Surat Untuk Abah

Surat Untuk Abah

ASSALAMUALAIKUM ABAH,

Kinah harap surat ini tidak mengganggu abah. Sudah lama rasanya Kinah tidak menulis surat. Dahulu semasa sekolah, hobi Kinah ialah berutus surat. Orang dulu-dulu sebut pen-pal. Hobi yang abah tidak berapa gemar kerana Kinah mendapat surat daripada kawan berlainan jantina. Kinah suka mengutus surat kerana dapat mengumpul setem sekali. Hobi Kinah yang kedua iaitu mengumpul setem. Dengan berutus surat Kinah dapat melakukan kedua-dua hobi iaitu pen-pal dan mengumpul setem.

Kinah tidak tahu di mana hendak mulakan surat ini. Abah tahu tak dari mana Kinah dapat idea untuk menulis surat ini kepada abah? Sebenarnya Kinah dapat idea selepas menonton salah satu siri drama NCIS musim ke-12. McGee menulis surat untuk ayahnya menggunakan mesin taip lama. Daripada itu, terdetik dalam hati Kinah untuk menaip kepada abah juga. Tapi Kinah tidak guna mesin taip seperti McGee. Sebabnya mesin taip yang ada di rumah sudah berhabuk dan Kinah pun tidak pasti masih boleh digunakan atau tidak. Kinah sayang dengan mesin taip itu. Namun sekarang mesin taip yang banyak berjasa kepada Kinah dan emak tersadai dalam stor. Sekarang Kinah menaip menggunakan ipad 2 yang Kinah beli hasil duit gaji Kinah.

Kinah tahu abah mahu melihat Kinah menjadi doktor sejak dari kecil lagi. Walhal Kinah teringin mahu jadi guru Sains. Tapi kata abah, sayang kepandaian Kinah disia-siakan. Bukannya menjadi guru Sains tidak pandai, tetapi abah mahu melihat salah seorang anak abah menjadi doktor. Kata abah, senang nak merawat abah bila abah sakit nanti. Sebagai seorang anak yang taat dengan orang tua, Kinah patuh dengan permintaan abah. Kinah lupakan hasrat menjadi guru Sains. Kinah belajar bersungguh-sungguh. UPSR 4A, PMR 9A, SPM pangkat 1. Kinah berjaya masuk ke program Asasi Sains dan seterusnya ke Fakulti Perubatan seperti mana yang abah ingin Kinah lakukan. Kinah masih ingat abah merupakan orang paling gembira semasa hari graduasi Kinah.

Begitu cepat masa berlalu. Diam tak diam sudah hampir lima tahun Kinah menyandang gelaran doktor. Abah juga sudah semakin dimamah usia. Penyakit galak singgah di tubuh abah. Lazimnya manusia, tidak kekal sihat selamanya. Sihat sebelum sakit. Nikmat itu yang ramai orang terlupa.

Sebenarnya bukan drama NCIS sahaja yang menggerakkan Kinah untuk menulis kepada abah. Bukan kerana McGee menaip untuk ayahnya. Tetapi ada satu lagi sebab iaitu kes yang Kinah kendalikan minggu lepas. Kes seorang lelaki tua yang sebaya dengan abah, dipinggirkan oleh anak-anaknya.

Kes itu mengingatkan Kinah pada abah. Abah mahu dengar kisah ini, biar Kinah ceritakan.

Pakcik Ahmad dibawa ke jabatan kecemasan kerana menghadapi masalah susah untuk bernafas. Dia penghidap penyakit COAD, dalam bahasa mudah dia mengalami masalah penyekatan salur pernafasan yang kronik.

Pakcik Ahmad mengaku masa mudanya dia seorang perokok tegar. Tabiat buruk itu sudah lima tahun ditinggalkan kerana kesihatannya yang bertambah buruk. Namun kesannya dirasai sampai sekarang.

“Pakcik okey sekarang?” Tanya Kinah setelah habis ‘nebulizer’ pertama diberikan.

“Macam ada sikit lagi, nak.” Suara Pakcik Ahmad lemah.

“Tak apa, nanti kami bagi second neb64,” balas Kinah.

“Terima kasih nak kerana tolong pakcik.”

Kinah terharu dengan ucapan terima kasih Pakcik Ahmad. Jarang Kinah mendengar pesakit mengucapkan terima kasih kepada doktor. Selalunya doktor-doktor dimarahi pesakit dan ahli keluarga kerana lama menunggu untuk rawatan atau menunggu ujian darah yang tidak siap dalam masa yang mereka yang mereka harapkan.

Setelah dua kali nebulizer diberikan, Pakcik Ahmad kelihatan lega dan boleh dibenarkan pulang ke rumah.

“Pakcik, mana anak pakcik? Ada menunggu di luar ke?” Kinah memandang Pakcik Ahmad sambil menulis preskripsi ubat.

“Pakcik dah boleh balik, ubat ni pakcik makan di rumah.”

Kemudian, baru Kinah tersedar, Pakcik Ahmad mendiamkan diri. Kinah mengangkat kepala. Wajah Pakcik Ahmad sugul.

“Pakcik Ahmad?” Kinah teragak-agak hendak bersuara lagi.

“Petang rasanya baru anak pakcik boleh datang. Kalau dia nak datang la.” Seperti tidak terkeluar ayat itu daripada mulut Pakcik Ahmad.

Kinah tertarik mendengarkannya. Ada sesuatu yang Pakcik Ahmad cuba sembunyikan.

Kinah membelek fail Pakcik Ahmad. Tertulis nombor telefon dan di sebelahnya nama seseorang. Kinah mengangkat gagang telefon.

“Hello boleh bercakap dengan Encik Tarmizi?”

“Ya, Tarmizi di sini. Siapa yang bercakap?” Suara garau seorang lelaki menyapa telinga Kinah.

“Saya doktor Sakinah. Ayah Encik Tarmizi iaitu Encik Ahmad Bin Ismail sudah dirawat oleh pihak hospital. Sekarang dia sudah boleh pulang ke rumah.”

“Jadi?” Jawapan balas Encik Tarmizi mengejutkan Kinah.

“Jadi, pukul berapa encik boleh datang untuk membawa dia pulang ke rumah?” Tekan Kinah. Dia dapat merasakan Encik Tarmizi mahu berhelah.

“Saya tak boleh datang. Saya outstation ni. Saya dah beritahu abah masa saya hantar ke hospital yang saya tak boleh ambil dia balik ke rumah,” tegas Encik Tarmizi. Nada suaranya tidak menyenangkan.

“Ada adik-beradik atau saudara-mara Encik Tarmizi yang boleh dihubungi untuk bawa dia pulang ke rumah?” Kinah sudah mula mahu marah tetapi mengenangkan profesionalisme yang perlu dijaga, Kinah sabarkan diri.

“Saya tak mahu susahkan orang lain. Biarlah abah saya duduk di hospital dulu. Sebelum ni boleh jer dia duduk hospital lama-lama. Kenapa kali ni tak boleh pula?” Orang di sana seperti mula hendak marah-marah.

Kalau ikutkan hati Kinah, mahu saja dia jadi Ultraman dan mencari anak derhaka ini. Sampai hati mahu biarkan bapa sendiri di hospital. “Encik, bapa encik tak perlu dimasukkan ke wad kali ini. Dia sudah baik lepas kami bagi gas tadi.” Kinah masih berhemah.

“Saya memang tak boleh datang. Pandai-pandailah dia balik sendiri ke rumah.”

Belum sempat Kinah membalas, talian terputus. Kinah terpinga-pinga. Tidak sangka orang di sana mematikan talian. Ini betul-betul tidak beradab, Kinah panas hati.

Kinah meletakkan gagang telefon sambil mencuri pandang ke arah Pakcik Ahmad. Kinah tidak tahu apa yang harus dikatakan kepada Pakcik Ahmad. Anaknya sendiri membiarkan dia di hospital. Adakah Kinah sampai hati mahu memberitahu sebegitu kepada orang tua ini.

“Anak pakcik kata dia tak dapat datang?” Teka Pakcik Ahmad sebelum Kinah sempat membuka mulut. Dia mengukir senyuman hambar, melindungi keresahan di hati.

Kinah mengangguk dengan lemah. “Pakcik ada duit nak balik?”

Pakcik Ahmad terdiam. Kinah tahu jawapannya walaupun Pakcik Ahmad tidak berkata apa-apa.

Kinah hulurkan duit sebagai tambang teksi Pakcik Ahmad. Pada mulanya Pakcik Ahmad agak keberatan tetapi selepas Kinah bersungguh-sungguh memujuknya, barulah dia bersetuju menerimanya.

Kinah mengesat air mata melihat Pakcik Ahmad yang semakin hilang dari pandangan dibawa pergi oleh teksi.

Dalam hati Kinah sangat geram dengan Encik Tarmizi. Tergamak dia memperlakukan bapa kandungnya seperti itu. Di mana hilang rasa kasih seorang anak terhadap bapa sendiri.

Kinah marah dengan tindak-tanduk Encik Tarmizi. Kemudian Kinah teringat dengan abah. Abah yang sudah lama Kinah tidak jumpa.

Kinah sentiasa sibuk hingga tidak balik ke kampung. Kinah sukar hendak dapat cuti kerana komitmen kerja. Sedangkan abah ternanti-nanti kepulangan Kinah.

“Bila Kinah nak balik? Dah berapa bulan Kinah tak balik. Abah rindu Kinah.” Suara abah sayu.

Kinah yang mendengar turut sedih. “Kinah bukan tak mahu balik abah. Tempat kerja sekarang kekurangan doktor. Jadi Kinah susah nak cuti.”

Kinah bukan saja-saja beri alasan. Tetapi memang itu hakikatnya. Kinah serba-salah, ditelan mati emak, diluah mati bapak.

“Takkan dua tiga hari pun Kinah tak boleh balik?” Abah tidak jemu bertanya.

“Nanti Kinah cari masa ya abah.” Kinah cuba pujuk abah.

“Jangan tidak-tidak ya. Abah tunggu.” Abah penuh mengharap.

Kinah mengangguk kepala walaupun Kinah tahu abah tak dapat melihatnya melalui telefon.

Selang seminggu kemudian, emak pula menelefon. “Kinah, bila nak balik? Abah asyik sebut-sebut nama Kinah. Dia benar-benar rindu Kinah.”

Kinah cuba mengusik emak. “Abah je rindukan Kinah? Mak tak rindu Kinah ke?”

“Mestilah mak rindu. Susah betul nak jumpa Kinah sekarang.” Emak mengeluh membuatkan Kinah makin rasa bersalah.

“Kalau abah sihat, dah lama emak ajak abah naik ke Sabah jumpa Kinah.”

Kinah terdiam bila emak berkata begitu. Sejak abah hanya dapat bergerak dengan kerusi roda memang pergerakan abah terbatas.

“Kinah usahakan la untuk balik ya. Kesian mak dan abah rindukan Kinah.”

Ayat terakhir emak membuatkan Kinah berfikir panjang. Adakah Kinah sama dengan Encik Tarmizi? Membiarkan orang tua yang ternanti-nanti anaknya.

Kinah marah bila Encik Tarmizi buat ayahnya macam itu. Tetapi tanpa sedar Kinah pun sama dengan dia. Kinah abaikan emak dan abah. Anak derhaka ke Kinah?

Tiba-tiba Kinah takut. Kinah takut jatuh hukum anak derhaka pada Kinah.

Cepat-cepat Kinah berbincang dengan ketua jabatan Kinah. Kinah katakan sudah lama Kinah tidak pulang ke kampung menjenguk abah dan emak. Mujur dia berlembut hati. Kinah diberi pelepasan untuk bercuti selama lima hari. Kinah sangat seronok. Tak pernah Kinah rasa segembira ini.

Kinah sengaja tidak mahu beritahu emak dan abah tentang kepulangan Kinah walaupun selepas Kinah beli tiket kapal terbang. Kinah mahu ianya menjadi satu kejutan manis untuk abah dan emak.

Kinah sudah berada di lapangan terbang ketika abang Id telefon Kinah pada hari itu. Lagi dua jam Kinah akan menaiki kapal.

“Kinah, abang ada sesuatu nak bagi tahu.”

Kinah berdebar-debar. Kenapa suara abangnya kedengaran lain. “Ada apa abang?”

“Abah, Kinah….”

“Kenapa dengan abah?” Degup jantung Kinah semakin pantas.

“Abah dah tak ada.” Sayup-sayup ayat itu kedengaran di telinga Kinah.

“Apa… apa maksud abang?” Sebagai doktor Kinah faham makna ayat itu. Tetapi sebagai anak, Kinah tidak dapat menerimanya.

“Abah sakit dada semalam. Kemudian terus tak sedarkan diri. Bawa ke hospital tapi doktor kata abah dah tak ada.”

Kosong kepala Kinah dengan penerangan abang Id. Abah, tak mungkin. Kenapa abah tak tunggu Kinah balik dulu.

Maafkan Kinah, abah. Kinah buat abah tertunggu-tunggu kepulangan. Sampai akhir hayat abah Kinah tak muncul depan mata abah.

Kinah tak suka menangis. Abah tahu kan anak abah yang seorang ini jarang sekali menangis. Susah nak buat Kinah menangis. Tapi hari ini Kinah menangis. Kinah menangis kerana Kinah sudah hampakan harapan abah. Harapan agar Kinah pulang menjenguk abah.

Kinah janji dengan abah. Selepas ini Kinah akan kerja bersungguh-sungguh. Supaya tidak ada orang yang mengalami pengalaman seperti Kinah. Agar tidak ada orang lain yang menjadi anak yang menghampakan hati orang tua seperti Kinah. Kinah akan nasihatkan anak-anak supaya tidak abaikan orang tua seperti mana Kinah abaikan abah. Selalu rajin-rajin jenguk orang tua di kampung.

Kinah kutuk-kutuk Encik Tarmizi sedangkan Kinah pun sama seperti dia. Ampunkan Kinah, abah.

Ampunkan dosa-dosa Kinah. Kinah akan sentiasa kirimkan doa untuk abah di sana.

Kinah rindu abah. Kinah sayang abah.

Walaupun Kinah tahu abah tak dapat surat ini. Abah tak sempat membaca surat ini. Kinah harap abah tenang di alam sana.


Tulisan DR. NOOR HAYATI YASMIN NGATIMIN ini ada di dalam DIAgnosis 3: Mortuari.