Filsuf Negara Liberal

Bila kita menyebut nama John Locke, perkara yang paling popular yang membuat beliau dikenali adalah pendekatan empirismenya dalam lipatan sejarah. John Locke merupakan ahli falsafah empiris terpenting di belakang Aristotle. Tetapi apa maksud empirisme ini? Secara ringkas dan mudahnya, empirisme ini adalah aliran pemikiran dalam falsafah yang menyatakan bahawa semua pengetahuan adalah berasal daripada pengalaman manusia. Aliran ini juga menolak fahaman bahawa manusia telah membawa fitrah pengetahuan dalam diri ketika dilahirkan seperti apa yang diperkatakan oleh Plato di bawah konsep Rasionalisme.

John Locke juga disebut sebagai tokoh revolusi yang paling sederhana dan paling berkesan dari semua revolusi yang pernah berlaku. Tujuan revolusinya bersifat sederhana tetapi betul-betul mencapai objektif. Dalam falsafah politik pula, Locke digelar sebagai filsuf negara liberal. Locke merupakan antara individu penting pada era pencerahan bersama dengan rakannya iaitu Isaac Newton. Kemunculan Locke ini menandakan bahawa lahirnya era Moden dan era pasca-Descartes, kerana Descartes tidak menjadi satu-satunya rujukan ahli falsafah pada ketika itu. Pada ketika ini Locke menekankan pentingnya pendekatan empiris dan juga eksperimen untuk memperkembangkan ilmu.

Latar Belakang

John Locke merupakan seorang ahli falsafah yang lahir di Wrington, Somerset, England tanggal 28 Ogos 1632. Locke mendapat pendidikan awal di sekolah Westminster pada tahun 1647, kemudian pada tahun 1652 pula, Locke mendapat biasiswa lalu menyambung pelajarannya di Sekolah Gereja Kristian. Di sini Locke tidak mendapat keputusan yang memuaskan dengan alasan dia tidak meminati kaedah yang digunakan ketika pengajaran. Locke lebih cenderung kepada bidang sastera dan perubatan.

Dalam bidang perubatan, Locke mengenali ilmu falsafah dan falsafah mekanis yang seterusnya membawa beliau bertemu dengan Robert Doyle. Selain membaca karya Doyle, Locke juga banyak membaca karya Descartes. Locke juga dilihat amat berminat dengan bidang politik kerana beliau telah menulis beberapa karya berkaitan dengan gejolak politik yang berlaku di England pada ketika itu.

Di awal kerjayanya, Locke bekerja sebagai pensyarah di tempat belajarnya dengan mengajar subjek Bahasa Yunani dan Latin. Kemudian, dia menukar tugasnya dengan mengajar Falsafah Moral pada tahun 1664. Locke juga pernah menjadi setiausaha Walter Vane. Locke amat menyukai kerja ini. Selepas itu Locke mendalami pendidikannya dalam bidang kedoktoran, lalu menjadi pembantu doktor untuk Thomas Sydenham. Dari situ Locke mendapat pengalaman langsung dalam bidang kedoktoran dan menghasilkan sebuah buku selama tinggal dengan Lord Ashley di London selama 8 tahun. Di London jugalah, Locke menambah pengalaman dalam bidang politik.

Pada tahun 1675, Locke kembali semula ke Perancis untuk mendalami ilmu falsafah. Ketika Locke memutuskan untuk kembali ke England pada Mei 1679 situasi politik England sedang mengalami krisis. Kehidupan Locke di sana turut terancam kerana gerakan-gerakan dari kaum anti pemerintahan Charles II, di mana sahabatnya Lord Ashley merupakan salah seorang pemimpin kaum yang anti terhadap pemerintahan Raja Charles II sehingga dia terus dicurigai sebagai pengkhianat oleh pemerintah. Akhirnya, Locke meninggalkan England pada tahun 1683 dan menuju Rotterdam, Belanda.

Locke kembali semula ke England dan menyelesaikan beberapa karyanya yang sangat hebat. Ketika di Oates, Locke banyak menghabiskan masanya untuk berehat dan mulai melakukan pekerjaan untuk pemerintah, terutama dalam bidang ekonomi dan koloni-koloni England selama empat tahun berikutnya.

Karya-Karya Locke

 Sepanjang hidup Locke, banyak juga karya yang telah dihasilkan dan menggoncang dunia. Locke telah menulis di dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, teologi, falsafah dan perubatan. Namun terdapat beberapa karya terpenting antaranya Essay Concerning Human Understanding. Karya ini ditulis untuk membidas idea Plato mengenai ‘innate idea’ atau idea bawaan. Seterusnya Locke juga menghasilkan Letters of Toleration. Karya ini menerangkan tentang kepentingan pemisahan antara agama dan juga negara. Locke juga menulis Two Treatises of Government yang menjelaskan tentang pandangannya terhadap tahap-tahap perkembangan masyarakat. Dalam hal ini Locke membahagi tahap perkembangan itu menjadi 3 tahap yang utama.

Gagasan Idea Locke

  1. Pengetahuan

Hasil pemikiran Locke dalam hal ini telah menjelaskan bagaimana proses manusia mendapatkan pengetahuan. Menurut Locke seluruh pengetahuan bersumber dari pengalaman manusia atau digelar sebagi teori empirisme. Locke menolak pendapat kaum rasionalis yang mengatakan sumber pengetahuan manusia berasal dari rasio atau fikiran manusia.

Meskipun demikian, rasio atau fikiran berperanan juga di dalam proses manusia memperoleh pengetahuan. Locke berpendapat bahawa sebelum seorang manusia mengalami sesuatu fikiran atau rasio, manusia itu belum berfungsi atau masih kosong, maka diibaratkan manusia seperti sehelai kertas putih (tabula rasa) yang kemudian mendapatkan isinya dari pengalaman yang dijalani olehnya. Rasio manusia hanya berfungsi untuk mengolah pengalaman-pengalaman manusia menjadi pengetahuan sehingga sumber utama pengetahuan, menurut Locke adalah pengalaman. Adapun ragam pengalaman manusia menurut Locke dibezakan menjadi dua jenis pengalaman manusia, iaitu pengalaman lahiriah (sense atau external sensation) dan pengalaman batiniah (internal sense atau reflection). Pengalaman lahiriah adalah pengalaman yang menangkap aktiviti pancaindera iaitu segala aktiviti material yang berhubungan dengan pancaindera manusia. Sedangkan pengalaman batiniah terjadi ketika manusia memiliki kesedaran terhadap aktivitinya sendiri dengan cara ‘mengingat’, ‘menghendaki’, ‘meyakini’, dan sebagainya.

Kedua bentuk pengalaman manusia inilah yang akan membentuk pengetahuan melalui proses selanjutnya. Proses manusia mendapatkan pengetahuan itu didapati daripada perpaduan antara pengalaman lahiriah dan batiniah. Dari kedua perpaduan pengalaman tersebut dapat diperoleh apa yang disebut, pandangan-pandangan sederhana seperti: Pandangan yang hanya diterima oleh satu pancaindera manusia sahaja. Misalnya, warna diterima oleh mata, dan bunyi diterima oleh telinga. Pandangan yang diterima oleh beberapa pancaindera, misalnya ruang dan gerak. Pandangan yang dihasilkan oleh refleksi kesedaran manusia, misalnya ingatan. Pandangan yang menyertai saat-saat terjadinya proses penerimaan dan refleksi. Misalnya, rasa tertarik, rasa hairan, dan waktu.

Di dalam proses terbentuknya pandangan-pandangan sederhana ini, rasio atau fikiran manusia bersifat pasif atau belum berfungsi. Setelah pandangan-pandangan sederhana ini ada, baru rasio atau fikiran bekerja membentuk ‘pandangan-pandangan kompleks’. Rasio bekerja membentuk pandangan kompleks dengan cara membandingkan, mengabstrakkan, dan menghubungkaitkan pandangan-pandangan sederhana tersebut.

  1. Mengenai Negara

Locke bukanlah seorang manusia biasa yang hanya menggoyangkan kaki dan menunggu masa untuk pulang dari kerja kerana beliau adalah seorang manusia yang banyak menjalankan kajian mengenai negara. Two Treatises of Civil Government adalah sebuah buku yang menceritakan pandangan beliau mengenai negara. Analisis perkembangan masyarakat yang dikeluarkan oleh beliau telah menyatakan, sesebuah masyarakat itu akan terbahagi kepada tiga perkembangan iaitu Keadaan Alamiah (The State Of Nature), Keadaan Perang (The State Of War), dan Persemakmuran (Commonwealth). Tahap keadaan alamiah adalah tahap di mana manusia memiliki hubungan harmoni, memiliki kebebasan dan hak yang sama. Setiap manusia bebas menentukan dirinya dan menggunakan apa yang dimilikinya tanpa terjadi kekacauan kerana telah patuh

terhadap ketentuan hukum kudrat yang diberikan oleh Tuhan. Hukum kudrat dari Tuhan menurut Locke adalah larangan untuk merosak dan memusnahkan kehidupan, kebebasan, dan harta milik orang lain. Dengan demikian, Locke menyebut ada hak-hak asas yang terikat di dalam kudrat setiap manusia dan merupakan pemberian Tuhan. Konsep ini serupa dengan konsep Hak Asasi Manusia (HAM) di dalam masyarakat moden.

Tahap kedua adalah Keadaan Perang. Locke menyebutkan bahawa ketika keadaan alamiah telah mengenal hubungan-hubungan sosial maka situasi harmoni mulai berubah. Penyebab utamanya adalah terciptanya wang. Wang membuatkan manusia lupa akan keadaan alamiahnya di mana mereka hanya mencari nafkah untuk menjadi pengguna. Dengan adanya wang, manusia berlumba-lumba membuat dirinya kaya. Ketidaksamaan harta kekayaan membuat manusia mengenal status tuan-budak, majikan-pembantu, dan status-status lainnya. Untuk mempertahankan harta miliknya, manusia menjadi iri hati, saling bermusuhan, dan bersaing. Masing-masing berusaha untuk mempertahankan miliknya sendiri. Keadaan alamiah yang harmoni dan penuh damai tersebut kemudian berubah menjadi permusuhan, kedengkian, kekerasan, dan saling menghancurkan. Situasi seperti ini berpotensi memusnahkan kehidupan manusia jika tidak ada jalan keluarnya.

Tahap yang ketiga adalah tahap ‘terbentuknya negara’. Untuk menciptakan jalan keluar dari keadaan perang sambil menjamin pemilikan peribadi, maka masyarakat sepakat untuk mengadakan “perjanjian asal”. Inilah saat lahirnya negara persemakmuran (commonwealth). Dengan demikian, tujuan berdirinya negara bukanlah untuk menciptakan kesamarataan setiap orang, melainkan untuk menjamin dan melindungi hak milik peribadi setiap warganegara yang mengadakan perjanjian tersebut. Di dalam perjanjian tersebut, masyarakat memberikan dua kekuasaan penting yang mereka miliki di dalam keadaan alamiah kepada negara. Kedua-dua kuasa tersebut adalah hak untuk menentukan bagaimana setiap manusia mempertahankan diri, dan hak untuk menghukum setiap pelanggar hukum kudrat yang berasal dari Tuhan. Ajaran Locke ini menghasilkan dua keputusan iaitu:

  • Kekuasaan negara pada dasarnya adalah terbatas dan tidak mutlak sebab kekuasaannya berasal dari warga masyarakat yang mendirikannya. Jadi, negara hanya dapat bertindak dalam batas-batas yang ditetapkan masyarakat terhadapnya.
  • Tujuan pembentukan negara adalah untuk menjamin hak-hak asasi warga, terutama hak warga atas harta miliknya. Untuk tujuan inilah, warga bersedia melepaskan kebebasan mereka dalam keadaan alamiah yang diancam bahaya perang untuk bersatu di dalam negara.

John Locke juga terkenal dengan teori Pembatasan Kekuasaan Negara. Menurut Locke, Pembatasan Negara dapat dilakukan melalui 2 cara, iaitu: Cara pertama adalah dengan membentuk konstitusi atau Undang-Undang Dasar yang ditentukan oleh Parlimen berdasarkan prinsip majoriti. Cara kedua adalah mewujudkan pembahagian kuasa dalam tiga unsur atau lebih dikenali dengan sebutan Trias Politika iaitu pembahagian kekuasaan berdasarkan legislatif, eksekutif, dan judisiari. Di dalam sistem kenegaraan Locke di atas, tetap ada kemungkinan penyalahgunaan kuasa oleh pihak-pihak yang berkuasa atas rakyat. Oleh kerana itu, rakyat memiliki hak untuk mengadakan perlawanan dan menyingkirkan pihak eksekutif dengan kekerasan bila mereka telah bertindak di luar batasan mereka. Di sini, rakyat merebut kembali hak yang telah mereka berikan.

  1. Konsep Hubungan Agama Dan Negara

Locke menceritakan tentang konsep agama dan negara melalui karyanya yang bertajuk Letters Of Tolerations. Melalui penulisan ini, Locke menyatakan bahawa sesebuah negara itu perlu ada pemisahan antara urusan agama dan urusan negara kerana kedua-dua tujuan ini telah memperlihatkan perbezaan yang ketara. Konsep ini pada hari ini dipanggil sebagai sekularisme.

Sesebuah negara itu tidak boleh menganut sebarang agama, apatah lagi jika membatasi atau menidakkan terus agama. Hujahnya adalah tujuan negara adalah untuk melindungi hak-hak rakyatnya di dunia, sedangkan agama pula bertujuan untuk melindungi manusia dan menjamin keselamatan jiwa manusia untuk menempuh alam selepas kematian. Jadi, negara berfungsi untuk memelihara kehidupan di dunia sekarang, sedangkan agama berfungsi untuk menjalankan ibadah kepada Tuhan dan mencapai kehidupan kekal.

Tambahnya lagi, agama adalah urusan peribadi, berbeza dengan negara yang merupakan urusan masyarakat umum. Pemisahan antara keduanya haruslah ditegaskan, dan masing-masing tidak boleh mencampuri urusan yang lain. Negara tidak boleh mencampuri urusan keyakinan agama manusia, sedangkan agama tidak boleh melakukan sesuatu yang dapat menghalangi atau menggagalkan pelaksanaan tujuan negara. Bila negara hendak menghalangi kebebasan beragama dari warganya, maka rakyat berhak untuk melawan.

Kesimpulan

Pemikiran Locke terhadap bidang politik telah memberikan sumbangan yang cukup besar terutama bagi negara-negara di Eropah seperti England, Perancis, Jerman dan termasuklah Amerika Syarikat walaupun Amerika bukanlah tergolong di dalam kesatuan Eropah. Bukan itu sahaja tokoh-tokoh politik dunia seperti Jonathan Edwards, Hamilton, dan Thomas Jefferson telah dipengaruhi oleh idea-idea politik yang dikemukakan oleh Locke. Apa yang lebih mengejutkan lagi ahli-ahli falsafah zaman pencerahan di Perancis turut dipengaruhi oleh idea yang dikemukakannya. Ahli falsafah tersebut termasuklah Voltaire dan Montequiue. Dengan terpengaruhnya mereka dengan idea yang dibawakan oleh Locke, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Revolusi Perancis juga pada 14 Julai 1789 telah dipengaruhi oleh teori politik daripada John Locke. John Locke meninggal tanggal 28 Oktober 1704 pada umur 72 tahun dan dimakamkan di High Laver. Oleh itu, tidak dapar dinafikan Locke mempunyai peranannya yang tersendiri dalam mencorakkan politik dunia.


Tulisan W N Khuzairey ini adalah petikan dari buku Kitab Perdana Menteri.