Seni Menerima

HUJUNG minggu sudah, aku jumpa seorang kawan. Mari kita namakan kawan aku ini Baharom (bukan nama sebenar). Baharom seorang lelaki sederhana. Tidak kacak mana. Tinggi, badannya besar. Mempunyai prinsip diri yang 80% teguh. Yang lagi 20% itu anggap sajalah Baharom boleh dibawa main hati dan perasaannya.

Bual punya bual, sekali dia tanya:

“Noe, apa tabiat suami kau yang kau sangat tak boleh terima? Yang kau tak terfikir pun sebelum kahwin kau akan hadap dengan tabiat tu,” tiba-tiba Baharom cuba menyingkap rahsia rumah tangga aku dengan gayanya yang tersendiri.

Aku berkerut, “Tak faham.”

“Mesti ada!” getus Baharom.

“Okey kau bagi contoh dulu.” Saja nak suruh dia mula. Biasalah, orang kalau dah bertanya maknanya dialah yang nak buka cerita.

Lalu Baharom berkisahlah tentang kemenyampahan dia terhadap tabiat isteri dia dan seluruh keluarga isteri dia yang makan berkelicap.

Tahu makan berkelicap itu macam mana? Bila makan, kau boleh dengar bunyi “Cap cap cap cip krik kruk”. Orang kalau makan mengunyah sambil mulut terbukak-bukak, memang akan kedengaran berkelicap. Benda itu kecil je tapi kalau dengan sesetengah orang yang memang tak boleh blah (macam Baharom) memang dia kutuk kaw-kawlah.

Itu belum lagi nak fikir tabiat sendawa kuat-kuat. Kentut. Menguap tak tutup mulut. Makan hirup sup daripada pinggan. Tidur berdengkurnirrojim. Korek tahi hidung lepas itu ketis sana-sini. Dan macam-macam tabiat lagi yang aku tak boleh nak fikir pun.

Dan sebenarnya kalau kau dah bersedia nak berkahwin, kau kena terima banyak benda yang kau tak jangka langsung. Dan yang paling perit ialah benda itu kau tak boleh ubah. Kalau dengan pasangan, kau mungkin boleh tegur. Tapi kalau benda dah jadi tabiat turun temurun dengan seluruh family pasangan kau sekali pun macam tu, kau mampu nak sound diorang? Pembawakan yang terhasil dari persekitaran sejak kecil. Memang parah kita nak suruh ubah nak-nak kalau pasangan kita umur pun dah saing-saing makcik kerani organisasi kerajaan.

Ini namanya seni menerima. Kau pasrah. Jadikan benda itu sebati dalam darah daging kau; dan redha kalau ada anak-anak korang terikut-ikut dengan tabiat yang kau tak suka itu. Terima kebaikan, bermakna kau kenalah terima keburukan juga.

Banyak sebenarnya kalau nak dikupas bab menerima baik buruk ni. Cuma itulah, kadang-kadang benda-benda buruk yang kecik ni, kalau boleh kita terima je lah atas nama kasih sayang.

Bagi menjawab soalan Baharom tadi, aku pun jawablah:

“Aku tak suka orang sendawa sampai keluar bunyi. Aku tak boleh blah. Bagi aku, itu macam tak sopan. Busuk dan biadap,”

Memang aku tak boleh pergi langsung kalau orang sendawa merata-rata ikut angin perut sendiri. Semua orang pun aku tak suka nak nak kalau sendawa tu sengaja dibuat-buat. Tapi, bila difikirkan balik, bukan semua orang pun aku sayang. Aku dah sayang sorang, jadi aku terima je lah kau nak sendawa sampai terbelahak keluar tulang pun.

Terpaksalah aku paksa suami aku terima tabiat suka kentut busuk merata-rata.

Adil, kan?


Seni Menerima tulisan Lady Noe dalam Desaturasi Merah Jambu.

Dapatkan Desaturasi Merah Jambu di: https://dubookpress.com/produk/desaturasi-merah-jambu/