Tafsiran ‘Hipster’ Malaysia

Tafsiran ‘Hipster’ Malaysia

TEMPOHARI aku telah diingatkan oleh bekas rakan sekerja yang aku adalah orang yang pertama memberitahunya tentang istilah ‘hipster’ dan maksudnya yang sebenar. Seperti yang kamu semua sudah tahu, istilah ‘hipster’ ini sekarang sudah sinonim dengan masyarakat muda kita. Mungkin nukilan ini penyebabnya?

Mungkin untuk mereka yang tak kenal aku, sekali pandang akan menganggap aku seorang hipster. Maaf, tapi zaman untuk aku jadi seorang hipster sudah pun berakhir. I am beyond that. Aku jarang mengikuti trend. Malah, di KL ni aku tergolong di dalam orang yang dikatakan opinion leaders. Banyak agensi-agensi kreatif memanggil aku, meminta pendapat aku tentang itu dan ini, dari fesyen hinggalah muzik. Aku dibayar untuk berbuat begitu. Yes, I’m cool like that.

Tapi, untuk kanak-kanak hingusan di bandaraya ini, memang agak susah untuk mendapat kredibiliti seperti aku. Aku tahu, tak ramai yang suka pendapat aku, tapi tak suka tak bermakna tidak benar. Kamu ingat kamu berseluar ketat sahaja sudah cukup untuk mendapat kredibiliti? Malang sama sekali, jawapannya tidak. Jauh sekali. Mustahil.

But you have to start somewhere right? Jadi di sinilah bermulanya tafsiran hipster aku. Ya, bukan hipster jeans, tetapi manusia bergelar hipster. Di Malaysia, ya?

1. Selalunya dalam lingkungan umur 21-26 tahun. Lelaki dan wanita. Tak ramai pondan hipster tapi tak mustahil kalau mereka wujud.

2. Kehidupan mereka berlandaskan muzik dan perkara-perkara berkaitan muzik. Maaf, bukan lirik-lirik jiwang Chris Martin dalam Coldplay, tetapi muzik-muzik new indie yang popular di laman pitchforkmedia.com. Tiap-tiap hari akan ke laman tersebut. Muzik yang tak ramai orang tahu. Lagi tak dikenali atau obscure lagi bagus. Tapi tak boleh obscure sangat, nanti orang tak tahu. Tapi kalau band obscure yang ada harapan untuk terkenal, lagi bagus. Bila band itu dah terkenal nanti, boleh mendakwa, “Hey, I discovered this band first before they were big!” Selepas band yang asalnya diminati dulu menjadi terkenal, akan terus ke Internet mencari band yang seterusnya.

Contoh-contoh band/muzik kegemaran: Arcade Fire, Raconteurs (hidup Jack White!), J Dilla (The real hiphop! Bukan rock sahaja, hiphop juga boleh!), Damien Rice (kalau nak obscure lagi Jeff Buckley), Calvin Harris, Yo La Tengo dan macam-macam lagi. Kesemua band-band ini agak terkenal, tapi tak boleh terkenal sangat macam Funeral For A Friend mahupun Franz Ferdinand, nanti hilang kredibiliti. Kalau minat pun, hanya album-album terawal sebelum mereka sold-out. (Sold out di sini bermaksud kejayaan dalam carta muzik utama Amerika seperti carta ‘Billboard’, mahupun kejayaan band tersebut mengeluarkan album di bawah syarikat-syarikat rakaman gergasi dunia). Nak senang lagi, pergi saja ke pitchforkmedia.com.

2a. Selalu dijumpai di gig-gig, terutamanya yang berlaku di malam Khamis di Laundry Bar. Tak tahu Laundry Bar? Kamu memang tak cukup hipster. Lawatan ke gig ni adalah peluang untuk bertegur dengan band-band popular tapi obscure tanah air. Contohnya seperti Hujan. Juga peluang untuk membeli button badges berdiameter 1 inci band-band kegemaran.

2b. Clubbing? Hanya pada malam Jumaat di The Loft semasa Twilight Action Girl. Beli sebotol arak tahan sampai ke pukul 3 pagi. DJ-DJ sini memang hebat, gemar memutarkan lagu lagu hipster pujaan ramai. Tapi kalau The Loft sesak sangat, sudah tentu ada parti Lapsap, sebulan sekali di Jalan Mesui belakang Bukit Bintang. Parti ni lagi hipster, hanya untuk mereka yang dijemput sahaja tau! Bukan calang-calang orang boleh sertai parti ini. Kononnya-lah.

2c. Ahli band. Kebiasaannya band yang memainkan genre muzik yang kurang dikenali ramai, seperti two-step texan post-grind salsa. Tapi tu pun tak lama, kalau genre itu semakin popular mereka akan memilih genre yang lebih asing lagi. Seperti post-two-step texan post-grind salsa. Yang tak pandai main alat muzik akan menjadi penyanyi (atau penjerit) dalam band. Yang tak pandai muzik langsung akan jadi peminat orang yang pandai main muzik.

3. Fesyen. Memang senang nak kenali golongan ini. Selalunya berseluar ketat. Tapi bukan ketat macam kontraktor Mat Indon atau ketat Kompleks Pertama. Ketat, tak semestinya berwarna denim. Warna merah sekarang amat popular. Kemeja-T mestilah kemeja-T band, atau yang berunsur muzik. Kalau ada gambar kilat atau perempuan berafro separa bogel lagi digemari. Kalau baju berjalur dan ada gambar kilat memang amat digilai. Warna kegemaran—hitam, pink, magenta, kuning/hijau neon. Kalau ada jaket sut ketat (kat Chow Kit banyak) lagi tampak bergaya. Pereka fesyen kegemaran—Hedi Slimane dan Heatherette. Rambut tak kisah asalkan tak potong di kedai mamak.

Biasanya berkasut Converse, dan tali pinggang WAJIB berwarna selain dari warna hitam. Maaf, talipinggang studded besi ala punk sudah tak popular, itu dah jadi fesyen Budak Times Square. (Cerita Lain)

Kadang-kadang akan mengenakan scarf (orang kampung cakap ‘mafla’). Paling popular sekarang kain putih bercetak merah/hitam ala orang Palestin (dipanggil shemagh) yang biasanya dikenakan oleh tok bilal di surau di sini. Kalau di Malaysia, tak payah beli versi mahal yang dijual di Topshop, kat Jalan Masjid India banyak. Jangan pelik kalau kamu lihat ramai Mat Salleh membeli kain tok bilal ni, mereka bukan nak masuk Islam.

Kalau rabun, mesti memakai spek mata berbingkai plastik warna hitam. Haram memakai bingkai besi. Yang paling afdal spek mata macam ulat buku yang kronik. Yang tak rabun pun kadang-kadang pakai spek juga. (Takda power laaa) Tapi kalau memakai sunglasses, akan mengenakan yang berbentuk aviator. Tak percaya sila ke The Loft, Zouk pada malam Jumaat. Gerenti jumpa segerombolan.

4. Suka membaca atau mengaku membaca buku novel karangan Chuck Palahniuk, Chuck Klosterman, William H. Burroughs dan Nick Hornby. Sila Google jika tak tahu. Juga sukakan karya Kafka dan buku buku falsafah. Maaf aku kurang membaca, jadi tiada contoh di sini. Majalah kegemaran—Dazed & Confused, The Face (ketika masih ada. Malangnya dah bungkus), Flaunt, Pop. Tapi hanya untuk melihat fashion spread. Jurugambar kegemaran—Terry Richardson, si lucah yang suka ambil gambar model kurus berbuah dada besar yang bogel, dan dia sendiri bogel.

5. Lebih suka tengok berita BBC dari CNN. Mahupun Berita Jam Sepuluh. (Farid Ismeth Emir is the bomb!! Tahukah anda dia bapa kepada DJ Fuzz? Ala…yang dulu dengan Teh Tarik Crew tapi sekarang bersama Stylustiks.)

6. Suka mengaku suka minum arak. Arak kegemaran: absinthe, walaupun tak pernah pun meneguk setitik absinthe. Biasanya minum Skol atau Carl’s Reserve. Murah maaah…

7. Hisap ganja. Katanya lebih baik dari merokok sebab tak ketagih. Lagi pun ganja di Malaysia ni murah, semua orang tahu.

8. Tidak pernah mengundi.

9. Kalau masih belajar, merupakan pelajar MMU Cyberjaya, Lim Kok Wing atau RMIT Melbourne. Kalau sudah bekerja gerenti bukan pekerja kerajaan.

10. Bukan Perempuan Ampang atau Mat Rempit.

Begitulah, sedikit sebanyak, tafsirannya berdasarkan pemerhatian aku. Apa pendapat anda? Adakah mamat atau minah yang duduk di sebelah kubikel anda seorang hipster?


Tafsiran ‘Hipster’ Malaysia (Buku: Aku Tak Peduli) oleh Melayu Minimalis

Dapatkan Aku Tak Peduli di: https://dubookpress.com/produk/aku-tak-peduli/