Suami Kau Kafir Harbi

MULANYA aku nak terjemah buku Inggeris kepada Melayu. Sebab bahasa Melayu aku tak ‘power’, aku ingat nak baca suratkhabar Melayu untuk improve bahasa aku. Masalah aku dengan suratkhabar Melayu ialah ianya sibuk dengan hiburan, artis dan kes seksual. Ini real-time punya ‘paling hot/most read’ dari Sinar Harian sebagai contoh:

1. Erin Malek kunci mulut
2. Che Ta: ‘Saya boleh minta apa sahaja!’
3. Aduan culik sebagai helah
4. Ahli arkeologi jumpa kubur puntianak
5. Eina Azman: Saya tak seksi!

Cuba kau bandingkan dengan ‘omputeh’ punya New York Times atau Cina punya Sin Chew. Kau nak Melayu maju, kau mula dengan ubah akhbar Melayu. Sampai bila budaya pembodohan ini akan berterusan? Kau tahu tidak suratkhabar dan majalah Melayu dahulu ‘power’? Kau tahu tidak nama suratkhabar Melayu yang pertama di Tanah Melayu? Kau mana tahu kalau kau asyik baca gosip artis. Jawi Peranakan, Warta Malaya, Majlis, Edaran dan pastinya Utusan (sebelum jadi alat parti politik), semua inilah yang mencetuskan semangat kemerdekaan dan padat dengan isu masyarakat yang kritikal. Kalau masyarakat dan pemimpin dulu sibuk baca Kosmo! je, habislah kita. Sampai sekarang pun belum merdeka rasanya. Khoo Kay Kim ada tulis sebuah buku, “Majalah Dan Akhbar Melayu Sebagai Sumber Sejarah”, tapi aku rasa tidak ada orang baca. Sebab apa? ‘Korang’ sibuk baca benda lain. Ini antara senarai bestseller buku Melayu MPH pada hujung tahun 2014.

1. Suamiku Paling Sweet
2. Gantung (yang ini okay, Nadia Khan power)
3. Suamiku Encik Sotong
4. Suami Sebelah Rumah
5. Suami Edisi Terhad

Astaghfirullah! Dari zaman kegemilangan cendekiawan Melayu seperti Za’ba hingga “Suamiku Encik Sotong”, apa sudah jadi dengan bangsa ini? Aku orang Malaysia dan aku patut menghargai karya negara ini, tapi orang Melayu terutamanya perlu menghargai tradisi bangsa mereka. Ketika awak pegang buku ini pada tahun 2015, tepat-tepat 100 tahun yang lalu pada 1915, Za’ba berjaya menjadi orang Melayu pertama yang duduk dan lulus peperiksaan Senior Cambridge. Kau mana tahu, bahasa Inggeris SPM pun tak lepas.

Memang sebahagian daripada masalah berpunca daripada kesusahan mendapat bahan bacaan berkualiti. Buku-buku Khoo Kay Kim, Syed Hussein Alatas dan lain-lain semuanya sama adalah rare atau mahal gila. Rakyat Malaysia masih tidak menghargai sejarah sendirinya (mungkin kerana subjek Sejarah di sekolah terlalu membosankan). Di Amerika, buku tulisan Founding Fathers dicetak dan dijual dengan harga murah. Senang nak dapat tulisan Madison, Jefferson, Thomas Paine dan Abraham Lincoln.

Di Malaysia, masuk kedai buku nak cari tulisan Tunku Abdul Rahman, Dato Onn, Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Tan Cheng Lock, Chin Peng atau Frank Swettenham pun susah. Belum lagi aku cakap pasal Sabah dan Sarawak yang mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Atas sebab inilah aku cadangkan DBP cetak semula buku-buku rare atau compile tulisan dan ucapan orang-orang penting dalam sejarah Malaysia (aku maksudkan DuBook Press atau Dewan Bahasa dan Pustaka? Aku tak kisah siapa yang buat, janji dibuat). Paling senang, cetak semula dan jual dalam lebih kurang RM20. Percayalah, kalau penulis asal masih hidup, semua tidak akan kisah pasal copyright dan keuntungan. Mereka mahu penulisannya ditatapi! Atau, muat naik fail PDF secara online.

Aku pernah jumpa “Profil Majalah Melayu Sebelum Perang” versi PDF di laman sesawang Universiti Malaya. Inisiatif ini bagus dan universiti patut dipuji dan digalakkan. Dua laman sesawang yang aku rasa berguna dan mengandungi banyak buku percuma (versi PDF atau scan) adalah Perdana Library dan Repository UM. Oh ya, para profesor dan pensyarah di universiti Amerika selalu menulis untuk masyarakat umum. Buku terbitan universiti berkualiti dan boleh didapati di kedai buku pasaran. Aku tak pasti, tapi aku lihat penerbitan universiti tempatan masih tidak dapat tembus pasaran di Malaysia, tidak seperti Oxford University Press atau Yale University Press. Cuba kau fikir, bila kali terakhir kau jumpa buku tulisan profesor tempatan atau buku terbitan universiti tempatan di kedai Popular, MPH atau Kinokuniya?

Lagi satu, Malaysia tengah perang dengan siapa? Aku tanya sebab waktu perang sahaja sesuatu negara akan kekurangan lelaki. Mengikut ekonomi, permintaan tinggi sebab kekurangan bekalan. Adakah itu sebabnya perempuan menggilakan lelaki? Calon suami sedia ada tidak memadai untuk mereka kah? Sampai perlu baca benda-benda novel cinta sebegini. Apa masalah kaum wanita ni?!

Jap, mungkin bukan wanita. Mungkin lelaki yang ingin baca benda-benda ini. Aku tahulah kau nak ‘adventure’ punya fantasi, tapi jangan merosakkan pasaran buku. Kalau kau nak juga fantasi, pergi Google. Aku tak salahkan penulis kerana setiap genre buku, termasuk erotika, ada tempatnya. Tetapi aku memandang rendah dan menyalahkan sikap masyarakat yang mengangkat buku-buku ini ke tahap bestseller dan bacaan umum. Malu aku kalau kawan Amerika aku tanya apa yang rakyat Malaysia baca. Waktu di Amerika, aku selalu pergi kedai buku Bookloft of German Village dan Barnes and Noble. Tak pernah aku lihat senarai bestseller mereka sebegini. Paling teruk pun, Fifty Shades of Grey dan Twilight.

Kalau masyarakat teruskan pembacaan sebegini, memang tidak akan maju sampai bila-bila. Mungkin kau menilai kemajuan melalui perkembangan material (banyak duit, banyak maju) tapi bagi aku, kemajuan itu ‘dari dalam’. Mentaliti dan otak kamu lagi mencerminkan kemajuan kamu berbanding segala benda materialistik. Dan apabila mentaliti kau hodoh, ‘konfem’ suami kau kafir harbi.


Suami Kau Kafir Harbi di dalam Aku Kafir, Kau Siapa? oleh Ooi Kok Hin.

Dapatkan Aku Kafir, Kau Siapa? di: https://dubookpress.com/produk/aku-kafir-kau-siapa-jangan-jawab/

2