Satu Hari Nanti Aku Nak Bela Anjing German Shepherd Dan Suruh Dia Gigit Mamat Dan Minah Melayu Paranoid Di Luar Sana

Satu Hari Nanti Aku Nak Bela Anjing German Shepherd Dan Suruh Dia Gigit Mamat Dan Minah Melayu Paranoid Di Luar Sana

RAMAI di antara kamu pasti pernah menerima email tentang seorang gadis Melayu bergambar dengan babi dan anjing. Reaksi aku kali pertama melihat gambar tersebut adalah, “Boleh tahan juga lawa awek nih.”

Pasal dia pegang babi dan anjing bukanlah satu perkara besar untuk aku. Tapi bagi majoriti orang Melayu di sekeliling aku, reaksi mereka macam dunia dah nak kiamat.

Macam biasalah, email yang dihantar tu siap selitkan ‘hujah bernas’ yang kononnya, gambar-gambar itu semua adalah usaha halus golongan kafir untuk menyesatkan umat Islam. Sama macam seluar jeans dan kopi Starbucks itu agenda Yahudi untuk memesongkan akidah umat Islam.

Lawatan sekumpulan pelajar UniMAP ke kilang Carlsberg (mesti dapat banyak goodie bags tu!) yang kemudiannya menjadi kontroversi di kalangan Melayu Paranoid di luar sana. Macam biasalah, tohmahan yang dilemparkan, kononnya ini satu lagi usaha pihak kafir hendak menyesatkan pelajar Islam, nanti dah habis belajar semua kerja di kilang arak.

Walhal dari penjelasan lain apa yang aku dapat tahu, tujuan lawatan ke kilang adalah untuk belajar proses mengawet dan penapaian dalam industri pemakanan. Jadi sudah pasti lawatan sambil belajar yang terbaik ialah ke kilang Carlsberg, yang teknologi penapaiannya adalah yang termaju di dunia (siapa lagi yang buat penapaian secara besar-besaran, kalau bukan kilang arak?). Tak kan nak pergi rumah Cik Kiah belajar buat tapai pulut kot?

Oh, tak lupa juga tentang satu email yang pernah aku terima, tentang penggunaan pelekat cermin kereta. Selalu kita nampak bagi kalangan penganut Buddha, mereka gemar tampal pelekat cermin ‘Amitabha’ di bahagian belakang kereta. Dan kemudian jadikan perkara ini satu isu. Komplot pihak Buddha untuk menyesatkan orang Islam katanya, sebab setiap kali kita nampak ‘Amitabha’ bila memandu, kita akan baca dan ianya ibarat doa untuk Buddha.

Email-email yang aku terima hampir setiap hari di pejabat, email Melayu Paranoid, dengan teori tersendiri tentang komplot dan niat jahat golongan kafir untuk menyesatkan akidah umat Islam, Melayu khususnya.

Tak kisah la kalau nak hantar email macam tu semua, sekurang-kurangnya aku tahu gadis-gadis universiti yang ambil kursus veterinar boleh tahan juga cantiknya; atau aku tahu juga boleh buat lawatan sambil belajar ke kilang Carlsberg satu hari nanti (aku nak goodie bag!).

Tapi yang letihnya bila semua benda yang berlaku kita jadikan golongan kafir sebagai ‘kambing hitam’. Semuanya komplot untuk menyesatkan umat Islam, Melayu khususnya. Dan yang jadi mangsa adalah gadis veterinar dan pelajar UniMAP dilabelkan sebagai bodoh, sesat dan tidak sensitif dengan sensitiviti orang Melayu yang sememangnya sentiasa sensitif, sebab terlalu banyak tengok Sembilu Kasih.

Paranoid nak mampus. Sebenarnya tak payah ada golongan kafir atau agenda Yahudi pun untuk menyesatkan umat Islam, Melayu khususnya. Memang sendiri sudah sesat.

Dan aku cukup tidak faham dengan semangat anti-anjing orang Melayu yang mengalahkan holocaust Nazi ke atas kaum Yahudi. Sampaikan masa aku berkempen di pejabat nak hentikan ‘Pertandingan Menangkap Anjing Anjuran MPS’ dulu, ada orang bertanya,

“Yang kau kecoh nak selamatkan anjing buat apa? Biarlah, anjing kan haram, elok pun kalau tangkap dan bunuh semua!”

Apa kata aku buat ‘Pertandingan Menangkap Melayu Paranoid Anjuran Trankuiliti Tronoh’? Padan muka kamu!

Satu hari nanti bila kucing Parsi kamu sakit, ingatlah gadis veterinar yang pernah pegang babi dan anjing itulah yang mungkin akan menolong menyelamatkan kucing kamu.

Wish-list aku untuk harijadi aku tahun depan, seekor anjing German Shepherd jantan. Ada sesiapa nak hadiahkan?


Tulisan Lucius Maximus ini ada di dalam buku Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua.

1