Rumah Pusaka Masai

Rumah Pusaka Masai

“UMUR rumah pusaka ni bukan calang-calang. Dah nak masuk 100 tahun dah kau tau?” Aki beria bercerita pada Amin pada suatu petang.

“Kau nampak ukiran kat beranda atas tu Min? Itu masa nak pacak tiang, ukiran tu dulu yang dorang pasang.” Amin masih melopong dek cerita si Aki.

“Aki, apsal nenek dengan mak bapak kau tak nak duduk sini? Kan besar rumah pusaka ni? Duk Permas sapa je ada?” Amin mula soal jawab.

Aki pandang si Amin. Lama juga dia tenung mata Amin dalam-dalam. Dalam hati terdetik ada betul juga cakap Amin. Abang dia Amat pernah duduk bujang di rumah pusaka ini sedikit masa dahulu. Tidak lama selepas itu balik duduk di Permas. Tak pernah dia cakap kenapa dia balik Permas semula. Yang dia duk ulang ialah tak mahu Ummi sama Walid sunyi. Sunyi pebenda si Faris pun ada sama duduk dengan mak bapak dia.

Aki tarik nafas panjang. “Sebenarnya Min, Amat pernah cakap dengan aku dia alami benda-benda pelik masa duduk rumah ni dengan kawan dia. Tapi kau tahulah Amat tu macam mana kan? Kalau aku jadi hantu pun aku suka kacau dia. Jenis lurus bendul.”

Amin membetulkan sila. Dia memang pantang benda-benda mistik ini. Suka sangat dia nak tahu lebih mendalam.

“Apa yang Amat nampak Ki? Polong? Hantu Raya? Pocong? Langsuyor?” bertubi-tubi Amin ajukan soalan.

Aki seluk poket seluar. Keluar rokok, cucuh dan sedut dalam-dalam. Panjang leher Amin telan air liur melihat bukan main sedap Aki sedut rokok. Sambil menunggu jawapan Aki, tangan Amin meliar capai rokok atas lantai.

“Amat pernah cerita kat aku Min, satu malam tu dia tengah lepak tengok TV kat atas. Pintu terbuka. Masa tu dah pukul 11 lebih. Masa dia tengah lepak dengan member dia sambil tengok TV tu lah dia terdengar pagar terbuka, lepas tu bunyi orang berjalan dan berhenti depan tangga…” Aki berhenti bercerita. Diusap-usap lengan berurat tak seberapa. Meremang segala roma.

“Lu apahal doh? Cerita sekerat jalan lepas tu pandang kiri kanan? Jangan cakap gua lu nampak setan!” Amin dah mula cuak. Remang senja baru nak menjelma, jam hampir 7:15 petang.

“Dah, dah. Kita sambung atas. Dah nak Maghrib ni.” Aki bergegas ke dalam dan naik ke atas dengan Amin.

“Apa jadi lepas tu Aki? Cerita lu tak habis ni.” Amin membentak.

Aki pandang Amin dengan tajam. Pesen tak boleh bersabar si Amin ni, getusnya dalam hati.

“Amat cakap masa dia dengan member dia pasang telinga, dia dengar bunyi tapak kaki berjalan naik tangga. Tangga tu menghala ke arah diorang yang tengah lepak kat ruang tengah rumah pusaka tu. Diorang dapat dengar dengan jelas bunyi tangga kayu tu berkeriuk dipijak. Amat hendap dekat bingkai tingkap. Takde orang. Bunyi orang berjalan tu sampai dalam rumah betul-betul membelakangkan mereka yang sedang menghadap TV.”

Amin mendekatkan diri ke hadapan Aki. Ketakutan mungkin.

Aki sambung lagi. “Amat cakap dia tak pandang belakang, dia cuma dapat dengar suara orang bernafas merengus dan tapak kaki berjalan ke dapur. Sampai dapur, benda tu senyap. Amat dengar bunyi gelas dan air dituang. Bunyi orang duk bancuh air jelas dekat dapur. Amat dengan member dia dah cuak. Selang beberapa minit, bunyi tapak kaki menyusul. Disusuli dengan bunyi orang tengah mengacau air dengan sudu sambil berjalan di belakang mereka. Ketinggg… ketinggg… ketinggg… bunyi gelas berlaga dengan sudu. Tapi takde siapa-siapa kat belakang. Sampailah bunyi tapak kaki tu turun tangga dan hilang macam tu saja. Ha macam tu lah Amat pernah cerita kat aku.” Panjang lebar Aki bercerita pada Amin.

Amin geleng-geleng kepala. Macam nak percaya dan tak nak percaya.

“Jadi tujuan aku teman kau tidur sini malam ni sebab kau pernah dengar cerita Amat lah? Apa punya ponen kau ni Aki.”

Amin mula peleceh Aki.

“Jangan cakap besar Min. Kalau dia dengar pastu bikin haru dengan kita malam ni, aku pakuk kepala kau dulu.”

Amin senyum kambing.

Jam dah menunjukkan pukul 11 malam. Sunyinya dah macam pukul 1 pagi. Aki dengan Amin ralit tengok TV rancangan ‘Betul Ke Bohong’. Mengekek-ngekek mereka gelakkan Jep Sepahtu.

“Eh Amin. Kau tak tutup pagar eh petang tadi masa masuk?” tiba-tiba Aki bersuara.

“Manalah aku nak ingat tutup ke tidak. Rasanya macam dah tutup. Kenapa?”

“Tuuu… mana ada kau tutup la setan.” Aki sedikit hangin apabila sedar pagar ternganga luas.

“Abis? Aku nak kena pergi tutup ke apa ni? Kalau nak suruh aku tutup kau ikut sekalilah.” Amin mati-mati tidak berani turun seorang.

“Apa punya kelepey kau ni Min? Turun kejap tutup terus settle. Nak berteman pejadah?”

“Kau dah cerita kat aku hal Amat dengan member dia tadi ingat aku boleh lupa macam tu je?”

Tiba-tiba bunyi pintu bawah terbuka, Aki dengan Amin berpandangan. Mereka serentak menjenguk melalui beranda tingkap dengan gaya menghendap.

Tu dia. Susuk perempuan berkebaya putih keluar dari tingkat bawah rumah pusaka melayang ke arah pagar. Dengan perlahan pagar ditutup. Perempuan kebaya putih meluncur kembali ke arah pintu bawah.

Sebelum sampai di pintu tingkat bawah, perempuan berkebaya putih itu mendongak ke atas seraya bersuara, “Pagarnya sudah ditutup ya abang-abang.”

Diiringi bunyi nyaring mengilai, pintu bawah berdentum tertutup sendiri. Aki dengan Amin tidur berpelukan hingga ke pagi. Satu apa pun mereka tak bercerita pada keluarga masing-masing.

Apa yang Aki ingat, wajah perempuan berkebaya putih itu sama dengan seseorang yang ada dalam gambar yang tergantung di ruang tamu tingkat bawah. Itupun dia tak berani tanya mak bapak dia siapa perempuan itu. Siapa dan apa ada dalam rumah pusaka itu kekal misteri hingga sekarang.


Tulisan Jarr Nadjmuddean ini ada di dalam #CeritaSeram 3: Syaitan.