Sumpah Orang Minyak

Sumpah Orang Minyak

SUMPAH ORANG MINYAK (1958) merupakan sebuah filem berat dengan elemen luar jangka yang dapat kita saksikan. Filem ini jika ditonton pada permukaannya akan kelihatan seperti sebuah filem fantasi dengan suntikan saspens dan seram. Sebenarnya filem Sumpah Orang Minyak ini merupakan salah satu daripada karya terbaik P. Ramlee dan harus diteladani dengan teliti untuk kita sama-sama dapat beroleh nikmat dan maksud yang cuba disampaikan.

Watak Bang Selamat lakonan hebat Daeng Idris adalah watak seorang tua yang kerjanya menjual kain batik cetakan sendiri. Pada babak permulaan ketika Daeng Idris baru hendak duduk berehat sambil menikmati kopi panas, rehatnya diganggu dengan ketukan pintu oleh Buyong lakonan antagonis Salleh Kamil. Buyong bertanyakan kepada Bang Selamat sama ada dia ada nampak Si Bongkok atau tidak. Bang Selamat tenang menjawab tidak dan Buyong berlalu dari rumah Bang Selamat.

Kemudian buat kali kedua dalam babak yang sama sebaik sahaja Bang Selamat menyalakan rokok dan bersedia untuk berbaring merehatkan diri, pintu rumahnya diketuk lagi dan kali ini rehatnya diganggu oleh Si Bongkok lakonan P. Ramlee. Bang Selamat menjemput Si Bongkok masuk dan sedia memberikan perlindungan kepadanya. Melalui dua keadaan ini P. Ramlee membukakan kepada kita pembayang tentang filem ini. Buyong dan Si Bongkok datang mengganggu rehat Bang Selamat dan sebenarnya pada kemudian cerita di dalam filem ini, kedua-dua watak ini (Buyong dan Si Bongkok) ialah pencetus konflik dan ‘mengganggu’ penduduk kampung serta menyebabkan bencana besar kepada Kampung Tualang Tiga.

Fadli Al-Akiti di dalam ulasannya mengenai Sumpah Orang Minyak turut melontarkan persoalan mengenai godaan Iblis ala Faust di dalam filem ini. Ya! Faust watak dalam legenda klasik Jerman. Watak ini memiliki rasa tidak puas dengan apa yang diperoleh dalam hidup, lantas Faust membuat perjanjian dengan Syaitan. Terdapat pelbagai versi tentang Faust ini dan di antara yang paling terkenal ialah versi Goethe. Jelas sekali apa yang berlaku di dalam Faust turut berlaku di dalam Sumpah Orang Minyak dan boleh dianggap P. Ramlee turut membuat rujukan terhadap legenda Jerman ini.

Di samping itu, kita juga dalam melihat element Notre-Dame de Paris karya Victor Hugo yang diterbitkan pada 1831. Watak Quasimodo di dalam novel Hugo ini dilihat bersamaan dengan Si Bongkok. Quasimodo dan Si Bongkok kedua-duanya bongkok dan sering dicemuh masyarakat umum kerana penampilan mereka yang tidak sempurna.

Satu lagi kisah klasik dari Eropah yang dilihat mempengaruhi filem ini ialah La Belle et la Bête sebuah kisah percintaan di antara seorang gadis cantik dengan seorang lelaki berwajah binatang. Kisah ini ditulis oleh novelis Perancis, Marie Leprince de Beaumont dan diterbitkan pada 1756. Elemen daripada kisah ini juga dapat dikesan di dalam Sumpah Orang Minyak apabila Si Bongkok menghadiahkan Afidah sebuah lukisan cantik dengan judul Gadis Chantek dan Binatang. Lukisan itu memaparkan wajah cantik Afidah dan wajah tidak sempurna Si Bongkok. Sulaman kisah-kisah fantasi klasik dari Eropah ini amat indah di dalam Sumpah Orang Minyak dan disatukan pula dengan kisah legenda makhluk gelap di alam Melayu yang dinamakan sebagai Orang Minyak.

Di dalam filem ini Si Bongkok ada menyatakan kepada Bang Selamat bahawa beliau akan pergi jauh dari Masharakat Chantek dan Bang Selamat membalas walau sehingga ke langit hijau pun kita pergi, si penghina tetap menghina. Satu persoalan menarik untuk kita kupaskan di sini ialah siapa Masharakah Chantek? Mengapa Si Bongkok mahu lari daripada Masharakat Chantek, sedangkan cantik ialah sifat sempurna dan membawa maksud yang baik-baik belaka. Jelas sekali dalam maksud Si Bongkok tadi, Masharakat Chantek membawa kepada masyarakat yang memandang dan mengukur manusia daripada rupa paras dan kecantikan fizikal semata-mata dan tidak mempedulikan keluhuran budi dan kebesaran jiwa seseorang. Masharakat Chantek ini masih wujud hingga sekarang dalam pelbagai rupa dan bentuk. Masharakat Chantek ialah masyarakat yang menghukum manusia mengalahkan tuhan dan masyarakat yang hilang rasa ihsan dan belas kasihan. Ini ialah Masharakat Chantek yang didefinisikan oleh Si Bongkok.

Definisi ini jelas dalam kenyataan Bang Selamat, si penghina tetap menghina. Manusia keji akan terus melakukan perkara keji dan memburukkan orang lain selagi mampu dan terdaya. Inilah Masharakat Chantek yang wujud dari zaman Kampung Tualang Tiga hingga zaman Menara Tinggi Berkembar Dua. Manifestasi Masharakat Chantek ini dapat kita saksikan pada bentuk-bentuk hinaan dan cacian yang terpaksa dihadapi oleh Si Bongkok seperti mengejek dan melemparkan batu ke arahnya. Inilah perlakukan Masharakat Chantek.

Soal Masharakat Chantek juga muncul apabila semasa bongkok hadir ke pesta dengan pakaian seperti seorang raja, semua yang ada di situ termasuk Penghulu menyembahnya. Jelas sekali masyarakat Tualang Tiga menyembah tanpa usul periksa dan hanya celik pada kecantikan fizikal tetapi buta dalam menilai budi manusia. Pada babak berkenaan, Si Bongkok mengutarakan pertanyaan kejujuran kita sebagai manusia. Secara tidak sedar sebenarnya Si Bongkok yang sebelum itu berada luar daripada Masharakat Chantek, turut termasuk dalam golongan masyarakat berkenaan apabila rupa fizikalnya telah berubah. Beliau menjadi bongkak dan memiliki sifat dendam yang nyata.

“Hamba Penghulu Tualang Tiga.”

“Orang-orang kampung sekalian, kedatangan aku ke mari bukan untuk mengganggu, hanya menyampaikan hadiah ini kepada Pemimpin Pemudi Seni Tualang Tiga! Terimalah sumbangsihku wahai Afidah.”

“Bagaimana tahu nama hamba?”

“Sejak kau tolong aku dahulu, kau selalu di hatiku.”

“Si Bongkok?”

“Ya. Akulah Si Bongkok. Ya! Akulah Si Bongkok! Akulah Si Bongkok yang dikau haramkan memijak bumi Tualang Tiga! Tetapi kini! Aku dikau sembah-sembah! Aku diagung-agungkan sebagai raja! Sebab apa?! Sebab wajahku tak seburuk dulu! Sebab aku cantik berpakaian indah! Jujurkah dikau hidup sebagai manusia?! Dikau semuanya pengecut! Dikau hanya berani kepada manusia yang lemah!”

“Benar! Si Buyonglah pembunuh bapaku!”

“Sebab dia menolak pinanganku!”

“Pinanganmu tak sah!”

“Sebab apa tak sah?!”

“Sebab aku tak suka padamu!”

“Sekarang apa hajatmu Si Bongkok?”

“Membawa Afidah keluar dari Kampung Tualang Tiga!”

“Aku rela seribu harapan.”

“Langkah mayatku dulu Bongkok!”

“Cis! Tak gentar guruh di langit!”

Sumpah Orang Minyak ialah realisme manusia. Filem ini menghimpunkan semua kesalahan dan dosa-dosa manusia. Bunuh, keji, khianat, dengki, dendam, rogol, hasut dan sebagainya. Lebih menarik kisah ini menunjukkan manusia yang pada awalnya kita kasihan, boleh menjadi manusia yang paling kita benci. Itulah yang dibawakan P. Ramlee. Perubahan sifat dan pemikiran manusia serta tanggapan manusia terhadap manusia yang lain.

Selain daripada pengaruh perwatakan daripada kisah-kisah klasik Eropah, Sumpah Orang Minyak sebenarnya satu keterbalikan dalam kisah yang berlaku kepada Nabi Adam A.S. dan Hawa. Jika kita imbas kembali apa yang berlaku kepada Nabi Adam dan Hawa sehingga mereka tersingkir dari syurga, kita juga akan dapat mengaitkan peristiwa berkenaan di dalam kisah Sumpah Orang Minyak. Nabi Adam dan Hawa disingkirkan ke bumi dari syurga dalam keadaan terlucut pakaian kerana mengingkari perintah Allah S.W.T. dan memakan buah Khuldi, buah yang telah Allah S.W.T. haramkan untuk disentuh di dalam syurga.

Apa yang dimaksudkan keterbalikan ialah Si Bongkok diangkat ke ‘syurga’ (alam bunian) dan disucikan dan kemudian dipakaikan pakaian cantik sebelum diturunkan kembali ke muka bumi. Nabi Adam dan Hawa diturunkan ke bumi dalam keadaan tidak berpakaian selepas melanggar perintah Allah S.W.T. Apa yang lebih menariknya Si Bongkok mewakili sifat manusia, walaupun telah disucikan dan dibersihkan diri serta diberikan pakaian sempurna, apabila diturunkan kembali ke bumi, Si Bongkok tetap membuat perkara yang membawa kerosakan (membunuh).

Seperti Nabi Adam dan Hawa yang telah diberikan peringatan untuk tidak menyentuh buah Khuldi, Si Bongkok juga telah diberikan peringatan sebelum Si Bongkok mandi dan bertukar sempurna. Si Bongkok membaca kitab yang memberi pesan selepas menjadi sempurna, janganlah menyombong diri, dengki sesama makhluk dan melakukan pembunuhan sesama manusia, jikalau ingkar kamu akan binasa. Pesan ini sama dengan pesan-pesan Allah S.W.T. di dalam al-Quran yang sentiasa mahukan manusia itu berbuat kebaikan sebanyak-banyaknya.

Namun, Si Bongkok itu manusia dan walaupun telah diberikan peringatan dia tetap ingkar dan apabila turun ke bumi semula Si Bongkok menyombong diri hadir dengan sikap dendam dan kemudiannya melakukan pembunuhan. Ini ialah realisme manusia. Ini juga sama dengan kisah anak Nabi Adam A.S., Qabil dan Habil yang berakhir dengan tragedi pembunuhan pertama di muka bumi dan perkara pertama yang dilakukan Si Bongkok sebaik turun ke bumi ialah membunuh.

Persoalan ‘kembali’ juga dibangkitkan dengan baik di dalam filem ini. Kita dapat melihat Si Bongkok dihalau semasa pesta dan dia juga kembali dalam keadaan sempurna semasa di Pesta yang sama tetapi di tahun yang berlainan. Bukan setakat tahun, malah kembalinya Si Bongkok dalam keadaan sempurna juga dengan isi hati yang berlainan.

Realisme manusia di dalam Sumpah Orang Minyak turut dijelmakan dalam soal berjanji. Kita dapat lihat bagaimana sebelum kembali ke Kampung Tualang Tiga, Si Bongkok berjanji untuk akur dengan syarat tidak boleh membunuh sesama manusia. Namun disebabkan dendam dan rasa yang meluap-luap untuk membalas kejahatan, Si Bongkok lupa tentang semua janjinya dan muncul dalam rupa yang sangat realistik sebagai seorang manusia. Cuba membawa lari Afidah dan Buyong yang marah membunuh Afidah sebelum Si Bongkok marah dan membunuh Buyong.

Disebabkan melanggar janji, kecantikan Si Bongkok tidak lagi dapat dilihat oleh manusia dan dia menjadi halimunan. Namun, muncul watak Syaitan mencucuk jarum dan menghasut Si Bongkok mempercayai kata-katanya. Syaitan lakonan hebat Sharif Dol menghulurkan angan-angan dapat memberi segala kesenangan dunia asalkan dapat patuh kepada syarat-syaratnya. Si Bongkok yang terdesak bersetuju dengan syarat-syarat berkenaan dan dia mengikat perjanjian dengan Syaitan untuk bertukar menjadi Orang Minyak, merogol dan membunuh 21 perempuan dalam masa tujuh hari untuk memulihkan semula keadaannya. Ini satu lagi realisme manusia yang dipaparkan. Manusia itu boleh mengikat janji dengan malaikat atau dengan syaitan. Boleh berjanji soal baik atau soal buruk, soal haram atau soal halal asalkan dapat memuaskan diri dan memperoleh manfaat bersifat individualistik.

Persoalan kecil lain yang dapat kita lihat di dalam filem ini ialah bagaimana campur tangan suci (divine intervention) menyelamatkan Kampung Tualang Tiga daripada serangan Orang Minyak (Si Bongkok) dan bagaimana divine intervention yang dipaparkan sebagai Raja Bunian lakonan Haji Mahdi itu menyelamatkan kampung sebelum melantik seorang anak muda yang difikirkan layak untuk menjadi Ketua Kampung.

Adakah divine intervention cuba membetulkan semula keadaan? Kerana segala kemusnahan dan tragedi ini berlaku selepas Si Bongkok menjadi cantik juga hasil divine intervention. Tidak. Tuhan tidak salah. Yang salah ialah kita. Kita yang menyalahgunakan segala kecantikan yang diberikan tuhan untuk menimbulkan kerosakan di bumi ini.


Sumpah Orang Minyak dari Membedah P. Ramlee oleh Daniyal Kadir.

Dapatkan Membedah P. Ramlee di: https://dubookpress.com/produk/membedah-p-ramlee/