label-label ad hominem terhadap yang tidak bersetuju dengannya. Tugas rakyat dengar dan ikut sahaja. Pandangan agamawan tidak boleh dipertikaikan. Aku tahu dalam kalangan Muslim sendiri pun ada yang menolak keangkuhan ini. Cuba bayangkanlah persepsi bukan Muslim pula bagaimana?


Tulisan Ooi Kok Hin ini ada di dalam Aku Kafir, Kau Siapa? (Jangan Jawab).

5