Tak Bai Dan Haron Perahu Penambang

Tak Bai Dan Haron Perahu Penambang

Haron Perahu Penambang, itulah gelar yang orang kampung berikan kepadanya. Perahu buatan kayu yang menghidupi Haron dan sekeluarga telah berusia belasan tahun. Sudah banyak kesan tampal di badan perahu itu terutama bahagian bawah. Oleh itu dalam hati Haron dia berazam mahu membeli perahu yang baharu. Begitu juga dengan enjin perahu tersebut yang sering sangkut-sangkut, mahu ditukar semuanya kepada yang baharu pada tahun ini jika ada rezeki lebih. Hal itu membuatkan Haron sering berdoa agar kawasan sempadan sentiasa seperti biasa, tidak terlalu ketat di kawal pihak berkuasa dan paling penting tidak ditutup untuk tempoh yang lama. Ini bukan harapan dia seorang sebaliknya ia adalah harapan orang-orang di sempadan yang dihidupi oleh Sungai Golok.

Selama Haron menjadi penyeludup, dia tidak pernah ditahan pihak berkuasa. Sedangkan rakan-rakannya sudah biasa ditahan pihak pihak berkuasa atau acapkali melarikan diri dengan membiarkan barang seludup dirampas pihak berkuasa. Ada rakan-rakannya mengalah dan bertukar kerja, kerana tidak sanggup menanggung kerugian. Tetapi Haron sangat bertuah, kerja-kerjanya selalu selamat daripada serbuan pihak berkuasa. Untuk itu ada yang mengatakan Haron telah ‘memelihara’ polis, sebaliknya Haron menafikannya.

“Siapa berani kata aku suap polis, sila ke depan, aku bagi penampar!” Tetapi ada juga yang dakwa sebenarnya Haron selalu bernasib baik dalam keadaan apa pun. Nasib baik itu selalu mengiringinya ke mana saja. Tanggapan nasib baik tentang Haron ini ada benarnya apabila dia terselamat daripada diangkut ke dalam trak tentera pada awal bulan puasa dahulu. Dan hebat diperkata orang kampung.

Pada awal bulan puasa yang hendak masuk dua bulan telah berlalu, Haron bersama bersama pemuda-pemuda kampung pada suatu pagi begitu bersemangat menaiki sebuah pikap menuju ke Tak Bai bagi membela beberapa orang kampung yang ditahan pihak berkuasa di balai polis. Sampai di hadapan balai polis, dalam renyai hujan, ratusan orang kampung telah berhimpun. Perhimpunan itu makin besar. Ucapan-ucapan beberapa lelaki mengetuai tunjuk perasaan itu semakin beremosi. Dalam redup hujan renyai, dalam kata-kata berapi, Haron rasa perut memulas. Bini aku bagi makan apa masa sahur tadi, rungutnya. Perutnya semakin memulas lantas dia meninggalkan perhimpunan itu lalu berlari mencari tandas. Sebuah masjid yang terletak agak jauh juga dengan balai polis ditujuinya. Di dalam tandas sayup-sayup Haron dapat mendengar suara kasar mengarah dan diikuti bunyi tembakan. Tiba-tiba riuh dan riuh itu tiba-tiba senyap.

“Bila aku keluar jamban,bila aku nak gi semula ke depan balai polis, ada orang kampung sekat aku, jangan gi, jangan gi, dia larang. Mari naik masuk rumah aku, mari masuk rumah aku dulu, jangan gi sana, thahan—askar tengah mengamuk. Aku tak peduli, aku hungga nak gi tengok. Bila sampai cabang, thahan dah acu senjata, dari jauh aku tengok, puak-puak kita dah duduk meniarap tak pakai baju. Thahan tu jerkah aku, dia suruh aku meniarap. Terus aku lari selalu, masuk ke rumah orang kampung tadi.” Begitulah Haron bercerita bagaimana dia boleh terlepas dari diangkut pihak tentera dalam trak ke kem tentera hingga menyebabkan kematian penunjuk perasaan berpuluhpuluh orang akibat sesak nafas. Setelah mengetahui kematian ramai penunjuk perasaan itu, untuk pertama kalinya dalam hidup Haron dia menangis di depan isteri dan anak-anaknya.

Bagi anaknya Ahmad pula, jika kawan-kawan sekolah mengatakan ayahnya sentiasa bertuah dan bernasib baik tidak pernah ditangkap polis ketika menyeludup, dia tidak fikir sedemikian.

“Aku rasa ayah aku baca kitab seni perang Sun Tzu, sebelum kami nak menyeludup, ayah sentiasa mengkaji kedudukan musuh, masa dan kelebihan belukar atau tempat nak sembunyi. Jika semua berpihak kepada kami semua itu, barulah kami bergerak maju. Kami tak seludup main seludup saja, kami ada pelan rancangan.”

“Sun Tzu. Di rumah kau ada tak kitab Sun Tzu tu?”

“Tak ada.” “Bagaimana mu tahu ayahmu baca kitab tu?”

“Aku agak saja. Sebab cara ayah aku menyeludup macam seni Sun Tzu.”

“Kau dah baca kitab tu?”

“Tak baca lagi. Aku dengar Mat Wau Bulan bual kedai mi Kak Dah kelmarin pasal seni perang pahlawan negara China tu.”

“Uhhh..”

Betapa pun Haron dikenal orang kampung sebagai orang berani dan acapkali bernasib baik, namun dalam hatinya sendiri sebenarnya terbit juga rasa takut. Perasaan takut itu kembali menghantuinya apabila pagi itu ketika menyeberang keduadua anak perempuannya ke sekolah, dia dikejutkan oleh berita bahawa pos kawalan polis sebelah hilir sungai telah dibakar hangus. Berita itu cepat heboh. Dari perbualan yang Haron dengar, tindakan itu adalah angkara penyeludup dadah yang 225 berang tindakan polis berjaya merampas barang seludup mereka berjumlah jutaan itu. Inilah yang ditakuti oleh Haron. Dia takut tindakan ganas seperti ini yang bukan sekali berlaku akan menyebabkan kerajaan Malaysia mengambil tindakan drastik menutup semua pangkalan haram untuk selama-lamanya dan tembok akan dibina.

Pagi itu, dalam debar-debar di dalam dada bergocak dia tercegat di tebing Sungai Golok, melihat beberapa bot polis marin sedang meronda. “Kali ni polis akan mengamuk lagi. Berapa hari agaknya mereka nak mengamuk? Hari raya haji tiga empat hari lagi. Tak seludup beras, tak seludup lembulah kita,” kata kawannya yang turut tercegat di sisinya dengan menyepit rokok di jari.


Tulisan Isma Ae Mohamad ini adalah petikan dari buku Republik Sungai Golok

1