Sepanyol Perlu Belajar Dari 1Malaysia

Sepanyol Perlu Belajar Dari 1Malaysia

“Saya mahu Belanda menang. Saya akan nonton perlawanan tersebut kerana saya sukakan bolasepak. Tetapi jika Sepanyol menang ianya akan mengguris hati kami,” tegas Oriol Quera dari Barcelona, seorang nasionalis Catalonia.

Sehari sebelum perlawanan akhir Piala Dunia 2010 antara Sepanyol dan Belanda, lebih dari sejuta rakyat Catalonia berarak di Barcelona menuntut lebih kuasa autonomi dari Sepanyol atau jika tidak, kemerdekaan.

Mahkamah Sepanyol baru-baru ini memutuskan kuasa autonomi dan perlembagaan Catalonia memberikannya status sebuah negara dan ini bertentangan dengan perlembagaan Sepanyol. Reaksi dari keputusan itu mengundang protes raksaksa di Barcelona hari Sabtu lepas.

Sebagai sebuah wilayah autonomi, Catalonia dihuni oleh 7 juta penduduk berbanding 47 juta penduduk seluruh Sepanyol tetapi wilayah ini menyumbangkan 25% KDNK untuk seluruh Sepanyol. Sekiranya Catalonia berpisah maka jawabnya ekonomi Sepanyol akan melingkup lagi teruk dari Greece.

Namun tidak cukup dengan itu, kemerdekaan Catalonia juga akan turut melingkupkan bolasepak Sepanyol. Ini dek kerana sebahagian besar pemain skuad Sepanyol yang menang Piala Dunia pagi tadi adalah bangsa Catalan atau rakyat Catalonia.

Victor Valdes, Carles Puyol, Gerard Pique, Joan Capdevilla, Sergio Busquets, Cesc Fabregas dan Xavi Hernandez adalah mereka yang berdarah Catalan. Kecuali Valdes, yang lain semuanya bermain dalam perlawanan akhir pagi tadi. Manakala penjaring gol kemenangan Andres Iniesta serta Pedro dan David Villa bermain untuk FC Barcelona dan menetap di ibu negara Catalonia itu.

Federacio Catalana de Futbol khabarnya kini dalam proses memohon keahlian UEFA dan FIFA. Sekiranya berjaya maka Catalonia akan memiliki pasukan bolasepak sendiri secara rasmi dan Sepanyol akan hilang sebahagian besar pemain bolasepak sedia ada.

Malahan buat masa ini skuad Catalonia sudah pun bermain secara aktif di bawah kendalian Johan Cruyff. Perlawanan kali terakhir mereka ialah menewaskan Argentina 4-2 dan Cruyff berharap sangat Catalonia dapat bermain dalam Piala Dunia 2014.

“Sudah tentu, saya lebih suka melihat mereka bermain untuk Catalonia, bukan Sepanyol,” begitu kata pelajar universiti, Miquel yang ditemui Sokernet ketika demonstrasi Sabtu lepas. Rata-rata peserta demonstrasi dilaporkan lebih suka sekiranya Belanda yang memenangi Piala Dunia.

Tidak cukup dengan itu, sentimen yang serupa juga wujud di Negara Basque, satu lagi wilayah autonomi Sepanyol yang aktif menuntut kemerdekaan. Inaki Atxutegi, seorang ekonomis dari Bilbao menegaskan beliau lebih rela jika Belanda membelasah Sepanyol 30-0, menggambarkan kebencian rakyat Negara Basque terhadap Sepanyol.

Xabi Alonso yang bermain pagi tadi adalah salah seorang rakyat Negara Basque dan turut pernah bermain untuk skuad bolasepak wilayah tersebut di bawah pentadbiran Euskadiko Futbol Federakundea, yakni persatuan bolasepak mereka.

Sentimen wilayah sangat menebal di kalangan pemain Sepanyol. Malahan Sergio Ramos pagi tadi turut tidak ketinggalan menanggalkan jersi dan menonjolkan baju-T tertera bendera Andalusia (wilayah kelahirannya) ketika meraikan kemenangan. Jesus Navas juga merupakan kelahiran Andalusia.

Maka tidak hairanlah kejayaan Sepanyol dalam Piala Dunia 2010 disambut hangat di Madrid tetapi di wilayah-wilayah Sepanyol yang lain ianya tidak berapa diraikan. Tapi di Malaysia ada segelintir yang meraikan kejayaan Sepanyol mengalahkan orang Sepanyol sendiri.


Tulisan Lucius Maximus ini merupakan petikan dari buku Cerita Piala Dunia 2010

6